Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Monday 28 November 2011

Raylan Faris 3

                                                                             
                                                                               Bab 3

Satu lagi rencana untuk merompak sebuah bank terkemuka gagal dilakukan bila van yang membawa empat orang lelaki yang selama ini diburu atas kes-kes jenayah besar diserbu oleh pasukan khas yang bertindak cekap dan berjaya menangkap kesemuanya sebelum mereka tiba ke CIS bank. Sumber maklumat penuh perisik  telah berjaya mematikan rancangan jahat tersebut......
"Tak habis-habis.." rungutnya sendirian lalu meletakkan kembali suratkhabar itu di atas meja ruang tamu dan masuk ke dapur hendak menyiapkan makan malam ala kadar untuk maknya yang mungkin masih sibuk di rumah besar.
Di saat benaknya masih dipenuhi cerita-cerita suratkhabar tadi dia terperanjat! Ketukan bertalu-talu dari pintu depan disusuli suara ayahnya memekik namanya berkali-kali. Mahu tidak mahu Nika membukakan juga pintu dengan mood yang mendadak teruknya.
“Apa lagi ayah mahu!” tempelaknya. Dia benci dengan bau arak dan muka merah ayahnya.
“Mana mak kau!” dia meredah masuk mencari isterinya.
“Mak tak ada!” pekik Nika ketika ayahnya memeriksa rumah kecil mereka seperti pegawai polis mencari penjenayah yang bersembunyi.
“Jangan tipu Nika! Dia di rumah besar kan!” tidak puas hati, ayahnya kemudian keluar semula dan menghayun langkah pantas menuju ke rumah besar.
Nika yang gerun dengan tingkah ayahnya yang sedang mabuk itu lantas menyusul dari belakang, dia harus menghalang ayahnya dari membuat hal di rumah Faris pula.
“Ayah…! Ayah!....... mak tak ada di situ!” pekik Nika kuat dan hampir tersandung.
Tapi ayahnya langsung tidak peduli dan terus berjalan lebih laju. Beberapa langkah lagi mereka akan sampai ke pagar halaman belakang. Nika semakin tidak sedap hati. Angin petang itu bertiup laju dan terasa hangat sepanjang dia berlari.
Emaknya muncul dari pintu belakang dan berlari mendapatkan ayahnya yang terus berteriak. Nika berdoa dalam hati semoga Faris tidak berada di dalam rumah besar itu sekarang.
“Ros! Ros!... aku perlu duit Ros.. mereka akan bunuh aku kalau aku tak bayar hari ni.. tolonglah Ros…” rayu ayahnya sambil memegang tangan emaknya.
“Maaflah ayah.. tapi ini bukan masalah kami! Pergilah dari sini..!” kata Nika geram.
Sekarang ini mereka bertiga betul-betul berada di belakang halaman rumah Faris dan saling bertengkar dengan suara yang kuat.
“Mana aku nak cari duit Zali……. dari dulu lagi kau tahu kami tak ada wang,” jawab emaknya dan cuba menarik tangan ayahnya pergi dari situ.
“Mana rantai emas yang Tuan Rahmad beli dulu.. beri pada aku!” desak ayah.
“Bukankah kau sudah gadaikannya!” rintih emak hampir menangis.
Nika semakin risau.
“Aku ingat kau dah tebus balik rantai tu. Nika… mana kau simpan rantai tu,” ayahnya berpaling padanya pula dengan muka merayu yang tidak tahu malu.
Nika hanya mampu meredam perasaan marah hingga dia tidak mampu berkata lagi. Suara guruh dari langit dikejauhan menyahut pertengkaran mereka.
“Rantai tu dah tak ada… sudah! Pergilah dari sini, kau tu mabuk.. tak malukah dengan perangai buruk kau..”
“Tidak!” bantah ayahnya tiba-tiba sahaja menerpa Nika dan menariknya ke dakapan lalu mencekik leher Nika dengan sebilah pisau lipat ditusuk ke lehernya.
“Razali!!!” jerit emak bimbang. “Lepaskan Nika! Itu anak kau!” emak melangkah ke depan.
Ayahnya berundur ke belakang dengan Nika tercekik serta tidak mampu melawan. Dia hampir-hampir tidak bernafas dan meronta-ronta dalam cengkaman kuat tangan ayahnya.
“Berikan aku wang atau aku jual Nika pada tauke Tong!.. beritahu mana rantai tu..!” ayah merapatkan lagi ancamannya.
“Ayah…” rayu Nika dengan perasaan gerun ketika mendengar nama bapa ayam yang pernah didengarnya dari cerita Husin.
“Razali! Tolonglah…. Lepaskan Nika,” rayu emaknya lagi hingga berlutut di depan ayahnya yang berbau arak itu. Angin terus berhembus kuat dengan cuaca yang lebih gelap memberi petanda musibah bakal tiba.
“Lepaskan dia!” bentak satu suara asing.
Mereka bertiga serentak berpaling dan terkejut melihat Faris muncul di situ. Pandangan tajamnya terpana tepat kepada ayahnya. Nika berasa sangat malu tapi berharap Faris akan menolongnya.
“Lepaskan dia!” desak Faris lebih tegas dengan nada mengancam.
“Tidak! Sebelum perempuan dua ni tak bagi aku wang!” kata ayahnya.
Nika menjerit kecil, lehernya terasa pedih dengan tusukan pisau yang masih terhunus. Wajah Faris kelihatan bimbang. Rahang pipinya bergerak-gerak.
Nika mohon simpati ayahnya supaya tidak memperlakukannya sedemikian rupa.
“Saya akan berikan awak wang tapi lepaskan dia!” kata Faris jelas. “Berapa kau mahu!”
“Dua puluh ribu! Tunai!” sahut ayahnya, serentak dengan rengekan emak.
“Jangan tuan!” pekik emaknya.
Tapi Faris langsung tidak mempedulikan bantahan itu dia terus masuk semula ke dalam rumah. Nika berharap benar moga-moga lelaki itu keluar dengan senapang patah dan mengusir ayahnya dari situ. Tapi dia mengerang kecewa, apa yang diharapkannya tidak berlaku ayahnya mengekeh kemenangan melihat wang dalam ikatan yang tebal dalam not seratus di tangan Faris.
“Ambil wang ini ..” Faris menghulurkan wang tersebut.
Ayahnya langsung mengambil wang itu dengan muka tidak tahu malu. Kemudian dia menolak Nika ke arah emaknya, dia terduduk di atas rumput dalam keadaan benar-benar terhina.
“Dia tak boleh bayar..” suara Nika serak, matanya basah merayu pada Faris agar mengambil balik wangnya.
“Tolonglah tuan.. kami tak mahu berhutang, biarlah suami saya uruskan perkara tu,” emak mencelah. Nika memegang tangan emaknya dan membawanya bangun.
“Kalau begitu Tuan ambil anak saya Nika sebagai bayarannya, tuan boleh jual atau buat apa saja..” kata ayahnya.
“Ayah!!” jerit Nika lebih nyaring. Tergamak betul lelaki itu berkata begitu.
“Tergamaknya kau Razali!!” maknya memekik terkejut.
Faris merenung muka lelaki tua tidak sedar diri itu dengan mata yang galak.
