Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Monday 3 September 2012

walaupun jauh.. tapi hati kami selalu dekat, semakin akrab.. itulah sahabat, di mana pun kita berada jauh atau dekat.. sahabat itu satu-satunya ingatan yang paling tentang indahnya zaman persekolahan...

Thursday 22 March 2012

Dont Touch!

Saturday 3 March 2012

Raylan Faris (15)


Tepat pukul sepuluh malam acara itu berakhir sekali lagi dengan doa-doa dari ustaz yang sama dan semua tetamu berangkat pulang secara beransur-ansur. Faris mohon beredar dari Encik Wahid dan yang lainnya. Dania tidak lagi kelihatan. Puan Rahimah pula dengan baiknya meminta Nika membantunya jika dia ke hospital nanti. Nika senang hati hendak membantu. Dia kini beriringan pulang dengan Faris yang tidak lagi segan silu memegang erat tangannya sepanjang menyusuri perjalanan keluar dengan fikiran Nika diracuni oleh cerita yang mengejutkan dari Dania.
Mereka berdua kembali menaiki kereta. Nika senyap, membiarkan sahaja kereta itu melalui jalan panjang yang sepi dan kelam. Dia mahukan penjelasan Faris tentang cerita Dania berkenaan Jasmine tapi dalam masa yang sama dia tidak berani untuk menanyakan kisah silam yang mungkin akan membuat Faris berada dalam dilema. Dan dia juga tidak mahu Faris menderita rasa kemurungannya. Walaupun sebenarnya dia musykil, kenapa Faris yang dikaitkan dengan kematian Jasmine boleh bebas berkeliaran di Malaysia, bukankah Faris sepatutnya menjalani hukuman kalau betul ia berlaku. Adakah Faris telah melarikan diri dari hukuman dan menyamar sebagai anak arwah Tuan Rahmad. Tapi... dari mana pula Dania mengetahui cerita itu?
“Kau nak pulang?” soal Faris tiba-tiba.
Nika tersedar, seperti dipukau. Dia langsung tidak menyedari yang kereta itu sedang parkir di tepi tebing laut. Cahaya neon dari kebeningan kota Singapura terpancar jelas. Dia menggelengkan kepalanya dan terasa mahu menikmati suasana malam di situ. Ikutkan rasa aneh, dia mahu terbang melayang dan enggan menjejak kaki ke bumi yang cukup membuatkan dirinya dihurung beribu pertanyaan yang perlu diputuskan segera. Faris membuka pintu kereta, tapi tidak turun. Begitu juga dengan Nika. Mereka hanya terpaku membisu mendengar air laut yang mengalir tenang.
“Siapa Jasmine?.... Faris,” Nika akhirnya cuba menyuarakan sesuatu setelah beberapa minit mereka diam.
Faris langsung tidak memandangnya. Hanya jari telunjuknya yang mengetuk stereng kereta dan angin malam yang membuai-buai mengheret kedinginan ke serata alam. “Memori..” jawabnya setelah puas berdiam.
“Dia tinggalkan kau dan kemudian kau balik ke sini untuk lupakan dia,” Nika cuba menggunakan akal yang lebih tidak menjurus kepada perkara sebenar. Dia mahu tahu adakah Faris akan berbohong.
“Aku tidak suka ungkit memori lama. Biarkan ia berlalu dan lenyap.”
Kedengarannya Faris merahsiakan lebih dari sekadar sebuah memori. Nika tidak puas hati dan seolah-olah mahu melepaskan marahnya. Tapi untuk apa? Tidak ada perkara yang jelas untuk membuatnya marah. Dia merasakan Faris jujur kalau mengatakan Jasmine hanya sebuah memori.
“Kalau begitu, kenapa kau pulang dari New York? Adakah hanya untuk berkahwin atas wasiat atau ada perkara lain?” soal Nika lebih berani. Rasanya dia berhak untuk mengetahui latar belakang hidup Faris sebab Faris tidak perlu menyiasat kehidupannya, lelaki itu sudah masak benar dengan apa yang berlaku padanya sekeluarga.
Faris hanya menghela nafas sebelum menjawab pertanyaannya. “Apa yang tidak menyenangkan kau sepanjang hidup bersama aku, kau boleh jelaskan pada aku malam ini Nika..”
Nika tahu Faris telah memutarbelitkan pertanyaannya. Tapi.. sampai saat itu pun dia tetap tidak berani untuk bertanyakan tentang kematian Jasmine. Adakah Dania cuba membohonginya, cemburukah Dania padanya kerana telah berjaya mengahwini Faris sehingga dia sanggup menuduh Faris yang bukan-bukan atau itu merupakan usahanya untuk mendapatkan Faris. Kemudian wajah Puan Rahimah muncul, bangkit sebagai malaikat yang menyebelahi Faris.
