“Emmm...
tak..” jawabnya kalut dan terlupa hendak bertanya pada Faris samada dia sudah
makan atau belum.
“Kita
pergi sekarang..” kata Faris tegas dan berjalan tanpa mempedulikan riak wajah
Nika yang sekali lagi ternganga.
“Ke mana?”
soalnya tolol.
“Ke JB,
aku ada urusan di sana dan aku tak boleh tinggalkan kau dalam rumah ni
sendirian.”
“Tak
mengapa. Awak sahaja yang pergi, saya dah biasa tinggal sendiri,” jawabnya
kerana dia memang sudah biasa dan mengenangkan itulah berlaku pada mereka
berdua saban waktu.
“Tapi
bukan untuk kali ini Nika. Mahu atau tidak, kau perlu ikut.” Faris
memuktamadkan arahannya. “Aku tunggu di bawah,” lantas dia melangkah dengan
wajah seriusnya dan menuruni anak tangga begitu sahaja tanpa mempedulikan Nika
yang begitu berat hati.
Bagaimanapun
Nika tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Mengenangkan dia sebagai isteri, dia
harus menuruti kehendak itu. Lantas dengan rasa tidak relanya dia masuk semula
ke biliknya sekadar mengambil baju seragam jururawatnya. Dia tidak tahu apa
yang akan dilaluinya bersama Faris sambil memikirkan yang dia perlu masuk kerja
pukul dua petang esok. Selepas mencapai beg tangan dan memasukkan baju seragam
di dalam beg kertas dia pun menemui Faris yang siap sedia menunggu dalam
kereta. Wajah serius yang sedang tergambar di muka Faris sekarang adalah riak
wajah lelaki yang tidak suka dibantah arahannya dan Nika pula langsung tidak
suka dengan perangai begitu.
Perjalanan
ke bandar JB tidaklah lama dari tempat tinggal mereka tapi setiap minit yang
berlalu adalah penyeksaan jiwa Nika yang seolah didera dengan rasa
ketidakselesaan sepanjang berada di sebelah Faris yang hanya tahu memandu dan melihat
jalan raya besar. Sementara Nika merasakan sekejap lagi lehernya akan mengalami
kekejangan urat kerana hanya melihat pemandangan di sebelah kirinya. Mereka
langsung tidak berbual seolah-olah mereka berdua dipisahkan oleh dinding tebal
yang kukuh dan hanya dibenarkan menikmati kedinginan suhu dalam kereta mewah
yang berbau enak, bau kereta baru.
Bagaimanapun,
sejurus kereta itu memasuki bandaraya Johor Bahru yang sesak, hatinya kembali
tertanya-tanya kenapa Faris memandu keretanya ke dalam perkarangan hotel mewah.
Nika mula rasa semacam. Kepalanya berpaling laju ke sebelah di mana pemandunya
tetap berwajah tegar dan bibir yang langsung tidak mahu bersuara untuk
menjelaskan situasi apa yang mereka hadapi sekarang. Faris telahpun mendapat
parkir untuk keretanya ketika Nika tidak dapat lagi menahan sabar mahu
bertanya.
“Buat apa
ke sini?” soalnya dan berharap yang dia tersalah anggapan pada Faris yang
mungkin hendak singgah sebentar kerana urusan lain. Tapi.. apa yang
mengecewakan Nika, Faris menjawab dengan riak tenangnya.
“Kita
tempah bilik dulu.....”
Nika
merasakan seluruh mukanya disimbah dengan air dingin yang mengejangkan lutut
yang tiba-tiba bergetar kerana takut hendak mengetahui momen seterusnya.
Kepalanya sekarang diserang oleh berbagai cerita ngeri dan menyeksakan.
“Aku tak
mahu,” katanya dan enggan turun. Membiarkan Faris yang telah turun tercengang melihatnya
seketika.
“Jadi...
kau mahu tidur dalam kereta?” lantas tangannya laju menghayun pintu yang
tertutup rapat. Faris sekarang sedang berjalan ke depan keretanya dan tidak
syak lagi berpusing untuk ke pintu tempat Nika yang ketakutan.
Pintu
dibuka. Faris telahpun berdiri di sebelahnya. “Aku ada urusan lain dan tolong
jangan buat aku marah,” kemudian telefonnya berdering. Dia menjawab panggilan
itu.
“Hello, ok
sekejap saya datang. Barang tu ada dengan saya sekarang..” katanya sambil
mengerling pada Nika yang tambah ketakutan.