“Saya pun tidak mahu lagi berhutang dengan sesiapa jadi tuan boleh ambil dia sebagai bayarannya lepas ni kita tak ada apa-apa hutang lagi..” ayahnya langsung tidak memandang pada Nika dan emaknya. Dia cuma melihat wang itu dengan riak gembira.
“Kenapa dengan kau ni! Pulangkan wang tuan Faris!” kata maknya yang benar-benar malu dengan keadaan mereka di depan majikannya.
“Saya akan mengahwininya..”
dalam sayup-sayup gerimis Nika terkejut mendengar kata-kata Faris.
Dia berpaling pantas, memandang Faris yang turut merenungnya. Lama dan dalam. Penuh emosi yang tidak jelas. Jawapan Faris benar-benar mengejutkan selepas dari tadi dia mendengar sahaja mereka anak beranak saling berbantah.
“Saya tidak perlu bayar balik..” ujar ayahnya dan Faris menyahut.
“YA!” dengan matanya masih tetap pada mata Nika. “Dengan syarat..!!” Faris mengalihkan pandangannya pada lelaki pemabuk yang tidak sedar diri itu lagi tapi bersedia menunggu syarat seterusnya dari Faris.
“Pergi dari sini! Saya tidak mahu melihat kamu berada di rumah itu lagi ataupun di kawasan ini!” perintahnya tegar. Ayah Nika mengangguk-angguk dan tersengih. “Saya akan serahkan kamu pada polis jika kamu kembali ke sini lagi! Faham!”
“Baiklah…baiklah..”
Nika memandang geram pada kedua-dua lelaki itu. Apa yang hendak dikatakannya, sekarang mereka telah menyelesaikan satu masalah dengan mencipta satu lagi masalah baru. Dia benci ketika ayahnya hanya mengekeh ketawa. Dia berang kerana mereka melakukannya seperti barang dagangan. Lantas keberangan itu mendorongnya menuntut hak dari ayahnya juga. Dia juga mahu membuat tuntutan.
“Satu perkara lagi ayah…!” tiba-tiba dia bersuara sebelum ayahnya pergi. Dia juga mahu turut serta dalam perjanjian itu.
Faris berpaling merenungnya, renungan sama sewaktu mereka di hospital tempohari dan sedang menunggu apa yang mahu dikatakannya. Nika tidak lagi peduli apa akan berlaku selepas ini kerana dia mahu perkara yang sudah berlanjutan lama ini benar-benar selesai dan dia tidak lagi dikejar oleh masalah yang sama. Dia memandang muka ayahnya dengan pandangan benci yang terpatri kuat dalam hatinya lantas berkata.
“Lepaskan mak… saya akan ikut semuanya. Saya akan bayar hutang ayah itu! Tapi tinggalkan mak dan jangan pernah jumpa kami lagi. Anggaplah kami sudah mati dan ini, hari terakhir kita bertemu..” kata Nika muktamad. Dia memegang tangan emaknya kuat.
Ayahnya hanya mengangguk dan mengekeh ketawa sebelum pergi melangkah dengan tidak stabil langsung tidak peduli akan keadaan dia dan isterinya.
Suasana kembali senyap. Tiada lagi suara saling membentak, merayu dan menghalang. Nika sekali lagi menjadi perenung dada langit yang telah menitiskan titisan hujan renyai sambil memikirkan semua hal yang tidak masuk akal bila difikirkan semula. Adakah cara untuk berundur dari perjanjian ini. Adakah Faris cuma menipu ayahnya supaya ayahnya pergi dari rumah – kalau begitu bukankah lebih baik.
“Kosongkan rumah itu besok dan saya mahu kamu berdua masuk ke dalam rumah saya sekarang,” Faris berkata jelas pada dia dan maknya pula. Nika yakin yang lelaki itu serius dengan ucapan ngerinya.
‘Baguslah tu!’ keluh Nika dalam hati dan entah apa pula yang menanti di dalam rumahnya. Tapi jika perjanjian itu akan menjauhkan mereka berdua dari ayahnya, dia rela melakukannya biarpun dia tidak tahu apa yang akan menanti esok.
Mak memegang erat lengannya ketika mereka masuk ke dalam rumah tersebut. Mereka bertiga kini berada di dapur yang sangat bersih dan tenang tidak seperti perasaan Nika yang  berkecamuk dan diserang seribu fikiran tidak keruan.
“Jadi.. macam mana sekarang?” kata Nika, tidak sanggup membiarkan dirinya dirasuk fikiran yang menyesakkan.
Faris memberhentikan langkahnya dan berpaling menghadap. Mereka berdepan dengan lebih jelas sekarang. Maknya melihat mereka berdua bersilih ganti.
“Bagaimana caranya saya bayar hutang itu?” soal Nika berani.
“Teruskan perjanjian kita.” Faris memutuskannya muktamad.
Nika terpaku pada pemilik mata coklat yang menawan itu.
“Berikan saya waktu.. saya akan bayar wang itu semula,” pintanya dan berharap benar Faris bersetuju.
“Saya tidak mahu wang, saya cuma mahukan awak dan tunaikan janji itu.” Muktamad dan dia pergi dari situ.
Nika hampir rebah mendengarnya. Ada banyak perkara yang memberi maksud kalau Faris berkata ‘saya cuma mahukan awak’. Samada dia betul-betul mahukan dia sebagai isterinya atau ada perkara yang lebih menakutkan di balik perkara itu. Nika tertunduk, merenung lantai yang disinari cahaya lampu terang benderang dan bila dia mengangkat wajah…….. maknya tidak ada di situ. Dia kembali takut dan bimbang jika maknya lari keluar mencari ayahnya. Tapi kemudian dia mendengar suara maknya memanggil Tuan Faris dari arah tangga.
Nika bergegas menyusul dan membelok ke arah tangga, ketika kakinya naik lima anak tangga dia melihat emaknya berhadapan dengan Faris di ruang atas sekarang. Dia terpaku menunggu dan yakin Faris tahu dia sedang berdiri di situ.
“Saya mohon tuan Faris, dengan hati seorang ibu… saya mohon jangan jualkan anak saya pada siapa-siapa. Kahwinilah dia kalau itu yang tuan mahu..” kata emak sambil tersedu. Nika tersentak mendengarnya. Sungguh hina betul rasa dirinya bila mendengar maknya merayu seperti dia tidak bermaruah langsung.
“Saya tidak akan lakukan itu puan, yakinlah yang dia akan selamat bersama saya,” kata Faris dan melihat pada Nika sekilas.
“Saya mohon kalau tuan tidak inginkan dia, kembalikanlah dia kepada saya juga berjanjilah tuan…”
“Puan tak perlu bimbang..” kata Faris yang kini memandang pada Nika yang berada di tangga sambil berkata. “Saya akan persiapkan semuanya,” dia mahu berjalan pergi tapi kembali berpaling pada mereka berdua.
“Lebih baik puan tidur di bilik tetamu bersama Nika dan jangan kembali ke rumah kecil itu lagi..”
Itulah perkara yang paling jelas pada pendengarannya sepanjang dia hidup di muka bumi ini. Perkara menakutkan yang merupakan penutup segala impian dan harapan.
