Bab 4
Seperti
yang Nika duga. Dia mengambil cuti mengejut tanpa pengetahuan semua rakan
sekerja. Seminggu selepas kejadian tersebut Faris benar-benar mengotakan
janjinya. Dia serius membawa Nika ke alam perkahwinan dalam majlis kecil yang
hanya dihadiri jiran terdekat yang amat tidak menyangka dengan majlis itu terutamanya
Encik Prianto dan isterinya, kejiranan terdekat yang selama ini tidak pernah
mendengar perhubungan mereka berdua. Begitu juga Puan Halimah seorang guru yang
juga merupakan jiran di hadapan rumah Faris. Mereka semua sangat peramah dan
baik. Nika hanya tersenyum sepanjang majlis yang dipohonnya berakhir dengan
cepat. Pak cik Faris, adik kepada arwah Tuan Rahmad turut bersama-sama dalam
majlis tersebut dan menjadi saksi perkahwinan mereka. Manakala Irfan dan rakan
kenalan emaknya dari tempat Zakiah tinggal menjadi saksi bagi pihak Nika. Ayah
Nika juga menjadi walinya. Faris yang menguruskan semuanya, Nika cuma tahu
semuanya telah siap diatur dengan sempurna.
Selepas
majlis pernikahan ringkas yang tak sanggup untuk di ingat lagi Nika kembali
dirundung sebak bila emaknya pulang ke rumah pak cik Rais di daerah Pahang.
Nika sebenarnya tidak mahu maknya pergi tapi dia tidak dapat menghalang hajat
maknya yang juga berat hati meninggalkannya bersama Faris yang diyakini emaknya
sangat baik dan prihatin. Faris
mengarahkan seseorang dari syarikatnya untuk menghantar emaknya balik ke
sana dengan
selamat. Irfan juga telah pulang semula ke kolej dan menangis ketika Nika
memeluknya erat. Nika terpaksa menjelaskan lebih teliti serta berpesan pada
adik lelakinya agar jangan risau dan memberitahu keadaan mereka baik-baik
sahaja.
Perkara
pertama yang Faris tanyakan sebaik saja semua tetamu yang sedikit itu pulang
‘samada dia perlukan pembantu rumah?’ Jujur Nika mengatakan tidak. Dia tidak
mahu ada orang yang menjadi saksi segala dukanya dalam rumah besar ini yang
tidak syak lagi akan bermula pada malam ini. Faris seperti mahu membantah
kehendak Nika tapi oleh kerana Nika berkeras enggan memandangnya lelaki itu
lantas pergi entah ke mana.
Dia
sedang berada di dapur dan berpura-pura mencari apa benda yang hendak
dibersihkan dalam dapur yang sedia kemas dengan niat sengaja melambatkan
keadaan sebenar supaya dia tidak perlu berhadapan dengan Faris di tingkat atas.
Ada banyak
perkara yang hendak difikirkan dan dia sekarang berada pada tahap buntu paling
berisiko.
Ingatan
yang paling menyeksakan dirinya tak semena-mena lenyap disaat namanya disebut
seseorang dari belakang.
“Nika,”
Dia
lantas berpaling pada Faris yang telah pun menanggalkan baju pengantinnya dan
entah untuk kali yang berapa pada hari ini mata Faris seperti teruja benar
melihat Nika dalam persalinan baju kurung putih dan terpegun seketika sebelum
dia memuji lagi.
“Kamu
sangat cantik..” katanya perlahan tanpa sebarang senyuman dan ketelusan hati
yang sukar ditebak.
“Terima
kasih,” balas Nika tawar.
“Pakaianmu
sudah tersedia di atas, kau boleh tidur di bilik lain di atas kalau itu yang
kau mahu. Aku mengerti. Aku mahu keluar dan tak tahu pulang jam berapa.
Pastikan semua pintu berkunci dan jangan bukakan untuk siapa-siapa. Aku ada
kunci sendiri.” Nika hanya memandangnya tanpa sebarang jawapan dan membiarkan
Faris menyambung ayat ringkasnya. “Baiklah… selamat malam Nika,”
Dia
terkedu tidak menyahut malah dibiarkan terus terpaku membiarkan Faris melangkah
keluar dari pintu utama. Dan sejurus Faris pergi barulah dia berani melangkah
naik ke atas dengan langkah lemah. Sunyi dan kelam adalah gambaran sebenar
rumah itu dan hatinya. Tiada apa-apa yang kedengaran selain bunyi tapak kakinya
sendiri yang menapak lantai kayu sambil menikmati segenap ruang di atasnya.
Sekali
lagi balkoni yang bertabir kain sifon berwarna krim menyapanya mesra ditiup
bayu malam. Tempat itu sangat selesa dan tenang. Terdapat satu set sofa
berbentuk L dan almari buku yang sekaligus memuatkan televisyen rekabentuk LCD
yang melekat pada dinding di sebelah bilik arwah Tuan Rahmad. Bersebelahan
dengan bilik itu pula ialah bilik ‘Sang Perampas Kebahagiaannya’ dan di hadapan
bilik tersebut barulah bilik Nika. Dia mengambil beg pakaiannya dari bilik
Faris lalu membawanya ke dalam kamar yang bukan kepunyaan siapa-siapa.
Kelazimannya
semua bilik dalam rumah itu direka dengan sangat cantik dan mengujakan.
Pintunya yang berwarna coklat tua begitu klasik di matanya. Kertas dinding
berwarna putih dengan bunga-bunga kecil merah jambu menghias seluruh dinding.
