Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Saturday 19 March 2011

sedikit petikan dari... rapuh tanpa dia

“Cukuplah untuk saya bila awak mahu saya menjadi sebahagian dari kehidupan awak, jadi untuk ke sekian kalinya berilah saya peluang untuk menikmatinya sebab bila semua ini berakhir nanti keadaan kita berdua takkan jadi seperti beberapa bulan yang lalu.”
Kata-kata itu membuatkan Liz terdiam lantas mengoyakkan cek tadi menjadi kepingan-kepingan kecil kemudian membuangnya ke dalam tong sampah berdekatan. Enggan berkata lagi Liz beredar, berjalan pergi dengan Kairi menuntunnya dari belakang.
Waktu itu suasana sudah semakin gelap, mujur saja ada lampu jalan yang menerangi sedikit kawasan tersebut yang kini benar-benar sunyi dan menyeramkan bila burung-burung berkicau nyaring berkumpul pada dua batang pohon berhampiran dan bersesak-sesak hendak pulang ke sarang.
Ketika mereka berdua tiba di tempat Kairi meletakkan keretanya, kedengaran dari arah belakang mereka bunyi enjin kereta yang kuat seperti hendak berlumba Kairi menoleh ke belakang dan melihat sebuah kereta Kenari berwana merah meluncur laju dan salah satu penumpangnya menjerit “Hoi!!” dengan kasar pada mereka berdua. Kereta itu kemudian berhenti mengejut di tengah jalan. Liz mula cemas dan takut, Kairi menarik Liz rapat ke sisinya lalu membuka pintu kereta dengan pantas.
“Masuk dalam kereta..” arahnya tegas sambil tangannya menggagau-gagau mengambil sesuatu dari bahagian bawah tempat kaki Liz sebelum menarik keluar sebatang besi.
“Kairi, awak nak buat apa! Kita pergi saja dari sini..!” rayu Liz hampir-hampir menangis bila melihat dua orang lelaki berbangsa india dalam lingkungan 20-an keluar dari kereta Kenari tersebut.
“Kairi..” panggil Liz cemas.
“Pergi dari sini kalau apa-apa berlaku..!” perintah Kairi lagi dan memasukkan kunci keretanya ke dalam genggaman Liz kemudian berjalan dengan berani kepada dua orang lelaki tadi.
“Apa kamu mahu!!” jeritnya garang.
Tapi, sebaik sahaja Kairi mendekati kereta itu dia mendengar salah seorang dari mereka berteriak kuat.
“Itu Kairi!!..... kita pergi dari sini.. cepat!!” jerit lelaki yang bermisai tebal dan berbadan kurus kering itu. Arahan itu diikuti dengan patuh, dua lelaki tadi, terus sahaja masuk ke dalam kereta dan memecut laju pergi dari situ. Kairi masih berdiri di situ, melihat-lihat keadaan sekitar, mencari kalau-kalau ada orang yang mengintai mereka berdua. Liz masih berteriak memanggil namanya dengan nada cemas bukan kepalang memaksa Kairi kembali semula pada Liz yang berwajah ketakutan, dia pantas naik ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.
“Oh! Syukurlah tak ada apa-apa berlaku..” ucap Liz dengan nafas yang mengah dan tersekat-sekat.
“Siapa mereka tu?” tanya Liz dengan bibir bergetar.
“Awak pasti, awak tak ada hubungan dengan Sein..” tanya Kairi serius ketika tangannya kasar menarik gear.
“Sein?” Liz membuat wajah tidak percaya dengan pertanyaan Kairi di saat-saat genting itu. “Sein?” ulangnya lagi dan ternganga hairan. “Kenapa awak tanya begitu?” Liz bertanya dengan nada yang agak marah.
“Untuk pastikan, yang saya tak merampas kekasih orang lain,” sahut Kairi serius.
“Saya takkan keluar dengan awak pukul satu pagi kalau saya ada hubungan dengan dia,” jelas Liz yang cukup Kairi fahami maksudnya.
“Saya cuma mahu pastikan kalau ada lagi orang yang marah selain Khalid,” jawab Kairi yakin. Kemudian dia memecut keretanya meninggalkan tempat itu dengan segera sambil berfikir-fikir siapa budak india yang seakan-akan mengenalinya tapi takut hendak berhadapan dengannya.

Wednesday 9 March 2011

rapuh tanpa dia

Ini kisah kehidupan dunia kaca Liz dan Kairi. Kisah peribadi yang dicanang ke mata umum. Kisah cinta yang terbit dari diri setiap yang bernama insan. Juga.... kisah kebencian Khalid yang mengisi rantai perjalanan hidup mereka berdua dan di mana akhirnya titik sebenar ujian dalam mendepani hidup.

Mungkin bagi Liz....... dia hanya perlu bertahan dalam menangani kemunculan Khalid yang tidak berhenti dari memburunya.

Tapi Kairi tidak! Dia bersumpah! Khalid akan mendapat ganjarannya malah setimpal dengan apa yang cuba dilakukannya. Kerana dia seorang lelaki yang selalu tegar dan tidak akan akur dengan ancaman.

Pesan Kairi untuk Khalid........
seharusnya Khalid bermohon dahulu pada malam-malam yang panjang....... supaya jangan cepat terang kerana dia perlukan gelap untuk terus sembunyi!