Entah mengapa Nika dan maknya mengikuti saja arahan Faris tadi dengan tidur di bilik tetamu sambil dia memikirkan cara terbaik hendak menghuraikan kekusutan ini. Mereka berdua duduk di atas katil dalam keadaan tidak rela dan tidak ubah seperti mangsa penderaan yang memilukan.
“Sejauh mana mak tahu dia baik..” tanya Nika buat kali yang ketiga atas saranan maknya supaya menurut sahaja perjanjian mereka.
“Dia baik Nika, mak tahu itu. Arwah Tuan Rahmad pun begitu, tak banyak bezanya perangai mereka berdua... apa yang mak percaya, dia akan menjaga kamu dan mak yakin dia akan berpegang pada janji. Lagipun dia dah tolong ayah kamu untuk selesaikan hutangnya. Mungkin kamu mempunyai seorang ayah yang teruk Nika tapi siapa tahu rahmat Tuhan yang tersembunyi dibalik semua kejadian-kejadian tadi.” Jelas mak yang seakan menyerah sahaja dengan perjalanan kehidupan mereka.
“Dengan mengorbankan jiwa Nika…” katanya lemah dan mahu menangis.
“Kita berdoa Nika, semoga kita dilimpahkan kebaikan atas apa yang berlaku tadi. Mungkin memang benar Faris mahu mengahwini kamu..”
Nika mengerekot berbaring sambil menggeleng tidak percaya yang maknya boleh berkata begitu. Dari cara Faris merenungnya, dia yakin lelaki itu ada maksud lain. Oh Tuhan… mudah-mudahan dia tidak begitu.
“Mak akan pergi ke rumah pak cik Rais kamu,” kata emaknya lagi membuatkan Nika pantas berpaling.
“Jauhnya kenapa..?” dia lantas terbayangkan perjalanan sejauh lapan jam dari sini.
“Mak perlu pergi dari sini Nika. Kalau ayah tahu mak masih ada di sini dia akan cari mak lagi. Betul lah kata Faris, rumah kecil kita tu dibiarkan kosong. Nika tinggal di sini bersama Faris,”
Nika makin tertekan. Dahinya terasa berat. Mendengar perkataan ‘bersama Faris’ benar-benar membimbangkannya.
“Kita lari sama-sama, Nika ikut mak..” saran Nika dalam terdesak.
“Jangan Nika, macam mana dengan kerja Nika?” bisik maknya yang sama sekali tidak bersetuju.
“Biarkanlah.. nanti, nanti Nika cari kerja lain,” jawabnya.
“Tak boleh nak… itu masa depan Nika. Masa depan anak-anak Nika sekalipun bila Faris tinggalkan Nika, Nika masih ada ruang untuk bernafas. Lagipun mak malu dengan keluarga Faris, mereka sekeluarga dah tolong kita, sejak dulu lagi sampailah sekarang. Tak baik rasanya buat dia begitu. Dunia ni kecil Nika, bila kita lari dan suatu hari nanti kita jumpa dia bukankah tidak elok, jadi.. mungkin inilah caranya kita membalas budi mereka sekeluarga Nika.”
Ya! Mungkin betul kata mak, mungkin inilah caranya mereka membalas budi. Budi yang dibawa hingga ke mati!.
Lantas Nika menarik selimut tebal dan menyelubungi dirinya. Berpura-pura tidur tapi otaknya ligat berfikir banyak hal dan bila memikirkan dia perlu kerja atau tidak esok pagi.. hatinya bertambah runsing. Dia tidak tahu bagaimana caranya hendak beritahu Zakiah yang dia telah melalui malam yang paling mengerikan dalam hidupnya.

Thursday 24 November 2011

Raylan Faris 2




Bab 3
Keesokan pagi awal-awal pagi lagi Nika ke rumah Tuan Rahmad. Dia terpaksa menggantikan emaknya bekerja di rumah besar hari ini berikutan keadaannya tidak mengizinkan.
Suasana sunyi menyambut ketibaannya masuk. Sejak dua tahun yang lalu, ini kali pertama Nika masuk ke dalam rumah itu lagi. Dapur mewahnya masih seperti dulu kemas dan bersih. Benar-benar tidak pernah dikotori dan kelihatan seperti tidak berpenghuni. Tidak mahu berlambat dia segera menjalankan segala pesanan emaknya yang menyuruhnya membasuh pakaian dahulu sebelum membuat sarapan pagi untuk Raylan Faris, tuan baru rumah itu.
Kerjanya tidaklah sukar, dia cuma perlu membiarkan mesin basuh itu bekerja dengan sendirinya sementara dia membuat kerja lain. Sarapan telur goreng hancur, sosej dan juga susu segar siap dihidangkan di atas meja sebelum beralih ke kerja seterusnya di tingkat atas rumah itu.
Ada empat buah bilik di atas, dua di bahagian depan dan dua lagi di belakang. Di hujung sebelah kanan terdapat sebuah lagi ruang yang ditutupi tabir panjang sepanjang ruangannya. Untuk ke ruangan itu dia perlu melintasi dua buah bilik yang saling berhadapan. Di situlah letaknya bilik Raylan Faris. Mengikut peta emaknya. Di hadapannya pula kelihatan balkoni yang ditutupi tabir nipis di sebelah ruang menonton tv, boleh dilihat oleh sesiapa pun yang menaiki tangga ke tingkat ini. Kenapa dia sangat berminat dengan balkoni itu? Itulah balkoni yang dapat dilihat dari rumah kecilnya di mana, seseorang sejak kelmarin berdiri di situ seperti sedang memerhati.
Masuk sahaja ke bilik yang tepat, dia mula mengemas katil dengan rapi, mencari habuk yang tidak kelihatan dan ke bilik air lalu mencebik di situ, berkata dalam hati saja tentang pengotornya tuan punya bilik itu yang meninggalkan bilik airnya dengan barang mandian bersepah di sana-sini. Tangannya laju menyusun barang mandian tadi ke atas rak. Kemudian dia mula menyiram pencuci lantai hampir setengah botol di atas lantai dan menyapu lantainya dengan span besar yang ditemuinya dalam almari sebelum dia terkejut ketika pintu bilik air itu diterjah secara tiba-tiba!
Nika sempat terpandang seorang lelaki yang berundur semula dari pintu. Dia bingkas berdiri dan berkata dari balik pintu. “Maaflah…”
“Kamu siapa?” soal lelaki itu yang tidak syak lagi Raylan Faris.
“Oh… saya anak Puan Ros, dia kurang sihat hari ni jadi saya ganti emak bersihkan rumah encik..” sahut Nika dari balik pintu dan mereka berdua sekarang hanya saling mendengar suara.
“Encik hendak guna bilik air?” tanyanya lebih kuat.
“Tak mengapa, saya pergi ke bawah saja..” 
‘Terima kasih atas kerjasama tu’ katanya dalam hati dan kembali menyirami bilik air yang sekarang dipenuhi buih sabun dan berbau harum. Selepas mengemop lantainya hingga kering dia segera keluar setelah memastikan ianya sangat bersih dan berkilat pada pandangannya dan juga tidak mahu bertembung lelaki itu.
Bagaimanapun cadangannya cuba mengelak dari bertembung Faris tersasar kerana mereka berdua sudahpun terserempak di tangga dan kini bertentang mata dalam lima saat yang kaku. 
