Nika telah
pun bersiap sepenuhnya dan turun ke bawah. Gaun yang dibeli petang tadi, sekarang
tersarung cantik di tubuhnya. Lembut dan kemas, sesekali rasanya seperti
bintang-bintang pelakon dari barat. Puji Nika sendiri sambil dia menuruni
tangga.
Sehingga
dia masuk ke dalam kereta, Faris sekejap-sekejap akan menoleh padanya, menilik
dari kasut tumit tinggi hingga ke rambut yang dikepit mesra membuatkan Nika
berasa kurang selesa. Perjalanan yang biasanya dirasakan berjam-jam bila bersama
Faris, terasa begitu cepat pula kali ini. Mereka telah pun tiba di sebuah hotel
bertaraf lima bintang. Nika semakin berdebar dan terus berdoa semoga dia tidak
ditipu oleh Faris.
Setelah
Faris meletakkan keretanya, Nika terus-menerus dihantui berbagai anggapan yang
menakutkan dirinya sendiri. Dia langsung tidak dapat senyum, terasa seperti
dirinya dihukum dengan kesalahan yang bukan salahnya. Kakinya seolah-olah
dibawa melangkah ke jalan menuju pusat tahanan paling menyeksakan bukan di
tempat terang benderang yang begitu memukau pandangan. Pintu lif terbuka lebar,
dua lagi pasangan separuh usia masuk bersama-sama mereka. Suhu dingin dalam
hotel menambahkan lagi kedinginan Nika
kerana memakai gaun tanpa lengan. Dalam kelekaan tiba-tiba dia tersentak. Dia
merasakan..........
Darahnya
semakin laju mengalir, malah menghangatkan bila mana tangan Faris tanpa
disedari telah mencapai tangannya. Lembut dan mengasyikkan. Dia tidak mahu
memandang wajah Faris, malu tapi bagaimanapun genggamannya itu begitu
menenangkan hati Nika yang berani membiarkan sahaja ia berlaku sehinggalah lif
terbuka dan mereka mengharungi ruangan mewah karpet merah ketika menuju ke
dewan utama di sebelah kanan.
Sejurus
berada di dalamnya mereka berdua disambut mesra oleh seorang lelaki separuh
usia tapi amat segak penampilannya. Nika seperti pernah melihat lelaki itu tapi
dia tidak ingat di mana sehinggalah Faris memperkenalkan padanya semula.
“Nika,
kenalkan, ini Encik Wahid.”
Lelaki
segak bernama Encik Wahid itu tersenyum senang melihatnya.
“Beliau
pengurus kanan di syarikat,”” kata Faris padanya.
“Apa
khabar pengantin baru..” sapa Encik Wahid ramah.
Ya! Dia
baru teringat. Sebab itulah dia merasakan pernah melihat lelaki itu di
mana-mana. Lelaki itu menjadi saksi pernikahan mereka berdua.
“Jemput
duduk, di sana,” Encik Wahid membawa mereka ke sebuah meja makan bulat di mana
lebih banyak mata-mata memandang dia dan Faris ketika melabuhkan punggung di
meja yang telah dihuni oleh dua pasangan. Seorang wanita yang berpenampilan
seperti ahli korporat bersama suaminya berdiri menyapa mereka berdua. Kelihatan
usia mereka berdua mungkin dalam lingkungan 50-an.
Satu lagi
pasangan di meja yang sama merupakan bapa saudara Faris, Encik Rosli dan
isterinya Suzana yang pernah Nika jumpa juga sewaktu pernikahan mereka
tempohari.
“Nika,
kenalkan.. ini Puan Rahimah. Dia setiausaha syarikat.” Faris memperkenalkan
padanya wanita yang seperti ahli korporat tadi.
Nika
menghulurkan jabat tangannya dan cuba mempamerkan senyuman mesranya.
“Apa khabar Nika, cantiknya awak.. oh ya, ini
suami saya Encik Khairil Fahmi.” Katanya ramah.
