Kelam-kabut
dia bangun ketika jam menunjukkan pukul 6.15 minit pagi. Tangannya menggagau
mencari telefon bimbitnya yang telah terjatuh ke lantai, baterinya juga
terkeluar sekaligus membuatkan dia gagal mendengar alarm yang biasa telah
disetkan. Hari ini dia memulakan syif pagi.
Nika
menekan butang hijau bagi memastikan telefonnya beroperasi semula. Setelah dua
minit menunggu fungsinya kembali teratur dia menelefon Zakiah dan menyuruhnya
agar tidak perlu menunggu. Dia akan menaiki teksi. Selepas mematikan talian dia
masuk ke dalam bilik air dalam keadaan terhincut-hincut, tapak kakinya yang
terkena pecahan kaca masih lagi sakit.
Pukul 6.45.
Nika menjenguk bilik Faris. Melihat lelaki itu masih tidur, pintu dirapatkannya
kembali. Dia lalu turun ke bawah untuk menyiapkan sarapan dahulu sebelum kerja.
Kepalanya masih berat kerana tidur lewat malam tadi. Agak lama dia menemani
Faris semalam dan mendengar cerita yang sama sekali tidak disangkanya bahawa
Faris disahkan mengalami anxiety disoder yang
membawa kepada kemurungan berlarutan dan kadang-kadang mendorongnya untuk bunuh
diri kerana terlalu bimbangkan sesuatu perkara. Dia mula mengalaminya ketika
tinggal di New York.
Itu,
memang satu kejutan pada Nika. Faris memberitahu padanya ia berlaku sejak
tiga tahun yang lalu tapi tidak
menjelaskan apa puncanya. Dia juga mengaku yang dia tidak lagi mengambil ubat-ubatan
yang sepatutnya harus diambil untuk mengatasi masalah kemurungannya. Memahami
apa yang telah Faris hadapi sekarang merupakan satu lagi ujian buat Nika untuk
terus bertahan dan mahu membantu Faris menangani kemurungannya. Tapi... Nika
masih tidak tahu apa puncanya Faris nekad untuk menghabisi riwayatnya malam
tadi.
“Kenapa
kau tak pergi lagi!”
Suara tinggi Faris tiba-tiba memecah kesunyian
pagi ketika dia sedang membuat secawan kopi. Nika berpaling ke belakang dan melihat
Faris yang masih berbaju tidur dengan tangan kanannya memegang nota yang Nika
letakkan di bilik Faris semalam dan lupa membuangnya.
“Kenapa
kau masih berada di rumah ni!” nada suaranya kedengaran mendesak. Dia kelihatan
sembuh sepenuhnya dan kembali bersifat dingin yang boleh menaikkan kemarahan.
“Apa alasan kau masih berada di rumah aku lagi! Bukankah kau mahu pergi!”
bentaknya lebih garang.
“Faris...”
Nika cuba mencelah dan mahu menerangkan hal sebenar tapi tidak berjaya. Faris
semakin berang.
“Buat apa
kau tinggalkan nota, kalau kau masih mahu berada dalam rumah ini!”
Dengan
dengusan geram Nika menghempas kasar cawan yang dipegangnya di meja sebelum
memandang Faris.
“Terima
kasih Faris! Thanks!... hmmm,
baguslah. Jangan ingat aku suka berada dalam rumah ni! Dan jangan kau berani
menyangka aku masih berada di sini kerana hubungan kita! Kalau saja aku tak
fikirkan keadaan kau semalam... aku dah lama pergi!. Tapi... kalau kau mahu aku
lakukan itu.. baiklah,” kata Nika berang dengan mata yang berkaca. Suaranya
terhenti sesaat lantas melarikan matanya dari Faris di hadapan. Dia segera
beredar dari situ, bahu mereka berlanggar ketika Nika keluar dari lorong sempit
di antara meja makan dan almari.
Kali ini,
dia nekad. Peduli apa dengan Faris dan masalahnya. Dia juga tidak lagi kisah
pun hendak mengambil pakaiannya di atas dan rela keluar sehelai sepinggang
kecuali kad pengenalan dirinya. Faris – betul-betul menyakitkan hati! Tubuhnya
bergetar menahan rasa marah yang mahu meletup.
