Ketika keluar makan
tengahari dengan Zakiah dan Suzzie di tengah cuaca mendung yang berangin Nika
sempat membeli suratkhabar dalam perjalanan pulang ke hospital untuk kembali
menyambung kerja. Zakiah yang seperti biasa penuh dengan tanda tanya mula
bersikap agak dangkal bila ekor matanya asyik tertumpu pada suratkhabar di
tangannya sewaktu mereka semua sedang bersenang-senang kerana pesakit tidak
ramai di unit kecemasan.
“Dah buang tebiat ke beli news
ni?” soalnya yang merupakan tabiat semulajadi untuk bertanya sesuatu yang jadi
bahan fikirannya.
“Astaga....” ucap Nika
jengkel ketika mengangkat muka memandang Zakiah yang sibuk menyusun ubat-ubat
di kaunter. “Banyak maklumat tau dalam suratkhabar ni, yang kau pelik sangat
kenapa?” balasnya semula.
“Sebab aku
peliklah tengok kau baca suratkhabar, biasanya beli majalah Rapi, Wanita..”
“Sebab.....
aku belum gaji, tulah beli suratkhabar je..” sahut Nika malas dan
membelek-belek helaian suratkhabar itu dengan rasa tidak sabar. Dia mencari
dengan ekor mata yang lari pantas dari setiap tajuk ke setiap tajuk semata-mata
mahu mendapatkan maklumat berkaitan dengan kejadian kematian pengedar dadah
yang merupakan kenalan Faris. Aliran darahnya terasa mengalir lebih laju dan
hangat di tengah hawa dingin yang memenuhi ruang.
Sesekali
dia terhenti bila terjumpa tajuk ‘Samun Kedai Emas’ dan ‘Perempuan Mati Di Kelar’ yang
membuatkan dia terasa ngilu bila membayangkan tapi lega sebab ia tidak
berkaitan dengan apa yang dicarinya. Dia meneruskan pembacaannya yang lebih
kepada bacaan ringkas di berita-berita tertentu sambil matanya mengerling ke
belakang dan depan mana tahu ada doktor yang sedang memerlukan khidmatnya. Jam
sudah menunjukkan pukul lapan setengah malam, sekejap lagi mereka akan pulang.
“Zakiah...
nanti kau turunkan aku dekat Supermarket Wish..” katanya tiba-tiba dan
sekaligus kembali memancing rasa Zakiah hendak bertanya lagi.
“Buat apa
kat sana?”
Seperti yang
Nika duga, Zakiah mesti hendak tahu. Soalan itu dijawabnya dengan tepat. “Aku
nak beli barang sikit,”
“Emm..
yalah Mrs. Raylan,”
Nika
menjelingnya tajam, benci dengan gelaran itu tapi Zakiah seronok mengekeh
panjang. Nika melipat suratkhabar tadi dan beredar dari situ untuk membuat
laporan akhir pesakit yang terkena demam panas.
Seperti
yang dijanjikan, dalam perjalanan pulang Zakiah masuk ke simpang sebelah kiri
menuju ke pasaraya. Mereka berdua lalu turun dari kereta.
“Nika, aku
pegi beli sate dulu kat depan tu..” kata Zakiah.
“A’ah, aku
kat tempat Apek jual buah..”
Zakiah
mengangkat tangan dan berjalan laju. Nika kemudian berjalan ke warung
buah-buahan yang sudah tiga bulan tidak dikunjunginya dan baru kali ini dia
datang lagi atas alasan dia teringin hendak makan buah limau. Macam biasa dia
disambut dengan mulut apek yang riuh mempromosi buahnya dan Nika mula memilih
buah limau, jambu air dan sesisir pisang. Di kepalanya sekarang terbayangkan
kisah sejag jus limau yang selalu dikisarnya halus dan dihidangkan depan
emaknya yang begitu dirinduinya. Mood sedihnya muncul mendadak kerana tidak bertanya
khabar emaknya sudah beberapa minggu. Dia rasa bersalah dan bercadang hendak
mengisi relod telefonnya selepas membayar harga buah pada Apek yang peramah
itu.
Sambil
tangan membimbit plastik buah dia berjalan ke deretan bangunan yang agak samar
dan hanya dilimpahi cahaya dari lampu jalan yang malap. Kedai yang menjual prepaid terletak di tengah-tengah
bangunan itu.