Nika berdehem kecil yang langsung tidak membantunya menghilangkan dari rasa berdebar. Terpaku seketika melihat wajah sebenar Raylan Faris. Dia teringat....
“O…. hai, errr…. saya dah siapkan sarapan, encik mahu saya bawanya naik ke atas,” katanya.
Faris melangkah dengan sangat perlahan yang membuat Nika perasan akan sesuatu bila lelaki itu menggaru kening kirinya dan mempamerkan luka di lengan yang berbalut.
“Encik… emm...  yang datang ke ‘emergency’ tu kan, ingat lagi.. saya yang jahit luka tu?” kata Nika dengan matanya beria-ia benar melihat pada lengan Faris.
Faris melihat lengannya sebelum berkata. “Ahhh… ya…” jawabnya lambat sambil memegang tangannya yang berbalut, keningnya turut berkerut.
Nika menganggap yang lelaki itu telah melupakannya atau memang tidak ingin mengingatinya.
“Saya Nika. Anak Puan Ros. Encik Raylan Faris kan..” sungguh bodoh bunyinya bila dia menyebut ‘Raylan Faris kan’ padahal dia sudah tahu lelaki itu siapa.
Faris cuma tersenyum kelat dan mengangguk dengan berat sekali, seolah-olah menggambarkan betapa dia tidak gembira dan jelaslah tidak mahu langsung melihat anak orang gaji yang bertaraf rendah sedang bercerita dengannya.
Melihat reaksi Faris, Nika cepat-cepat turun dan berjalan di sebelah Faris yang kaku di tangga. Betullah kata emaknya, lelaki itu tidak pandai bercakap. ‘Rugi benar diberi mulut yang boleh dipakai,’ detus hati Nika jahat tapi dalam hati saja dia berani mengatakannya walaupun dia teringin hendak meluahkan. Malah detik itu juga dia tidak percaya kalau Faris adalah lelaki yang berdiri dengan prihatin di balik tabir seperti yang dilihatnya dari rumah kecil. Barangkali di rumah itu masih ada roh Tuan Rahmad yang sedang berlegar-legar.
Bagaimanapun Nika harus mengakui yang lelaki itu menakjubkan betul tarikannya. Dia memiliki mata, hidung mancung dan bibir yang menawan yang langsung tidak padan benar dengan sikap dingin luar biasanya. 
Hampir pukul satu petang barulah kerja-kerjanya di rumah besar selesai. Nika kembali menemani emaknya di rumah yang sudah boleh bangun tapi masih terdapat lebam di pinggir matanya. Irfan juga langsung tidak keluar rumah, katanya dia mahu menunggu ayahnya mereka pulang dan memberinya sepatah dua kata. Tapi sehingga ke malam menjelang orang tua itu langsung tidak muncul-muncul.
*
Selepas beberapa hari cerita ayah mereka memukul emaknya, Irfan kemudian kembali ke kolej setelah cutinya tamat meninggalkan Nika dan emaknya, juga ayahnya yang tidak lagi mengamuk tak tentu pasal. Itu kerana, ayahnya tidak pulang  tiga hari lalu dan bila balik dia sibuk memotong rumput di kawasan taman.
“Jadi… tak ganti emak kau kerja lagi..” tanya Zakiah ketika mereka berdua sedang mengusung pesakit lelaki yang kesakitan terkena tembakan di kakinya manakala tangannya pula digari pada palang katil. Mereka membawanya ke hujung.
 Zakiah menarik tabir penghadang menutup katil pesakit tadi.
“Tak.. dua hari aje,”  jawabnya sambil membersihkan darah di kawasan tembakan sementara Zakiah menyediakan peralatan.
“Ada jumpa lelaki dingin tu lagi,”
“Tak.. maksud aku… baguslah, tak payah tengok muka orang sombong tu,” kata Nika acuh tak acuh.
 Zakiah mengangkat kening.
Doktor Julia kemudian muncul dan pantas membuat kerjanya mengeluarkan peluru dari paha mangsa sementara dia dan Zakiah berbisik di belakang doktor Julia.
“Patutlah Dr. Ishak marah dan resah je beberapa hari ni… kau tak jadi buat temujanji tu..?”
“Itu bukan salah aku, dia patut faham,” bisik Nika juga.
Zakiah hanya mencebik lalu pergi meninggalkannya sendirian membersihkan luka yang kini telah dijahit. Dr. Julia juga sudah keluar. Hanya dia seorang bersama pesakit bergari itu. Kemudian dia membalut luka itu dengan rapi.
Sejurus kerjanya selesai dia berpusing hendak keluar tapi…. dengan tak sengaja dia terlanggar seseorang yang membuka tabir beroda itu.
"Maaf," ucapnya laju.
Faris berdiri di depannya.
Insiden yang tak disangka-sangka antara Nika dan Faris ‘si dingin’ – gelaran terbaru Nika untuknya setelah mereka tidak lagi bertemu di rumah besar sejurus kisah pertemuan kaku di atas tangga. Nika tergamam seketika sebelum tersedar lantas memberi Faris laluan dengan perasaan curiga yang mahu ditanyakan apa pula kaitan Faris menjenguk mangsa yang ditembak itu. Tapi yang paling menambahkan rasa jengkel Nika, Faris langsung tidak menyahut dan hanya memandangnya sekilas.
 Dia keluar dari ruangan bertabir dan pergi mendapatkan ubat di kaunter seperti arahan doktor Julia tadi. Kemudian dengan rasa berat hati dia perlu kembali semula ke katil tadi dan harus melihat riak ego Faris untuk yang ke sekian kalinya. Tapi bila dia memikirkan yang itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielak kerana tuntutan kerja dia meneruskan juga langkahnya.
Tapi sewaktu dia hampir di katil yang bertabir biru itu dengan tak semena-mena dia mendengar suara-suara kasar dan tegang dari dalam, entah serius atau tidak dia tersentak mendengar....…
“aku akan laporkan kau pada polis Faris!!”
“Silakan…. Bodoh!” jawab Faris. “Lakukannya, sekejap lagi polis  sampai,”
Nika pantas menggapai tabir dan membukanya dengan pandangan curiga, dua lelaki tadi berpaling padanya dan dia melihat tangan Faris sedang mencengkam kolar baju mangsa tadi hingga kepalanya terangkat sebelum melepaskannya kasar. Nika menjeling tajam. Dia ingin benar bertanya apa masalah mereka, bagaimanapun gari yang mengikat tangan mangsa tembakan itu jelas menandakan yang dia tidak ditugaskan untuk bertanya akan hal-hal begitu.
 Faris mengerlingnya tajam ketika dia memberi ubat pada pesakit yang baru sebentar mahu dicekiknya tadi seolah-olah dia mahu pesakit itu diberikan suntikan beracun. Kecurigaannya semakin kuat akan kerja si Faris itu. Lebih-lebih lagi dia berada di sebelah pesakit lelaki yang tangannya bergari dan tidak ada pula kakitangan di situ yang melaporkan kalau-kalau dia seseorang dari jabatan polis.