Oh
Tuhan.... apa maksud Faris. Adakah dia barang yang sedang dicakapkan oleh
lelaki itu? Siapa pula yang menelefonnya? Adakah seorang lelaki yang sedang
menuntut sesuatu. Adakah itu penyebabnya kenapa Faris tidak menuntut wang
bayaran darinya. Astaga.. rupa-rupanya dia adalah bayaran yang dimaksudkan!
Masih terngiang-ngiang lagi di kepalanya kata-kata Faris sebulan yang lalu. ‘Aku tak perlukan wang, aku cuma mahukan
kau!’ kalau begitu.. Faris cuba menunaikan kata-katanya.
Lengannya
tiba-tiba dicengkam kuat oleh tapak tangan dingin Faris. Nika tersentak.
“Faris...
kita buat apa di sini,” tanya Nika lagi. Dia mahu menangis.
“Tidurlah,
buat apa lagi,” jawabnya bengang.
Nika turun
dengan berat hati. Tangan Faris masih memegang lengannya seolah-olah takut dia
akan lari atau Faris tahu dia sedang terfikir hendak lari. Barangkali jika dia
berkeras untuk tidak mengikuti, Faris akan nekad mengheretnya seperti mana dia terus
mencengkam lengannya sehingga mereka berdua disambut dengan senyuman ramah oleh
seorang pekerja lelaki di depan pintu utama.
“Faris..
tolonglah...” rayunya lagi saat mereka berdua sudahpun menghampiri kaunter
menempah bilik.
Tapi,
Faris tidak perlu pun bersusah payah hendak berurusan di kaunter sebab seorang
pekerja lelaki terus sahaja menemuinya dan tertunduk-tunduk hormat sambil
menghulurkan kunci bilik. Semuanya seperti telah diaturkan dengan rapi. “Ini
kuncinya Sir... bilik 213, tingkat 6, ada barang yang perlu saya bawa ke atas,
Sir.” Faris menyambut kunci tersebut dan menyahut.
“Tak ada,
tapi tolong beritahu Rafidah nombor bilik ini kalau dia telah dapatkan
semuanya.” Katanya sambil berjalan manakala pekerja lelaki tadi terus
mengangguk-angguk hormat.
Nika yang
mendengar perbualan ringkas itu terus-menerus dirasuk kerisauan. Faris pula
langsung tidak berperasaan dan terus sahaja membawanya ke ruang legar yang
bersinar indah memantulkan silauan pada jubin keemasan di bawah kaki. Sekarang mereka
berdua berdiri di depan pintu lif yang sedang menunjukkan isyarat sedang turun.
“Faris,
kau tak perlu buat aku begini..” tapi suaranya tenggelam ketika mereka masuk ke
dalam lif. Dua wanita berbangsa inggeris turut masuk bersama sekaligus
mematikan rayuan Nika untuk ke sekian kalinya sehingga mereka tiba ke tingkat enam
dan pintu lif terbuka mendedahkan ruang yang lebih sunyi dan selesa. Kali ini
lantainya di penuhi karpet bercorak bunga-bunga berwarna hitam tapi masih menampilkan
kelasnya tersendiri.
Ketika
Faris membelok ke sebelah kanan Nika cuba
lari dan mengambil peluang itu sewaktu Faris membuka pintu bilik 213. Namun
tindakannya sia-sia bila Faris menyedari dan terkejut serta marah ketika dia
menarik pinggang Nika terus kembali rapat ke sisinya. Mereka berdua masih
berada di luar pintu bilik.
“Kenapa
dengan kau!” Faris menderam tapi mereka kembali senyap ketika seorang pekerja
hotel keluar dari bilik sebelah dan sedang kehairanan memerhatikan tingkah mereka
berdua tapi terus tertunduk hormat bila terpandang wajah Faris dan segera
beredar malah enggan menoleh lagi pada Nika yang mahu memohon bantuan pada
gadis tersebut.
Sekejap
sahaja dia ditolak masuk ke dalam bilik yang dingin.
“Tolong
jangan buat aku malu di depan pekerja-pekerja di sini, jaga tingkah kau!”
katanya marah.
“Kenapa
kau bawa aku ke sini! Aku mohon pada kau Faris tolong bawa aku keluar dari
sini,”
“Maaflah,
aku tak boleh buat begitu...”
“Aku tahu
aku berhutang banyak pada kau tapi bukan ini caranya, aku boleh bayar
semuanya.... aku cuma mohon kau berikan aku waktu,” kata Nika dalam cubaan
merayu pembebasannya dari Faris yang hendak menjual maruahnya.
“Kau sudah
jelaskan perkara ini dulu, aku tahu... dan aku tak perlukan wang kau. Kau masih
ingat apa yang aku katakan malam itu..”