Bagaimanapun,
langkah kakinya mati saat dia mendengar suara yang tidak asing lagi, sedang
merayu disusuli rengekan dan suara mengancam yang garang. Nika bersembunyi di
balik bangunan dan mengintip. Matanya jelas menangkap gambaran belakang tua
ayahnya yang sedang terbongkok-bongkok memohon belas kasihan dari si pemiutang.
“Tolonglah....
nanti aku bayarlah! Sekarang ini aku betul-betul tak ada duit..” rayu ayahnya.
Nika semakin hairan.
“Dah lama
kau tidak baya aa Jalii, itu wang muka dulu ko kasi cuma lima libuu... mane
cukupp!!” kata lelaki cina berbadan gemuk yang mencengkam leher ayahnya kuat
hingga kedengaran suara tercekik. Seorang lagi kawannya cuma jadi pendengar.
Nika
teragak-agak di situ, dia berniat hendak menolong ayahnya dari dikasari dua
lelaki yang mungkin ah long.
“Ok...
ok... nanti aku cari lagi itu wanggg...” suara ayahnya semakin tercekik. Nika
hilang pertimbangan, dia mahu keluar dari intipannya ketika bahunya disambar
laju dan mulutnya ditutup oleh satu tangan gagah yang membuat jantungnya
berdegup kencang dan ketakutan. Oh Tuhan! Dia terbayangkan bapak ayam yang
menakutkan!
“Kau mahu
buat apa Nika!...” satu suara berbisik jelas di telinganya dan dia ditarik ke
belakang sedikit. Matanya menangkap nombor plat dan badan Range Rover hitam
berkilat. Tangan yang menutup mulutnya dilonggarkan. Nika berpaling ke belakang
dan tersentak melihat Faris bagaimanapun berasa benar-benar lega malah selamat.
“Kau cuba nak bantu ayah kau!” kata Faris tidak percaya.
“Kau tak
nampak ke? Apa yang dorang buat kat ayah aku! Dia boleh mati...”
“Jangan
risau mereka tak akan bunuh dia, mereka cuma mengugut untuk menagih hutang..”
ujar Faris yakin.
Pantas Faris
menarik lagi lengan Nika dan menyembunyikan diri mereka berdua di balik kereta
Faris ketika suara-suara mengomel tadi melintas jalan. Nika tidak dapat melihat
kelibat ayahnya ke mana cuma hatinya saja berdoa berharap semoga Tuhan
melindungi ayahnya tadi. Walaupun sebelum ini dia begitu bencikan ayahnya tapi
bila melihat ayahnya dalam keadaan begitu, dia turut bimbang.
“Dan....
kau buat apa kat sini?” soal Nika langsung curiga dan menjarakkan sedikit
posisinya dari Faris yang beberapa minit tadi begitu erat.
“Aku
ternampak kau di warung buah tadi..” jawabnya laju.
Tidak lama
selepas itu Nika melihat Zakiah muncul dari jalan sebelah dan tercari-carinya.
Nika bergegas mendapatkan Zakiah dengan Faris menyusul di belakang.
“Zak!....”
panggil Nika. Zakiah menoleh dengan plastik berisi sate tergantung di tangannya
dan berjalan ke arah Nika.
“Aku macam
nampak ayah kau tadi Nika...” katanya kuat dan tersenyum kalut kerana baru
perasan akan Faris.
“Ya... aku
pun nampak, tapi biarlah dia...” sahut Nika tapi akhirnya dia memahami
kata-kata Faris tadi supaya dia bersikap tidak mempedulikan ayahnya yang sudah
terlalu lewat untuk di bawa ke jalan yang selamat.
“Saya
hantar dia pulang..” Faris mencelah tenang.
“Oh....
yalah, ok.. bye Nika..” Zakiah terangguk-angguk akur dan segera masuk ke dalam
kereta melambai Nika yang harus akur akan semua kehendak Faris sambil berjalan menuju ke kereta yang tersadai
bergaya seperti juga pemiliknya.
Mereka
berdua tiba di perkarangan rumah banglo serba putih yang mewah dengan kebendaan
dan bermacam keperluan hidup tapi miskin nilai kebahagiaan. Itu cuma gambaran di kepala Nika yang laju
sahaja turun dari kereta dan terus masuk ke dapur untuk menyimpan buah-buahan
yang dibelinya tadi ke dalam peti sejuk.