Encik
Wahid turut duduk bersama-sama mereka. Seorang lagi wanita bergaya, mungkin
sebayanya baru tiba dan mengambil tempat duduk di sebelah isteri encik Rosli. Puan Rahimah memperkenalkan
kepadanya Dania, pengurus bahagian jualan yang juga merupakan anak sulung bapa
saudara Faris. Faris nampaknya tidak perlu berkenalan dengan perempuan bernama
Dania itu, kelihatannya mereka saling mengenali. Cuma yang tidak enak bagi Nika,
bila Dania kerap mengerlingnya dengan jelingan mencemuh yang membuatnya kembali
segan.
Majlis
makan malam itu bermula dengan ucapan-ucapan dari Encik Wahid dan disusuli dengan
doa-doa mohon keberkatan oleh seorang ustaz yang dijemput khas. Usai acara yang
pertama hidangan mula diedarkan ke meja-meja yang berupa makanan-makanan mewah
yang tidak pernah Nika lihat sepanjang hidupnya.
Puan
Rahimah dan Encik Wahid semakin ramah bercerita tentang pengurusan syarikat
kepada pak cik Faris. Faris pula hanya menyahut sekali-sekala bila ditanya.
Nika giat melontarkan senyum manis untuk semua tetamu. Langsung tidak
tahu-menahu tentang syarikat tersebut. Dia juga hairan kenapa bukan Faris yang
menguruskan syarikat ayahnya sendiri tapi menurunkan semua amanah kepada orang
luar yang begitu dipercayai oleh keluarga arwah Tuan Rahmad.
“Saya, ada
menjemput Puan Helena, Faris,” Encik Wahid mencelah bersuara ketika semua orang
sedang menjamu selera kek pencuci mulut. Semua orang memandangnya termasuk
Nika. Dia kenal siapa Puan Helena sebab itu dia cuba memberi perhatian juga.
“Di mana
pak cik jumpa dia?” tanya Faris tawar dan airmuka yang berubah sama
seperti ketika dia sedang stres.
“Di
Birmingham, masa kami sekeluarga bercuti di sana, dia ada kata nak balik ke
Malaysia,” sambung Encik Wahid lagi.
Puan
Rahimah berwajah gembira mendengarnya, begitu juga isteri Encik Rosli. Tapi
suaminya tidak, seperti tidak suka mendengar khabar tersebut, begitu juga
Faris.
“Emm.”
Itu sahaja
yang Faris jawab sekaligus menutup perbualan berkenaan ibu Faris yang telah
lama menghilang setelah bercerai dengan arwah Tuan Rahmad. Nika masih
mengingati betapa lembut dan baiknya wanita kacukan inggeris itu tidak lama
dulu.
Majlis itu
kemudian bersambung dengan acara memberi sumbangan dan hadiah-hadiah istimewa
untuk semua pekerja-pekerja yang senang hati ketika menerimanya. Faris pun
turut sama berada di tengah-tengah keramaian, bersalam-salam dengan beberapa
orang lagi meninggalkan Nika yang kini hanya tinggal bertiga dengan Dania dan
ibunya.
Sesekali
dia melontarkan senyum janggal pada dua wanita yang merupakan ahli keluarga
Faris itu.
“Saya
dengar.... kamu seorang jururawat betul ke?” soal Dania tiba-tiba padanya dan beralih
tempat duduk ke sebelah Nika sambil mengatur gaun kekuningannya.
“Err....
ya,” jawab Nika yakin tapi agak kurang senang dengan bibir mungil yang terherot dan mungkin sedang mencemuh
pekerjaannya.
“Oh....”
sahut Dania malas dan menyambung pertanyaannya. “Di mana kamu kenal Faris
sebelum ini?”
Dania
sebenarnya bercakap terlalu perlahan namun, oleh kerana mereka bersebelahan maka
Nika dapat mendengar suaranya berbanding ibu Dania sendiri yang duduk selang
tiga kerusi dari tempat Nika.