Di pandangan sebelah kiri sebuah katil bertiang empat dan dihiasi kain nipis
yang menggoda tersergam menunggu Nika melabuhkan dirinya hendak melepaskan rasa
keletihan. Kalau sahaja dia sekarang wanita yang sangat gembira dengan
perkahwinannya sudah pasti dia akan melompat gembira kerana berada di dalam
bilik tersebut.
Nika
lantas mengeluarkan pakaiannya dari dalam beg dan menyimpan ke dalam
almari termasuk seragam jururawat. Dia
menukar pakaian pengantinnya dengan baju tidur yang ditemuinya dalam almari
berserta nota bertulis:
‘untuk
keperluan kamu’
Keperihatinan
Faris membuat Nika terkesima dan malu. Tapi, satu hal yang musykil di hati Nika
adalah – dia tidak tahu apa yang bermain difikiran lelaki dingin itu. Faris
telah membiarkannya hidup bersendirian dalam rumah itu sedang dia isterinya dan
memiliki kepentingan seratus peratus untuk mempergunakan Nika sebagai
isterinya. Bagaimanapun ia tidak berlaku selepas Faris memberinya ruang untuk
tidur dalam bilik berasingan dengan alasan dia mengerti perasaannya.
Lantas
untuk apa mereka menikah!
Adakah
hanya kerana ingin melepaskan Nika dari cengkaman ayahnya yang tidak bermoral.
Tapi bukankah Faris lebih baik membiarkannya bebas daripada memilih jalan untuk
berkahwin kalau akhirnya mereka berdua menjadi orang asing dalam rumah sebesar
ini. Nika semakin resah memikirkannya. Wajah Faris yang berhidung mancung dan
memiliki kumis tipis serta mata menawan tergambar jelas saat lelaki itu
melafazkan akad nikah petang tadi sebagai pengesahan perkahwinan mereka.
Ahh…
Nika mengeluh pada malam larut yang menjerat dirinya ke jurang yang tidak
berhujung. “Dapatkah aku bersembunyi semata-mata mahu mengelakkannya.
Bertahankah aku dalam situasi seperti ini,” kata hatinya.
Lantas
dia tertidur dengan rasa kesedihan yang terbawa-bawa ke alam mimpi melihat
Faris yang merenungnya tajam dari kejauhan dalam rumah besar sambil memerhati
setiap gerak-gerinya. Dia cuba
tersenyum tapi Faris tetap begitu tetap dalam merenungnya dan penghujungnya dia
menangis di sudut-sudut terpencil sebelum terbangun pada paginya dengan mata
yang basah.
Pagi
menjelang dengan sangat cepat bersama cahaya mentari yang muncul dengan megah.
Selepas mandi dan mengambil masa yang lama di bilik air dia menyiapkan diri
dalam mood bercuti yang paling tidak menggembirakan selain tertanya-tanya
samada Faris sudah pulang atau belum. Dia tidak mahu menjenguk ke dalam bilik
itu sebenarnya lebih kepada teori ‘tidak mahu tahu’ tapi yang anehnya, dia
telah turun ke bawah dan membuat sarapan
untuk dua orang makan.
Tidak
suka dengan perkahwinan satu hal, bertanggungjawab untuk perkahwinan ini juga
satu hal. Jadi? Siapa hendak mulakan dulu? Dia? Ya…. Mulakan hari dengan
membuat sandwich telur rebus cincang dan mayonis, juga susu segar kegemaran
Faris yang pernah dipesan oleh maknya. Malangnya selepas Nika mandi dan
menyiapkan sarapan dia terlupa yang dia perlu membersihkan ruang tamu dahulu
dan terpaksa meneruskan niatnya yang kini mula memvakum seluruh ruang yang
besar kemudian mengelap almari dan bingkai-bingkai gambar yang berhabuk.
Sepuluh minit yang terpantas setelah memastikan semuanya bersih Nika berdiri
pula di hadapan dua buah jendela kaca yang luas yang berlangsirkan corak-corak
bunga rekaan ala inggeris. Dia memaksa otaknya sendiri bagaimana cara hendak
menukar langsir yang tinggi dan tidak tercapai tangannya.
Kesudahannya
dia terduduk di atas sofa, keletihan dan entah macam mana dia lalu terlelap. Nika tersentak bangun merasakan sentuhan di pipinya, dia terkejut melihat Faris berdiri di tepinya.
“Aku
ingat kau pengsan di situ..” katanya.
“Oh…
err.. maaf,” kata Nika kelam kabut.
“Kau
tak apa-apa?”
“Tak..”
jawabnya dan terus berdiri. “Err.. aku sudah sediakan sarapan,”
“Kau
sudah makan?” tanya Faris baik.
Nika
tidak tahu harus mengangguk atau menggeleng. Aduh! Kenapalah dia merasa sangat
tolol setiap kali berdepan dengan lelaki ini.
“Kita
sarapan..” ajak Faris.
Nika
mengikut dari belakang. Mengikut dengan perasaan tidak keruan dan berdebar. Di
meja makan, Nika membiarkan Faris duduk dan menikmati hidangan sementara dia
turut makan dengan senyap. Tak ada perkara yang hendak dibualkan. ‘Tak ada
perkara yang hendak dibualkan!’ oh Tuhan… dia boleh terkena penyakit
tekanan jika perkara ini berlanjutan.
No comments:
Post a Comment