Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Sunday 19 February 2012

Raylan Faris (13)


Zakiah kembali menjadi bayang-bayang yang sangat menjengkelkan pagi ini. Di sebabkan dia langsung tidak berkesempatan untuk mengetahui kisah lanjut mereka berdua terserempak Faris dengan perempuan, jadi, ketika mereka beroleh kelapangan sewaktu pesakit kurang mendadak dua hari selepas kejadian terserempak dengan Faris dia menerjah Nika yang sedang menyusun fail-fail Dr. Kumar di meja.
“Kau marah dia ke? Apasal dia baik sangat hantar kau pergi kerja dah dua hari ni..”
“Tak..... aku tak kisahpun, itu dia punya pasal...” dia berbohong dan tidak mahu menceritakan pada Zakiah apa yang telah berlaku pada Faris malam dia mencarinya di rumah. Dia tidak rela lagi menjaja kisah hidupnya dengan Faris walaupun dia mengaku hubungan mereka berdua sangat bermasalah. Tidak semena-mena saat itu juga, Nika menanam semangat untuk menjadi seseorang yang membalas budi untuk Faris kerana telah membebaskan dia dan ibunya dari seorang lelaki jahat dan sebagai balasan dia ingin benar membantu Faris membebaskannya dari belenggu hidup dalam kecelaruan.
“Betul ke? Bukankah kau cemburu lihat dia malam tu?”
“Err... dia dah minta maaf,” ucapnya perlahan. Berharap Zakiah tidak lagi bertanya. Tapi harapannya  sia-sia, Zakiah belum lagi selesai.
“Kau perasan tak Nika..?” soalnya lagi.
“Apa dia?”
“Kawan-kawan Faris tu, malam kita nampak dia?”
“Kenapa?”
“Macam kumpulan gangster kan?”
Nika berpura-pura tidak mendengarnya. Sejak kebelakangan ini dia memang mencurigai kerja-kerja  Faris. Terutamanya selepas dia mendengar perbualan telefon yang tidak syak lagi tentang urusan tidak baik. Tapi dia tidak ada bukti untuk mengesahkan perkara itu dan sekali lagi dia menekankan dirinya tidak mahu menceritakan hal itu juga pada Zakiah kerana dia bimbang Zakiah akan terlepas mulut lagi. Lebih-lebih lagi jika perkara ini sampai ke telinga Ishak.
“Nika, saya belum tengok lagilah muka suami Nika tu, tak nampak jelas, cermin keretanya gelap sangat,” Dr. Julia kemudian muncul dan ikut duduk di sebelah Nika membawa bersama laporan-laporan pesakit yang ditindihkan di sebelah meja Dr. Kumar.
Nika termengkelan di situ mendengarnya. Kalau ada orang yang tidak diingininya mengetahui dengan siapa dia kahwin orang itu ialah Dr. Julia. Semuanya kerana Faris pernah merempuh bilik pembedahan ketika Dr. Julia memberitahu padanya kematian seorang pengedar dadah tempohari. Nika yakin Dr. Julia mengingati wajah Faris.
“Eh... apasal muka doktor nampak pucat? Kerja semalaman ke?” ujar Nika mengubah topik perbualan mereka. Zakiah mengerlingnya.
“Emmm.... gitulah, mula pagi semalam sambung ke petang kemudian ke malam.. ha, pagi ni saya kena panggil pulak buat laporan pasal pesakit terkena sakit jantung, sebab kedai emasnya hampir kena rompak  petang semalam..” ceritanya panjang sambil menguap Matanya mula kuyu.
“Kedai emas kena rompak lagi?” Zakiah terbeliak.
“Berapa kerugian?” tanya Nika pula.
“Tak ada kerugian, pasukan Unit Tindakan Khas a.k.a UTK dah tangkap tiga perompak tu, nampak macam mereka dah kena intai lebih awal,” cerita Dr. Julia lagi sambil menulis laporannya.
“Macam mana dengan tuan punya kedai tu?” tanya Nika.
“Dah ok..... cuma tekanan darahnya naik mendadak pagi ni, sebab tu saya datang tengok di wad.”
Dia dan Zakiah mengangguk faham. Kemudian Dr. Julia terus bercerita.