Dia beredar dari ruangan itu dan mencari Zakiah, syif mereka akan tamat sepuluh minit lagi. Cuaca kebiruan yang samar dapat dilihat dari celah tingkap wad ketika Nika menanggalkan jaket tebalnya lalu menyimpannya ke dalam loker. Zakiah kemudian muncul entah dari mana. Tina juga sudah muncul dan melangkah masuk sambil menyapa gembira pada mereka semua. Sejurus menandakan jam terakhir pada kad kehadiran dia dan Zakiah beriringan keluar menuju ke ruangan menunggu.
Bagaimanapun…….. percaya atau tidak, sekali lagi semasa di ruangan menunggu Nika bertentang mata dengan Faris yang masih berada di kawasan itu, tempat beberapa pelawat masih duduk di satu-satu tempat. Faris sedang berdiri dan bersandar pada tiang bulat di pintu utama. Nika cuba tidak mengendahkan dan mahu mengelak dari menyapa lelaki itu sebelum dia berpaling ke lain mendengar namanya dipanggil.
“Nika!”
Dia terpandang wajah suram Dr. Ishak yang sedang mendapatkannya.
“Boleh kita bicara sekejap,” katanya.
Nika berpaling seketika pada Zakiah yang membuat isyarat menunggunya di dalam kereta. Dia tahu apa yang hendak lelaki itu bicarakan. Sudah tentu ia berkenaan dengan temujanji mereka yang terbatal minggu lalu.
“Boleh tak awak khabarkan pada saya kalau awak ada masalah lain…” luahnya berterus-terang pada Nika yang terkebil-kebil sebelum menjawab.
“Maaflah Ishak kalau pasal temujanji tu, saya ada masalah dan tak boleh elakkannya,” jawabnya tapi tak sanggup hendak membahaskan masalah sebenarnya yang dia terpaksa bekerja di rumah majikan emaknya.
Saat itu apa yang Nika perasan, bukan wajah resah Ishak di hadapannya sebaliknya renungan Faris dari jarak sepuluh kaki yang dapat dikerlingnya.
“Tak perlukah saya ambil tahu apa masalah awak Nika, bukankah itu penting,”
Oh Tuhan… Adakah dia perlu beritahu pada Ishak yang emaknya dipukul oleh ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk. Adakah Ishak akan memahami dan mahu menelan hakikat dengan siapa dia mengatakan kepentingan itu sekarang. Nika mengakui, selepas dia melalui saat-saat paling teruk dengan keluarganya dia harus mengambil kira perlu atau tidak tentang menjalin hubungan dengan Ishak berikutan taraf kehormat lelaki itu yang diketahuinya dari awal dan mampukah dia berhadapan dengan situasi sebegitu. Rasanya tidak!
“Tak ada apa-apa, saya ok,” putusnya lemah dan sayu.
“Nika..”
“Saya akan beritahu awak nanti, belum masanya untuk saya bincangkan perkara lain. Maaflah, saya balik dulu.. Zakiah dah tunggu,” dia sebenarnya bukan tidak mahu berada bersama Ishak lebih lama di situ tapi dia tidak tahan dengan renungan mata Faris yang benar-benar aneh.
Seolah-olah ada suatu perasaan yang sangat rumit berlaku ketika itu. Malah apabila Faris turut pergi dari tempatnya berdiri tadi, Nika sangat inginkan penjelasannya kenapa dia merenung begitu sekali sedangkan sewaktu berada di rumahnya lelaki itu seakan benar-benar tidak mahu memandangnya.
 Sebelum masuk ke dalam kereta, Nika sempat berpaling pada Faris sekali lagi dan sumpah! Dia melihat lelaki itu masih memerhatikannya.
“Kenapa dia renung aku begitu!” rungutnya sendirian yang dapat Zakiah dengar dengan jelas.
“Siapa? Dr. Ishak?” tanya Zakiah pelik.
“Bukan. Faris.”
“Faris? Majikan mak kau?” tanya Zakiah lagi.
“Siapa lagi. Dia asyik renung aku bercerita dengan Ishak. Dia dah tertelan pil dungu ke?”
“Tak.. pil angau. Mungkin ubat yang kau bagi dia hari tu buat dia jadi gila bayang dengan kau,” kata Zakiah sambil ketawa besar di sebelah Nika yang geram.
Kereta itu mula meluncur laju pada pagi yang hening.
“Zakiah!” deramnya. “Dia bukan begitu, aku yakin dia aneh. Ada yang tak kena dengan kemunculannya di rumah arwah Tuan Rahmad.”
“Baik kau tanya saja dia nanti, lebih jelas. Tak perlulah kamu berdua saling hairan. Lagipun rumah kamu berdua dekat aje,”
Cadangan yang bernas sekali dari Zakiah. Nika menggerenyet.
“Baguslah tu. Terima kasih,” lantas Nika turun dan hampir tidak menyedari dia telah tiba di kawasan rumahnya.
“Nika…” panggil Zakiah dari dalam kereta. “Dia dah balik tu,” katanya lalu ketawa gelihati.
Nika turut menoleh pada Range Rover hitam berkilat yang sedang parkir di halaman masuk dengan pamandu yang sangat menjengkelkannya  beberapa hari ini telah turun dari kereta.
“Kalau aku jadi kau Nika, aku pilih Faris sebab aku tak sanggup berdepan dengan mak Dr. Ishak tu. Faris pun tak kurang kacaknya,”
(Mak Dr. Ishak? Mereka sekarang merujuk kepada pengarah hospital tempat mereka bekerja – seorang wanita perengus dan kuat marah.)
“Zak, agaknya kau pun dah termakan pil dungu!” sahut Nika dan mereka ketawa di situ.
Dia sempat melambai pada Zakiah sebelum berjalan keseorangan melalui lorong masuk yang redup dan sunyi diiringi satu perasaan aneh, seperti ada mata yang mengiringi langkahnya. Nika berpaling ke tingkap-tingkap banglo Raylan Faris tetapi dia tidak nampak pun sesiapa kecuali kaca jendelanya yang gelap.
‘Ah! Perasaan mengarut’ kata hatinya, barangkali dia pun tertelan ‘pil kurang waras’ hari ini. Atau mungkin kerana nama lelaki itu beberapa hari ini kerap muncul dalam benaknya. Banyak perkara yang tidak jelas tentang Raylan Faris dan kenapa dia boleh terus mengingati lelaki yang baru muncul itu.
Nika mengeluh kecil, kemudian dia melihat emaknya berjalan ke arah rumah besar yang membuatkan hatinya runtun tiba-tiba. Dia simpati pada emaknya yang seharusnya tidak perlu bekerja lagi. Tapi dia gagal untuk mengelakkannya, semuanya kerana mereka masih menumpang di tanah arwah Tuan Rahmad. Emaknya kata, ini sahajalah balasan budi yang dapat diberikannya pada keluarga itu atas jasa baik mereka selama ini. Langkahnya semakin perlahan saat pintu rumah berwarna coklat semakin jelas.
Nika tidak terus masuk ke dalam rumah, seperti biasa dia ke pinggir laman untuk menyiram bunga-bunga dan selalu berasa senang hati melihat bunga-bunga itu yang diyakininya merupakan salah satu terapi menenangkan hati.
“Nika!”
Tangannya yang sedang menyiram bunga terhenti. Dia berpaling benci melihat ayahnya. Hatinya masih terguris dan menyimpan segunung kebencian untuk lelaki yang sekarang tidak layak dipanggilnya ayah.