“Di
hospital, dia muncul di unit kecemasan tempat saya bekerja,” jawab Nika jujur
yang lebih kepada sikap tegasnya tidak mahu meremehkan diri sendiri.
“Nampak
sangat awak tak kenal Faris kan?” Dania mengasak lagi.
Nika mahu
menjawab tapi dia tidak tahu hendak mengatakan apa dan itu jelas menunjukkan
yang dia memang tak kenal sangat dengan Faris.
“Faris ada
beritahu awak tentang Jasmine?”
Jantungnya
berdegup laju saat diacu lagi nama Jasmine yang pernah meragut airmata kekecewaannya
entah sudah berapa lama, dia hampir tidak lagi mengingatinya. Begitu cepat dia
melupakan nama Jasmine. Nika lalu menggelengkan kepalanya perlahan dan menjawab
dengan suara yang lemah. “Emm... tak,”
Dania
tersenyum lagi. Cukup sinis. Sesekali merapikan rambutnya yang dihurai sambil
memberikan pandangan mata yang jelas mengejek.
“Saya
dengar cerita.....” gumam Dania hampir berbisik, dia merapatkan lagi mulutnya
ke telinga Nika yang gugup. “Faris disyaki terlibat dalam kematian Jasmine,
awak sepatutnya tahu tentang perkara itu....” bisiknya penuh kelembutan.
Nika
terkejut dengan apa yang disampaikan oleh perempuan itu. Apa yang diperkatakan
oleh Dania tadi kini benar-benar menggoncang urat sarafnya. Walaupun tidak
menunjukkannya dengan jelas tapi dia terpana memandang muka Dania yang senyum dalam
kemenangan.
“Sebab tu
Faris balik ke Malaysia,” hasut Dania lebih dalam dan kembali membetulkan
duduknya lalu meneguk sedikit jus oren yang masih berbaki dalam gelas kaca.
Nika
semakin takut mendengarnya.
“Apa pun
yang awak dengar tentang Faris, jangan percaya bulat-bulat Nika...” tiba-tiba
sahaja Puan Rahimah muncul dan duduk di sebelah Dania. Dia tersenyum pada Nika.
Manakala Dania hanya mencebik. “Pastikan kita mendapatkan maklumat sebenar
sebelum mentafsir apa yang kita dengar,” tambahnya lagi.
Nika tidak
berani menjawab, bagaimanapun memenuhkan kepalanya dengan bisikan Dania, ‘Faris
disyaki terlibat dalam kematian Jasmine?’ kalau begitu Jasmine sudah tidak ada
lagi di dunia ini. Namun ingatan itu lenyap serta-merta. Sekarang, meja itu
kembali dipenuhi oleh para lelaki yang menghilang tadi termasuk Faris yang
telahpun semakin ramah padanya. Tangan kanan Faris sekarang berada di atas
bangku Nika dan sesekali menyentuh lengannya yang terdedah. Kemudian Faris berbisik
ke telinganya. “Kau sangat cantik...” dia tersenyum lagi seperti orang yang
mabuk cinta.
“Tak lama
lagi bolehlah kita dengar cucu arwah Tuan Rahmad kan Nika... Puan Helena
mungkin tak sabar nak pulang kalau dia tahu,” ujar Encik Wahid jelas berseloroh
dengan kenyataannya.
Faris
menjawab yang dia juga tidak sabar hendakkan anak. Kening Nika terangkat tidak
percaya malah lebih tidak percaya bila Faris merapatkan mukanya dan tersenyum
mesra pada Nika. Dia terpaku dan serba-serbi tidak kena atas tingkah Faris
tadi. Lelaki itu juga sedang memeluk bahunya erat seperti mereka berdua
pasangan suami isteri yang sangat bahagia. Nika mengerling Faris. Astaga!
Berani betul dia! Desis hatinya, tidak suka dengan tingkah Faris itu.
Wajah
Dania pula seperti dipanggang di atas bara merah. Raut keningnya berbaur
cemburu.
No comments:
Post a Comment