“Aku ingin tahu jawapan sebenar kenapa kau mengahwini aku, aku sedar siapa diri aku. Aku tak layak untuk mendampingi kau.. aku...”
“Aku buat pilihan yang tepat..” Faris mencelah laju. Menutup semua rasa rendah diri Nika.
“Kau cuma bersimpati pada aku dan membantu aku untuk membebaskan diri dari seorang ayah yang kejam, bukankah itu sebabnya?”
“Itu sebab-sebab mitos.”
Setiap kali berbicara dengan lelaki ini dia  kerap naik angin. “Jadi... adakah kau diwasiatkan untuk mengahwini perempuan miskin supaya kau dinamakan sebagai pewaris harta,”
“Itu pun mitos.”
“Kalau begitu.. kau pun mitos, kewujudan kau cuma mitos dan aku cuma berkhayal,”
“Tidak, kenyataannya... aku wujud. Kau boleh sentuh aku, setiap sudut, aku relakan. Sama seperti perasaanku pada kau, wujud dan betul. Aku percaya pada cinta. Dan aku jatuh cinta setelah melihat kau, itulah kebenarannya.”
Penjelasan Faris itu mematikan semua rasa anehnya yang selama ini tertanya-tanya kenapa  Faris mahu mengahwininya.
“Benarkah?” tanya Nika tidak percaya dia menghadapkan dirinya pada Faris. Kemudian kembali menghadap kota Singapura yang bercahaya dari kejauhan. Dia menyilangkan tangannya, cuba menahan kedinginan. Fikirannya tak keruan.
Faris lantas menyelubungi tubuhnya dengan sut yang berbau harum vanila yang menyegarkan. Nika mengerling lembut pada Faris. “Terima kasih..” dia merapatkan sut hitam milik Faris ke tubuhnya.
“Curiga?” soal Faris kembali.
Nika hanya tersenyum. “Jujur aku katakan, kau memang mencurigakan, sejak dari awal kita bertemu,” kata Nika.
Faris kini senyum dengan kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar dan bersandar enak pada bangku. Angin malam semakin deras menghembus ke muka.
“Kau tak yakin dengan aku?”
“Aku tak yakin dengan hubungan kita, aku langsung tak faham dengan situasi kita?”
“Belajarlah untuk memahaminya.” Faris begitu meyakini setiap tutur kata yang keluar dari mulutnya. Dia langsung tidak ragu dengan apa yang mereka hadapi sekarang. “Aku minta maaf sebab tak memberimu peluang untuk menyayangi aku. Maaf kerana merampas kebahagiaanmu dan memaksa kau masuk dalam kehidupanku yang penuh duri. Hidup tujuh belas tahun tanpa seorang ibu mungkin telah menjadikan hatiku sekeras besi tapi aku mohon kau memahaminya,” jelasnya lebih dalam dan benar-benar mohon pengertian.
Nika tidak lagi mampu menjawab. Nama Jasmine juga lebur sekelip mata. Dia tersentuh dengan kesungguhan Faris yang mengaku cintakannya. Tapi dalam masa yang sama resah untuk menerimanya.
“Aku akan tunggu sampai kau mahu menerima aku dan janganlah pergi. Aku tak tahu apa yang aku buat kalau kau tak ada Nika,”
Faris menatap wajah Nika, mata mereka saling bertaut. Rasa cinta sudah terjawab. Namun, persoalan siapa Faris dan ada apa dengan memori Faris masih tetap buntu. Tetap tidak berjawab.
“Di mana Puan Helena sekarang? Kau pernah jumpa dia?” Cepat-cepat Nika mengubah perbualan peribadi mereka yang ditakutinya menjurus ke arah lain.
“Aku tak tahu, aku jarang jumpa dia, kali terakhir... tujuh tahun yang lalu..” jawab Faris dan kurang senang.
“Dia dah kahwin lain... kan?” soal Nika lagi. Emaknya pernah bercerita padanya tidak lama dulu.
“Dengan seorang ahli perniagaan di Birmingham, orang Jakarta... jangan sebut namanya lagi,” bantah Faris laju saat Nika baru hendak bertanya lagi.
“Kau tak mahu jumpa dia lagi?” tanya Nika lagi tetap berdegil.
“Bagi aku dia pun dah lama mati!” katanya sinis
“Faris, jangan terlalu prejudis pada wanita kalau kau tak tahu isi hati sebenar mereka,”
“Aku tak prejudis... aku cuma kesal,” lantas Faris menarik pintu kereta dan menutupnya. Sesi berbahas tentang Puan Helena tidak berlanjutan lama. Mereka berdua kembali senyap. Faris kemudian menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan laut yang terbentang luas.
Nika agak kesal kerana menyebut kembali nama Puan Helena dan berharap Faris tidak ambil hati dengan keterlaluannya.
                                                              vvv