“Buat apa awak datang!” biadap benar mulutnya menyambut kedatangan ayahnya.
“Mana mak kamu!”
“Dia tak ada di rumah dan mak tak mahu jumpa ayah!” tempelaknya.
“Tolong ayah Nika, ayah dalam kesusahan ni..” rayunya dengan wajah lelaki yang tidak berguna.
“Bukan Nika atau mak yang cari penyakit tapi ayah sendiri!”
“Ini penting Nika, kalau tidak ayah akan mati!”
“Jadi! Siapa yang perlu tanggung semua itu! Mak? Nika? Bukankah sewaktu berhutang dengan mereka ayah dah tahu apa akibatnya. Jadi! Kenapa cari kami lagi, tak cukupkah dengan apa yang mak lalui!” Nika sangat bengang dan bagai malu hendak mengakui siapa lelaki yang pernah membesarkannya dengan kasih sayang dulu.
“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong ayah sedikit pun! Itulah gunanya anak..”
“Adakah saya ni dilahirkan semata-mata untuk hidup susah dan menanggung kesalahan ayah seumur hidup!”
Pantas tangan sebesar pinggan hinggap ke pipinya. Sakit dan memilukan. Kepalanya terpaling ke sisi. Airmatanya gugur dengan rasa kebencian yang meluap-luap.
“Ah!!! Sudahlah!!!!” pekik ayahnya lantas menghayun langkah pergi dan tidak lagi berpaling.
Dia bersandar lemah pada pintu sambil memegang pipinya yang masih sakit. Kepalanya mendongak ke dada langit yang membiru tenang tidak seperti hatinya yang mengumpul rasa kemarahan dan benar-benar tegang. Lalu dia masuk ke dalam rumah, masih terngiang-ngiang kata-kata ayahnya yang tak masuk akal. Tidak berfikir seperti seorang ayah dan tidak pernah mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang pelindung untuk keluarganya.
“Nika!.. Nika!...” tiba-tiba mak menerjah masuk dengan wajah cemas. Mujur jugalah mak tidak keluar dari rumah besar itu sepanjang dia bercakap dengan ayahnya sebentar tadi.
“Kenapa mak ke sini.. nanti ayah nampak..” kata Nika risau.
“Tak.. dia dah pergi, kamu tak apa-apakan Nika?”
“Tak payah risau, mak pergilah sambung kerja,” katanya lagi.
“Ayah kamu nak apa?”
“Duitlah.. apa lagi yang dia perlukan selain duit! Dia takkan berubah, sampai masanya kita kena lepaskan dia mak,” luah Nika dengan mata yang bergenang tapi segera mengesatnya dan menguatkan hati.
“Mak nampak dia pukul kamu tadi, Tuan Faris pun nampak… tu yang mak risau,” beritahu emaknya sambil mengusap pipi Nika dan memberitahu ada kesan kemerahan di pipinya.
“Tak apa.. Nika okey,”
“Berehatlah....”
Nika mengangguk lemah dan sekali lagi berkeras yang dia tidak apa-apa dan menyuruh emaknya menyambung kerja. Maknya akur. Tapi belum jauh maknya pergi dia terdengar suara seseorang yang sangat janggal kedengarannya. Hatinya tersentak.
Ada apa-apa yang perlu saya bantu,” ujar suara itu dari luar yang mendorong Nika menjenguk dari tingkap tepi pintu dan mengintai dari celah langsir yang diselak sedikit dengan perasaan tidak menyangka Raylan Faris berdiri di situ sedang bercakap dengan emaknya.
“Eh! Tuan, err… semuanya baik..” beritahu emak.
“Dia tak apa-apa?”
Mata Nika terbuka besar, adakah dia tersalah dengar atau cuba mereka-reka cerita yang lelaki itu baru saja bertanyakan keadaannya. Memang benarlah firasatnya, lelaki dingin ini sering memerhatikannya dari rumah besar dan pastilah kejadian tadi sangat menarik perhatiannya hingga mendorong Faris ke situ untuk mengetahui keadaannya.
Kedengaran suara mak menjemput lelaki itu masuk.
 Dan Nika bersumpah dari belakang pintu yang dia tidak akan membukakan pintu. Tapi mujurlah Faris menolak pelawaan emaknya dan berjalan ke hadapan sebelum berpaling ke arah tingkap tempat Nika mengintai tadi.
Ada pengertian yang tidak difahami dari cara dia menoleh…

Friday 18 November 2011

Raylan Faris 1




Bab 2
Nika terbangun ketika sayup-sayup suara azan maghrib kedengaran dari masjid di kawasan tempat tinggal Zakiah. Bunyi ketukan dan suara mak menyuruhnya cepat-cepat solat membuatkan dia bingkas. 
Selepas solat dia lantas ke dapur, emaknya sudah pun menghidangkan makan malam lebih awal  hari ini.
“Ayah mana mak?” dia  menjenguk ke bilik emaknya mencari kelibat orang tua itu. Selalunya awal malam begini dia sudah mendengar rungutan bengis ayahnya yang panas baran dan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. 
“Jangan harap dia balik kalau ada duit Nika..” jawab maknya jengkel dan mengambil tempat duduk di meja makan.
Nika senang hati mendengar, kalau ayahnya tidak teringin lagi mahu pulang pun dialah orang yang paling gembira. Tapi bila memikirkan yang ayahnya mungkin berjudi lagi dia kembali kecewa namun memendamnya jauh ke dasar hati tidak mahu Irfan turut memikirkan masalah ayah mereka nanti hingga menejejaskan pelajarannya.
Selepas bersiap dia berangkat kerja. Zakiah menunggu di depan lorong. 
Ketika bergegas berjalan di sepanjang lorong kecil berumput  dia sempat melihat Range Rover hitam berkilat parkir dengan mewahnya di laman banglo arwah Tuan Rahmad. Mungkin kepunyaan penghuni barunya, katanya dalam hati dan mencanang semuanya dalam fikiran.
Sejurus masuk kerja pada pukul sembilan malam, suasana kelam-kabut pun bermula, kes pertama yang mereka rawat adalah mangsa kemalangan. Sebuah kereta proton waja bertembung dengan motor lumba haram di lebuhraya. Seorang ibu, berusia empat puluh enam tahun parah manakala anak lelakinya berumur lima belas tahun terselamat. Bagaimanapun penunggang motor yang terlibat menjadi korban pertama pada malam itu selepas Dr. Kumar mengesahkannya pukul 9.33 minit yang lalu. Suzzie dan Zakiah menguruskan mangsa tersebut.
Dia yang berulang alik keluar dari dalam dan ke kawasan menunggu melihat suasana sedih menyelubungi keluarga mangsa dan mendengar deruan tangisan yang kuat. 
Kemudian lewat malamnya pula dia dikerah lagi menguruskan kes demam yang baru saja masuk mendaftar disusuli dengan tiga kes asma seorang daripadanya bayi berusia lima bulan.