“Kau mahu
ke mana?” tiba-tiba Faris bertanya kuat.
Itu
betul-betul soalan bodoh! Desis hati Nika tapi enggan berpaling pada Faris yang
sedang mengekorinya di ruang tamu.
“Keluar
dari rumah ini, untuk apalagi aku berada di sini, bukankah aku perempuan bodoh
kerana sanggup tinggal dengan kau dalam rumah ni!” balasnya sinis sambil
berjalan pergi dengan kaki yang terhincut dan berbalut.
Faris kemudian
menghalang dan pantas berdiri di hadapannya lalu melihat pada kakinya yang
cedera.“Kau tak boleh pergi..” cegahnya pula.
Nika berhenti,
dia memandang geram dan benci tapi nekad untuk membalas semuanya. “Kau tak
sepatutnya halang aku Faris dan aku tak perlukan simpati kau.” Kemudian dia mengeluarkan
sejumlah wang kertas dari dalam dompetnya hingga habis. Malah tidak tahu berapa
jumlahnya.
“INI!” dia
menayangkan kepingan wang itu di muka Faris sebelum meletakkannya di atas meja
berhampiran mereka berdua di mana bingkai gambar-gambar kenangan keluarga Faris
terhias di situ. “Sedikit wang, sebagai bayaran permulaan semua hutang-hutang
aku, bakinya aku bayar kemudian, cari saja aku di unit emergency,” ucapnya tanpa sedikitpun menyesal. Mereka berdua saling
berlawan renungan sebelum Nika kembali melangkah.
“Kau tak
boleh pergi Nika, aku takkan benarkan kau pergi jauh dari aku!” Lelaki itu
mencapai lengannya.
Nika
menggelengkan kepalanya kesal. Kenyataan Faris itu sekarang sangat berlainan
dari versi asalnya. Dahinya berkerut kecewa dengan sikap Faris yang membuatnya
terbeban dengan perasaan keliru.
“Apa
kebaikannya bila aku buat begitu Faris, sedang kita berdua takkan pernah aman,”
kata Nika melepaskan pegangan Faris dan meluru keluar dari rumah tersebut tanpa
niat berpatah balik lagi. Barangkali inilah takdir hidupnya, meredah keluar
dari rumah Faris dalam rasa terhina
dan fikiran bercelaru.
Jadual
kerjanya sudah lewat setengah jam yang lalu. Jalanraya di hadapan dipandangnya
kabur kerana airmata yang bertakung. Nika mengesatnya sambil berharap ada teksi
masuk ke lorong perumahan itu.
Bagaimanapun
sesuatu yang tidak dijangka muncul. Kereta Faris tiba-tiba berhenti di tepi
jalan, betul-betul di hadapan Nika yang masih berjalan. Faris kelam-kabut turun
dari kereta.
“Nika...
tolonglah,” katanya merayu.
Nika tidak
peduli dan mengelak tapi Faris menangkap pergelangan tangannya dan memegangnya
kuat.
“Faris...”
deram Nika berang tidak mahu dihalang kepergiannya.
“Maafkan
aku, tolonglah.”
“Lepaskan
tangan aku Faris.”
“Demi
keselamatanmu, aku mohon.. aku tetap tidak akan benarkan kau pergi jauh dari
aku.”
“Kenapa?”
soal Nika aneh.
Tapi Faris
mendesak dan membawanya naik ke kereta.
“Aku
hantar kau pergi kerja..”
Oh Tuhan!
Dia benar-benar tidak memahami tindakan Faris. Adakah kerana hutang ayahnya
pada tauke Tong – maka dia perlu diselamatkan! Itu bukan salahnya, dia cuma
terjebak dalam kancah kedaifan ayahnya. Dan ‘keselamatan’ yang bagaimanakah lagi
Faris maksudkan? Adakah ia berkaitan dengan kegiatan jenayah Faris di luar
hingga boleh mengancam nyawanya.
“Aku minta
maaf..” ucap Faris lagi sambil memandu.
Nika
mengenggam kuat kedua belah tangannya. Hatinya sebak, dia mahu menangis tapi tidak mahu mengalirkannya di sebelah Faris
yang akan menyangkanya seorang perempuan lemah.