Tiba-tiba.........
“Ooh...” keluh Nika dalam gelap. ‘Blackout’
segalanya gelap. Lampu dari jalan besar juga padam.
“Wah...
rumah orang kaya pun boleh blackout jugak ke?” katanya sendirian sebelum
tiba-tiba menjerit kuat bila dia terlanggar sesuatu.
“Nika..”
panggil Faris dan menangkap lengannya. Nika mengeluh lega bila menyedari yang
dilanggarnya tadi ialah Faris.
“Astaga...
kau buat aku terkejut..” ujarnya.
“Aku pergi
cari torchlight..” kata Faris dalam kegelapan.
Kendengaran
bunyi benda dilanggar. Nika rasa Faris baru saja terlanggar bakul sampah di
tepi almari. Dia memutuskan untuk naik sahaja ke atas dan membiarkan Faris
mencari benda yang mahu dicarinya.
“Faris...
aku ke atas dulu..” kata Nika sambil meraba-raba melangkah mencari pintu.
“Ya..”
sahut Faris tapi entah di mana kedudukannya disusuli bunyi berdering dari
telefon bimbit milik Faris.
Kaki Nika
mendadak berhenti bila dia mendengar bunyi telefon bimbit yang memecah
kesunyian ruang. Dia yang sejak pagi tadi berkobar-kobar hendak mendapatkan
maklumat pekerjaan Faris kini memasang niat untuk mendengar perbualan itu
sekarang yang kedengarannya sangat mencurigakan.
“Hello
Ajis, kenapa?”
“Siapa?
Lim! No! Jangan lakukan sekarang, kau takkan berjaya, kawasan itu sedang
diawasi polis.. aku mahu kau ikut saja Ah Wai, dia tahu apa nak buat di KL..”
suara tertekan Faris jelas kedengaran dari balik almari dapur tempat Nika
bersembunyi sekarang. Nafasnya mendesah mendengar dialog seterusnya yang keluar
dari mulut Faris.
“Itu
urusan aku dengan Lim! Kau buat saja kerja kau yang lain fahamm!! Matikan
telefon ni, aku berada di rumah, aku telefon kau kemudiann...” perbualan
ditamatkan.
Biasan
cahaya dari lampu suluh sedang menyuluh pintu bilik air. Faris telah menemukan
benda itu. Nika bergegas menaiki tangga sambil terjengket-jengket cuba untuk
tidak mengeluarkan sebarang bunyi bimbang Faris tahu kalau dia baru sahaja
mendapat maklumat yang tidak syak lagi berunsur jenayah. Jantung Nika berdegup
kencang. Hatinya mengecut, dia terus ke biliknya dengan rasa dingin yang tidak
ada kena-mengena dengan suhu malam.
Selepas mandi
dan bersiap dia duduk di birai katil dengan benaknya memikirkan apa yang tidak
kena dengan Faris! Kenapa lelaki itu begitu sekali mencurigakan? Dan apa pula
takdir yang telah membawanya masuk ke dalam hidup Faris. Saat itu Nika
teringatkan emaknya, pantas dia keluar dari bilik dan membuka pintunya terburu-buru seperti lupakan sesuatu sebelum
dia menjerit terkejut!
“Aaarg..!!!”
Dia bertembung dengan Faris di luar pintu. Cahaya samar dan fikiran yang
menakutkan berkenaan dengan cubaannya mengaitkan Faris dengan kejahatan
membuatkan dia hilang kawalan dan cemas tidak menentu.
“Kenapa
dengan kau ni..” tanya Faris. Pelik dengan tingkahnya.
“Err...
aaah.. tak ada apa-apa, terkejut.. gelap..” tergagap-gagap dia bersuara dan
dalam masa yang sama membuang rasa cemasnya yang melingkar di hati.
Faris
hanya memandangnya aneh! Seolah-olah dia perempuan tolol yang begitu pelik
reaksinya. Kemudian dia melangkah ke pintu dan mencapai tombol pintu bilik.
“Emmm...
Faris,” panggil Nika.
Faris
berpaling dengan wajah kacaknya yang sangat mempesonakan. Nika hampir terkedu
dan hampir sekali lagi menjadi bodoh lantas memaksa benaknya agar cepat-cepat
sedar.