Nika hanya dapat berehat sejam ketika bangun mengejut mendengar suara-suara riuh di luar. Belum sempat dia hendak keluar. Dua lelaki disyaki penjenayah diusung masuk oleh Zakiah dan Rudin tapi tidak mati, cuma seorang cedera di kaki dan seorang lagi cedera di perut terkena tembakan dari polis kedua-duanya sedang merengek kesakitan. Dr. Julia mengambil tugas Dr. Kumar yang nampaknya begitu sibuk. Lelaki India tinggi lampai itu dilihatnya bergegas berlari ke bilik pembedahan. 
 "Nika!" panggil Dr. Julia kuat dari arah kanan. 
 Nika berlari kecil mendapatkan Dr. Julia untuk membantunya pula.
 Setelah selesai, dua mangsa tembakan tadi ditempatkan di katil pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dua pegawai polis menyusul masuk sejurus dikhabarkan dan terus menggari kedua penjenayah itu di katil mereka kemudian bercakap-cakap sesuatu dengan Dr. Julia sebelum beredar pergi. Situasi yang memang kerap berlaku  sejak dia bertugas di unit kecemasan ini.
“Cari Raylan! Suruh dia hubungi saya!” bentak pegawai polis tadi di telefon bimbitnya sambil berjalan.
Nika menoleh sesaat tersentak mendengar nama Raylan. Sejak semalam sudah dua kali dia mendengar nama itu disebut. Selesai memberikan ubat pada pesakit yang bersebelahan dengan katil penjenayah tadi, dia berpaling melihat lelaki yang bersuara kuat itu. 
Orangnya bermisai tebal, mukanya berparut di bahagian dahi dan dari seragamnya dia menduga pegawai polis itu mungkin berpangkat tinggi dalam jabatan.
                                
Ketika pagi menjelang yang dirasakannya sangat cepat. Nika hampir menyelesaikan kerja-kerja terakhirnya mencatat beberapa laporan di fail pesakit yang akan ditempatkan di wad. 
"Cepatlah," kata Zakiah malas dan menguap bosan ketika berdiri menunggunya berdekatan kaunter pendaftaran. Selepas selesai, dia terus mengambil jaket merahnya di atas kerusi dan bergegas menyusul Zakiah.
Ketika kakinya baru saja menjejak pintu keluar langkahnya mati dia mendengar namanya dilaung seseorang dari belakang. “Nika!...... Nika!......”
Nika pantas berpaling dan melihat Dr. Ishak sedang berlari mendapatkannya sambil tersenyum.  Dr. Ishak merupakan kenalannya dia merupakan salah seorang doktor yang bertugas di bahagian kecemasan tapi berlainan syif. Orangnya boleh tahan, berkulit hitam manis, tingginya kira-kira lima kaki serta berwajah lembut.
“Awak free tak esok tengahari?” tanya Dr. Ishak sejurus mendapatkan Nika.
“Kenapa?” soalnya lalu tersenyum.
“Kita keluar makan?”
“Pukul berapa?”
“Nanti saya beritahu,” ujar Dr. Ishak yang senyum mesra padanya.
“Yalah, nanti call Nika aje,”
Dr. Ishak tersenyum lagi sebelum berjalan pergi dan sempat melambai padanya. Dia membalas lambaian itu lantas menyusul Zakiah yang menunggu di dalam kereta pula.
“Wah… senyum nampak. Ada janji temu?” usik Zakiah. 
Nika sekadar mengangkat kening.
“Adalah, tapi kenapa… aku rasa… yang perasaan aku dengan Ishak tu biasa-biasa aje,” gumam Nika yang sebenarnya ditujukan lebih kepada dirinya sendiri.
Tapi, pendapatnya yang ringkas tadi segera mendapat perhatian dari Zakiah yang berpaling padanya sekejap, kemudian kembali menumpukan perhatiannya pada jalan raya dengan kepala tergeleng-geleng.
“Hei! Kau dah gila ke Nika, ada doktor muda suka dengan kau.. yang kau kata itu cuma biasa-biasa je, kau tak gila ke? Fikir sikitlah tentang masa depan cik oi, kita ni perempuan mesti buat rancangan masa depan yang terjamin.”
Berjela-jela ucapan Zakiah awal pagi itu. Nika mengerlingnya dengan mulut yang menggerenyet. “Jauhnya kau berkhutbah sampai ke situ, orang tu… belum pun canang apa-apa pasal nak kahwin. Malu sikitlah cik Zakiah,” kata Nika.
“Kalau macam tu bagus!” sahut Zakiah lagi. “Kalau dia melamar nanti, terima sajalah jangan nak fikir-fikir lagi, jangan jadi bodoh..”
“Ish..” keluh Nika. Tapi dalam hati dia tetap mempertahankan pendapatnya yang hubungannya dengan Dr. Ishak itu benar-benar biasa. Mungkin Zakiah dan dua tiga kawannya yang lain berpendapat dia memang patut bersama lelaki berkulit hitam manis itu. Nika tak pasti, lagipun kesibukan lelaki itu dengan kerjanya dan mereka juga jarang berjanji temu menyebabkan dia selalu merasakan yang percubaan Dr. Ishak untuk merapatinya lebih dekat cuma sekadar percubaan yang  dirasakan tidak membawa erti.
“Untunglah perempuan cantik macam kau ni, senang-senang aje doktor terpikat, kalau orang gelap macam aku ni ha! Asyik tunggu mana-mana keluarga yang ada anak lelaki bujang terlajak,” komen Zakiah lagi. Rupa-rupanya masih dengan ingatan basi itu.
“Tak baik kata begitu.... nasib kita ni tak siapa tahu,” kata Nika, matanya cepat menangkap rumah majikan emaknya yang tersergam di pinggir jalan.
“Harap-harap Dr. Ishak tu cepat-cepat pinang kau, taklah kau tinggal kat rumah kecil tu lagi,”
“Sudah-sudahlah fikir pasal kahwin tu Zakiah,” kata Nika sebaik kereta berhenti dan  turun.
“Kita ni.. tak kahwin pun masih boleh hidup,” tambah Nika yang menyedarkan Zakiah yang selalu mengeluh akan nasibnya yang belum-belum kahwin walaupun usianya sudah tiga puluh tujuh tahun. Kemudian dia menutup kereta dengan bibir Zakiah mengherot lalu memandu keretanya pergi.
Nika melangkah masuk ke lorong sebelah kiri yang menghala ke rumah kecilnya sambil menjeling ke arah Range Rover hitam berkilat yang tersadai di halaman. Kedengaran bunyi mesin rumput memecah suasana pagi sepanjang dia melangkah. Ayahnya sedang memotong rumput di belakang laman rumah Encik Prianto yang merupakan kejiranan terdekat dan kawan baik kepada arwah Tuan Rahmad dulu semasa hidupnya.
 "Balik pun dia!" detus hati Nika geram lalu menghayun langkah lebih pantas.  
Emaknya tidak ada di rumah. Irfan pula tertidur di ruang tamu dengan tv masih terpasang tanpa dilihat sesiapa. Selepas menyimpan begnya, Nika keluar semula dan mahu ke kebun bunga emaknya yang memang seperti diduga belum lagi disiram kerana penjaga setia bunga-bunga yang cantik berkembang itu semakin sibuk menguruskan tuan barunya.
 Sambil menyiram bunga dan menyedut udara pagi yang nyaman dan menyegarkan Nika menghalakan pandangan ke halaman belakang rumah arwah Tuan Rahmad yang besar dan sentiasa terjaga. Kemudian satu-satunya balkoni rumah besar itu mencuri tumpuannya.