“Kenapa dengan
kaki kau..?” Mata Faris bersilih ganti melihat
wajah dan kaki kanannya yang berbalut kemudian kembali jalanraya.
“Kita ke
klinik..” desaknya bila Nika enggan menjawab.
“Tak
perlu... tak teruk pun, aku terpijak serpihan kaca semalam,” kata Nika. “Aku
boleh rawat sendiri..” jawabnya acuh tak acuh.
Sejurus mendengar
jawapannya, Faris memberhentikan keretanya ke tepi jalan laluan berumput. Dia
memandang dengan mata sayu dan rasa bersalah. “Aku minta maaf...” ucap Faris. Kepalanya
tertunduk dengan ibujari dan jari telunjuk kirinya memegang dahi. Airmata
mengalir setitis. Benar-benar kesal dengan keterlaluannya. Faris tahu dari mana
Nika mendapat luka itu.
Nika
terharu. “Kau sepatutnya berhenti minum alkohol, ia akan memudaratkan diri kau
sendiri...” ujar Nika cuba menenangkan perasaan Faris.
Faris menggangguk
perlahan dan kembali menyambung pemanduannya sehingga ke tempat kerja Nika,
mereka berdua langsung senyap. Nika tidak ada mood untuk melanjutkan
perbincangan yang menyesakkan fikirannya.
“Aku ambil
kau pulang nanti..” kata Faris sebaik sahaja kereta itu tiba di depan
perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan.
Sebelum turun dari kereta, dia berpaling pada
Faris. “Faris!” sebutnya lemah.
Faris
menoleh.
“Aku mahu
kau fikirkan semula dan pertimbangkan apa kesudahan kita berdua nanti,”
“Bukankah
tanggungjawab seorang isteri untuk berada di sisi suaminya,” jawab Faris yakin.
Nika tidak
tahu adakah kemahuan Faris menghalangnya dari pergi adalah rasa jujur dan
ikhlas dari hatinya. Bukan sekali dia meragui niat Faris.
“Kenapa
kau tak fikirkan perkara tu, ketika kau bergandingan dengan perempuan lain malam
tadi...” dia membalasnya kejam dan membuatkan Faris kembali berwajah murung.
“Percayalah...
aku tak lakukan apa-apa yang kau fikirkan sekarang, aku sedang berkerja. Tak
lebih dari itu,” Faris cuba mempertahankan dirinya dengan penuh keyakinan dan
berharap benar pada Nika yang hanya menutup pintu enggan menjawab.
Ketika
Faris beredar. Husin dan dua tiga rakan sekerja memandangnya dari kaunter
pendaftaran dengan renungan aneh. Dia yakin mereka baru sahaja melihat dia
dihantar oleh sebuah kereta mewah dan tahu mereka ingin bertanya padanya. Zakiah
juga berada di situ. Tapi Nika enggan mempedulikan mereka.
“Dah ada
teman lelaki rupanya, adik manis aku ni...” usik Husin ketika sedang bersandar
di kaunter tiket sewaktu Nika melintas di depannya.
“Mmm.. haha...”
balas Nika tidak ikhlas. Zakiah kemudian mengekorinya, sudah tentu dia sibuk
mahu tahu hal antara dia dan Faris semalam.
“Siapa tu
Nika?” soal Suzzie yang tiba-tiba saja menerpa dan memeluk bahunya.
“Suami
Nika,” Zakiah menjawab laju.
Nika
berpaling laju pada Zakiah.
Suzzie juga
terkejut tidak percaya. Dia baru saja hendak bertanya tapi terhalang bila Dr.
Ishak yang entah dari mana datang, muncul di tengah-tengah mereka.
“Apa dia
Zakiah?” Dr. Ishak terus sahaja menghampiri mereka bertiga dan memandang Nika
dengan mata yang penuh tanda tanya.
Zakiah
tersenyum senget, tidak tahu hendak menjawab apa-apa.
“Kau kata lelaki yang menghantar Nika tadi,
suaminya?” dia mengharapkan jawapan pasti dan terus merenung Nika.
“Err... iya..
do.. doktor,” jawab Zakiah tergagap.
No comments:
Post a Comment