“Boleh..
aku pinjam telefon sekejap,” mohonnya sopan.
“Aku rasa
kau tak perlu minta kalau pasal itu....” kata Faris lantas dia menghilang dalam
kegelapan biliknya meninggalkan Nika yang ternganga sendirian seperti seorang
pelajar yang gagal mendapatkan jawapan tepat.
Dia
menganggap Faris sudah memberinya izin dan terus melangkah ke ruang rehat di
tingkat atas itu lalu mencapai gagang telefon dan mendail nombor telefon pak
cik Rais.
Hampir
seminit kedengaran talian disambut dan Nika gembira mendengar suara emaknya.
“Assalamualaikum
mak,”
“Waalaikumussalam..
Nika, kenapa baru telefon mak,” keluh ibunya tapi berbaur gembira mendengar
suaranya.
“Maafkan
Nika.. mak, Nika guna telefon di rumah Faris ni...” gumam Nika sambil matanya
sentiasa mengawasi pintu bilik lelaki itu.
“Nika
sihat? Macamana dengan Faris? Dia sihat jugak?” Eh! Ke situ pulak soalan
emaknya.
“Nika
sihat je... jangan bimbang, Faris pun... emm macam biasa, keadaan baik-baik
aje... mak macamana sihat ke?” jawab Nika dengan hati resah yang sebenarnya
mahu bertanyakan perkara lain.
“Baguslah,
mak ok... adalah sakit-sakit badan sebab berkebun, tapi sihat. Irfan ada
telefon mak malam semalam, dia sibuk nak exam, cuma rindu katanya,”
Nika
tersenyum mendengar khabar Irfan yang juga sudah lama tidak dihubunginya.
“Mak...
boleh Nika tanya sikit,”
“Tanyalah...
apa dia?”
“Pasal
Faris?”
“Kenapa
dengan Faris?”
Mata Nika
terus berjaga-jaga. Tidak mahu Faris mendengar perbualan rahsia itu. Dia
perlukan jawapan yang tepat dan berharap emaknya tahu serba-sedikit.
“Mak tahu
tak apa kerja Faris sebenarnya?”
“Hah...
apa dia?”
“Eh, mak
ni Nika tanya mak, mak tanya Nika balik..” kata Nika sambil menggaru kepala
yang tidak gatal. “Ada yang tak kena dengan Faris, tentang pekerjaannya,
mencurigakan... mak tak pernah dengar apa-apa sepanjang dia berada di rumah ni
dulu..”
“Astagafirullahal’azimm...
Nika tak baik buruk sangka dengan suami kalau Nika tak pasti...” ucap emaknya
panjang dan tak berhenti mengucap.
“Nika tak
cakap dengan mak... kalau Nika tak dengar sendiri..”
“Apa yang
Nika dengar?”
“Adalah...”
mukanya berkerut dan akhirnya memutuskan yang emaknya langsung tak pernah
berprasangka pada Faris sebelum ini. “Entahlah.. tak apalah mak,” gumamnya
kecewa.
“Percaya
pada mak Nika.. Faris tu baik, dia bukan yang seperti Nika fikirkan..” pesan
emaknya mengakhiri perbualan yang sebenarnya menambahkan beban fikiran Nika
saat talian diputuskan dan berjanji akan menelefon bila ada masa terluang
nanti.
Dia tidak
perlu kata apa-apa. Tak patut! Sebab tidak orang lain yang mempercayainya. Apa
yang dilaluinya dalam rumah ini tetap kekal sebagai sesuatu yang sulit dan akan
kekal begitu sampai tiba waktunya ia akan terungkai dengan sendirinya. Tapi..
macam mana kalau tidak ada yang berubah. Siapa yang perlu bertindak bila
akhirnya tiada jalan penyelesaian. Adakah Faris akan membuka cerita segala yang
bermain di fikiran Nika sekarang malah semenjak hari pertama mereka bertemu di
katil pesakit wad kecemasan. Perlukah dia menunggu atau bertanyakan hal ini
pada lelaki dingin itu.
“Kau
lapar?” tiba-tiba sahaja Faris berada di depannya dan bersuara serentak dengan
lampu siling yang telah bernyala semula. Menyedarkan Nika yang asyik bersandar
pada dinding merunsingkan fikirannya sendiri.
No comments:
Post a Comment