Sekali lagi… dari balik tabir balkoni itu dia melihat seseorang berdiri di situ. Namun, sejurus saja kelibat itu menyedari yang dia turut memandang, bayangan itu lantas bergerak dan hilang. Aneh! Hantukah itu!
Sehingga masuk ke dalam rumah kepalanya masih memikirkan bayangan itu. Nika lalu ke biliknya dan dari tingkap kamarnya dia cuba mengintai sekali lagi. Bezanya, dia berdiri di balik tingkap yang kecil sementara kelibat itu kembali berdiri di balik tabir balkoni tersebut dan melihat ke arah rumahnya. Detik itu sekarang, mereka berdua saling melihat. Dia berharap benar hendak mendapatkan teropong?
Kesan dari keanehan itu lantas mendorong Nika nekad bertanya emaknya siapa gerangan si Faris itu pada malamnya.
“Dia uruskan perniagaan arwah Tuan Rahmad ke?” soal Nika sambil mengingati kembali bayangan itu.
“Taklah, ada orang yang uruskan. Tapi.. mak tak tahulah apa kerja si Faris tu. Dia selalu keluar malam dan pulangnya pagi, lagipun kalau mak tanya dia jarang sangat mahu menyahut,”
"Ah.. orang kaya memang begitu, ke mana lagi mereka nak pergi selain cari hiburan,"
"Eh.. taklah, Faris bukan begitu orangnya, dia cuma pendiam sedikit jadi mak tak banyak bercerita dengan dia,"
“Dia ok ke mak?” tanya Nika dengan rasa pelik.
“Ish! Oklah.. kamu ni Nika. Orangnya kacak jugak, ada iras-iras wajah Puan Helena,”
Puan Helena merupakan bekas isteri arwah Tuan Rahmad. Mereka telah bercerai ketika anak lelakinya bersekolah di New York dan sampai sekarang Nika langsung tidak pernah mendengar khabar tentang wanita kacukan British itu.
Ketika Nika membersihkan meja makan  kedengaran ayahnya pulang marah-marah dan mengherdik pada Irfan di ruang tamu. Emaknya menggelengkan kepala.
“Itu mesti kalah judi,” kata emaknya.
“Ros!........ Ros!...” jerit ayahnya seperti orang gila dari ruang tamu. Nika bergegas keluar dari dapur dengan emaknya menyusul ke belakang.
“Oh Nika.. baguslah kamu ada, bagi aku wang! Aku mahu bayar hutang!” desak  ayahnya dengan rupa yang menyakitkan hati.
“Nika dah bagi ayah kelmarin, mana ada lagi..” jawab Nika benci.
“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong aku!” bentaknya.
“Ayah pun bukannya cacat! Sampai bila nak minta duit untuk bayar hutang judi tu!” balas Nika jahat.
“Nika! Kau jangan cuba naikkan darah aku!!” bentaknya. Kali ini lebih kuat.
“Razali! Kenapa kau nak mintak duit lagi… kau tak ingatkah yang kami ni pun perlu makan. Janganlah pentingkan diri!” kata emaknya dengan jelas. Mudah sangat difahami bagi orang yang waras. 
Tapi muka ayahnya sekarang merah menahan marah, matanya sengaja dibesarkan merenung Nika dan emaknya bersilih ganti.
“Kamu berdua jangan cuba ajar aku! Sekarang bagi aku wang atau aku pukul mak kau Nika!!!”
“Ayah!!” jerit Irfan dan Nika serentak.
“Sedarlah!” desak Nika geram. Tapi sepantas kilat ayahnya datang  menarik rambutnya.
Nika menjerit kesakitan. Irfan cuba menghalang tapi kepalanya ditampar hingga dia terpelanting dan tertolak keluar dari pintu bersama Nika yang turut ditolak ayahnya keluar. Pintu itu kemudian dikunci dari dalam.
“Kau dah gila ke Zali!!” pekik mak dari dalam rumah.
Selepas itu sesuatu yang lebih mengerikan kedengaran sehingga di luar. Emaknya terpekik kesakitan dipukul oleh ayahnya.
“Mak!...... ayah!!” jerit Nika kuat sambil memukul pintu. Irfan cuba menendang pintu tapi gagal, kayunya sangat utuh. Emaknya masih menjerit kesakitan. Airmata Nika berguguran, hatinya ngilu mendengar suara emaknya yang sedang menderita sekarang. Dia dan Irfan pantas berlari ke belakang rumah. Irfan cuba memecahkan pintu dapur pula.
“Mak!.... mak!..” panggil Nika kian risau suara rintihan emaknya sudah tidak kedengaran lagi.
Irfan akhirnya berjaya memecahkan pintu dapur dengan kayu sebesar lengan di tangannya. Mereka berdua masuk dan terkejut melihat sekujur tubuh terbaring tidak berdaya di lantai ruang tengah.
“Ayah!! Keluar dari rumah ni!!” Irfan mengangkat kayunya, nekad mahu memecahkan kepala ayahnya yang sekadar mendengus.
Pantas ayahnya keluar.
“Aku bunuh kamu semua nanti!!” jeritnya dalam kegelapan dan menghilang  di celah malam.
Nika lantas menerpa emaknya yang tidak lagi berdaya. Mukanya lebam-lebam, begitu juga tangannya.
“Astaga.. kita ke hospital! Irfan angkat mak,”
“Tak perlulah Nika… mak tak apa-apa cuma sakit sikit,” keluhnya lemah.
“Mak…” panggil Nika lagi.
“Kita laporkan polis saja kak,” kata Irfan yang merangkul mak bangun.
“Tak payah, bawa mak ke bilik…” pinta emaknya membantah. “Dia dah ambil rantai emas Nika dari dalam bilik Nika..” kata emaknya lagi.
“Biarlah.. mak jangan cakap dulu, emak cedera ni,”
Kemudian mereka berdua mengangkat emaknya masuk ke bilik dan membaringkannya di atas tilam. Nika mengambil ais batu dan disimpan ke dalam tuala kecil dan mendekapkan ke kawasan lebam-lebam di bawah dan tepi mata serta bibir emaknya yang diam sahaja dan perlahan-lahan terpejam dalam kesakitan dan hati yang kecewa.
“Selalu ke ayah pukul mak?” tanya Irfan sejurus dia keluar dan tergamam di kerusi ruang tamu..
Ada juga mak cerita kalau kakak pergi kerja, tapi rasanya tak seteruk yang ini,” jawab Nika perlahan.
“Dia nak apa?”
“Wang… wang untuk berjudi Irfan, ayah berhutang dengan orang…”
“Kalau begitu, ayah mesti datang lagi..”
Kata-kata Irfan itu hanyut seperti angin yang menerobos perlahan sebelum menghilang. Pedihnya hati bila mengingatkan seorang ayah kandung yang menolak mereka berdua keluar dari rumah, seperti mereka itu bukan datang dari benihnya. Ayah jenis apakah itu untuk dihormati, tergamak benar dia menyakiti keluarganya sendiri. Tak kasihankah dia melihat isteri dan anak-anaknya yang pernah disayanginya dulu.