“Kalau
begitu kau tak perlu jual aku pada sesiapa... aku mohon Faris demi janji kau
pada Puan Ros, bawa aku pulang... tolonglah,”
“Jual
kau!” dia berdengus dan tersengih. “Kenapa aku hendak jualkan benda yang aku
dah beli, dengan membayar sejumlah wang pada ayah kau secara automatiknya kau
dah jadi milik aku sepenuhnya termasuklah keselamatan kau sepanjang berada
bersama aku. Apa lagi yang kau mahu...!!” kata Faris dengan nada meninggi. Sebelum
ini lelaki itu tidak pernah begitu.
“Bukankah
kau sedang berurusan dengan seseorang tadi tentang barang....?” Nika tetap
inginkan kepastian.
Faris tiba-tiba ketawa. Tapi sekadar
mempamerkan barisan giginya tanpa sebarang suara. Dia kemudian berkata. “Ya..
betul sebab tu aku tak boleh tinggalkan kau seorang diri di rumah. Aku ada
urusan di luar dan keadaan di sini lebih selamat.”
“Selamat?
Apa maksud kau selamat? Kenapa aku tak boleh tinggal di rumah. Apa yang kau
takutkan?” soalnya bertubi-tubi setelah dia yakin yang Faris sebenarnya berniat
lain walaupun keadaan masih mencurigakan di antara mereka berdua. Perlu ada
sebab untuk dijelaskan jika ia memang benar semua ini demi keselamatan yang
terancam.
“Tak ada
apa-apa. Aku cuma bimbang ayah kau datang ke rumah dan mencari kau. Dia akan
pergunakan kau lagi... kau nampak apa yang berlaku tadi kan... dia masih belum
menjelaskan semua hutangnya walaupun setelah aku berikan wang,” jawab Faris
tepat. Namun, dia masih belum puas dan menambah rasal jengkel Nika bila
menyambung bicaranya. “Macam mana kau boleh terfikir yang aku hendak menjual
kau? Berapa untung aku dapat?” dia menghabiskan ayat itu sebelum masuk ke bilik
air sambil tersengih.
Nika,
walaupun masih curiga tapi dalam masa yang sama lega mendengar penjelasan
Faris. Dia merasa dirinya terlalu kebudak-budakkan bila mengecam Faris secara
membuta tuli dan merasakan tindakan Faris benar
Seminit
kemudian pintu bilik itu diketuk. Faris yang kebetulan telah keluar dari bilik
air lantas membuka pintu tersebut. Nika melihat seorang lagi pekerja wanita yang
kemungkinan besar itulah dia Rafidah menghulurkan empat buah beg kertas kepada
Faris seolah-olah dia baru lepas dari ke pusat membeli-belah.
“Thanks.”
Faris
meletakkan barang-barang tadi di atas meja solek. “Ini semua untuk keperluan
kau... kau ada bawa baju seragam untuk kerja?” katanya dan berpaling pada Nika
yang duduk di hujung katil empuk yang hanya mengangguk lesu. Faris kemudian
menghampirinya turut duduk di sebelah Nika yang tersentak dan cuba mengelak
tapi lega kerana Faris cuma menghulurkan sekeping kad kepadanya.
“Ini kad
telefon, hubungi aku kalau kau perlukan apa-apa atau kau boleh telefon Rafidah
di kaunter dia boleh uruskan. Aku perlu keluar dan mungkin takkan balik. Besok, aku akan suruh seseorang hantar kau ke
hospital,”
Nika
mengambil kad tersebut dari tangan Faris dan memandang lelaki itu tepat ke
wajahnya walaupun dari tepi sebelum Faris menyedari dan berpaling padanya.
Deruan nafas Nika kian kencang dan berdebar saat mata mereka saling bertatapan.
“Aku mahu
kau bersumpah kalau aku selamat berada di sini dan kau tak ada niat jahat...”
ucap Nika tenang dan meyakini kalau kata-katanya ini akan menyinggung
perasaan Faris yang tetap dengan
renungan memukaunya.
“Apa saja
yang ada di fikiranmu sekarang, tentang cerita-cerita yang kau mungkin
curigakan, aku cuma ada satu jawapan. Nyawa dan keselamatanmu adalah
keutamaanku.”
Selepas
menghabiskan kata-katanya dia bingkas berdiri dan berjalan ke pintu keluar
dengan Nika hanya mampu memandang memendam perasaan bersalah sambil berharap
Faris memahami kebimbangannya.
No comments:
Post a Comment