“Aunt... tuan punya kedai tu cerita kat nurse dalam wad, ada seorang lelaki masuk dan bepura-pura tengok cincin berlian tapi siapa sangka lelaki tu sebenarnya polis yang bertindak menangkap tiga orang lelaki yang menyerbu masuk nak merompak, polis yang menyamar tu terus menembak dua daripadanya sebelum pasukan UTK datang.”
“Cekap jugak kerja mereka kan...” kata Zakiah.
“Pasukan elit polis ni bekerja lebih teliti, macam pasukan komando 69 yang berjaya mengekang komunis sejak bertahun-tahun,”
“Komando 69 tu apa doktor?” tanya Nika.
“Pasukan elit PDRM juga, merekalah yang menghalang Al-mau’nah, ingat lagi kes di Bukit Jenalek, Perak yang gemparkan seluruh negara,”
“Ooo...” Nika cuba mengingati peristiwa lama dulu yang pernah mengejutkan semua orang dan menjadi bahan cerita paling menggemparkan.
Kemudian selepas setengah jam bersantai-santai, unit kecemasan mereka mula diasak kembali oleh kesibukan. Kes gastrik baru saja dilaporkan, seorang lelaki dan dua wanita. Tidak sampai lima minit, seorang wanita separuh usia didaftarkan sebagai kes melecur kerana tersimbah air panas dan mengalami kelecuran yang teruk. Nika mula sibuk dengan berbagai kerja, begitu juga Zakiah. Dr. Julia kelihatannya sedang merawat budak yang mengalami demam panas.
Sehingga ke petang kerja-kerja mereka tidak dapat diselesaikan dan disambung oleh pekerja-pekerja syif petang. Walaupun penat, Nika senang hati kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah pesakit yang cukup meraih simpati.
“Nika... kau nak ikut ke tak?” tanya Zakiah sewaktu mereka sama-sama keluar dari bilik air dan bersiap-siap hendak pulang.
Nika ragu-ragu menjawab tapi menganggukkan kepalanya sebab dia tidak tahu samada Faris akan mengambilnya. Lelaki itu tidak memesannya semasa menghantarnya pagi tadi. Lantas dia bersama-sama Zakiah berjalan keluar menuju ke tempat letak kereta sebelum telinganya menangkap seseorang memanggil namanya. Dia berpaling laju dan melihat Husin mengangkat tangan memanggilnya.
“Ayah kau cari, tu...... dia kat sana..!” jerit Husin kuat dari kaunter pembayaran sambil menunjukkan Nika ayahnya yang sedang mencari-cari.
Nika terkejut sekaligus takut mendengarnya.
“Kita pergi cepat Zak...” pantas tangan Zakiah ditariknya dan mereka keluar cepat-cepat dari kawasan menunggu yang masih dipenuhi orang ramai akibat kes kemalangan.
“Nika! Kat sinilah bukan situ.....” jerit Husin padanya lagi.
Tapi Nika dan Zakiah telah pun menghilang dari balik kereta ambulan yang baru saja menurunkan mangsa kemalangan. Mereka berdua langsung mendapatkan kereta yang tersadai di sebelah kanan kawasan parkir. Setelah Zakiah menghidupkan enjin kereta dan mula berjalan melintasi perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan Nika sempat berpaling ke kiri dan melihat ayahnya sedang berlegar-legar dengan rupa selekeh dan bermasalah. Sudah tentu ayahnya mahu minta wang padanya lagi kalau tidak mustahil dia begitu berani datang ke tempat kerjanya selepas mereka membuat perjanjian pada malam dia bersetuju menikah dengan Faris.
“Astaga... beraninya ayah kau,” ucap Zakiah sambil terus memandu.
“Tak tahu malu betul,” sahut Nika.
“Orang.. kalau dah ketagih arak atau dadah mana ada malu lagi, dorang dah lupa diri, aku takut dia cari kau kat rumah Faris.” kata Zakiah.
“Tak.. dia takkan berani, Faris dah beri dia amaran malam tu.. dia tak mungkin berani datang ke sana,”
Tapi Nika tidak yakin dengan jawapannya sendiri dan merasakan kalau-kalau Zakiah mungkin benar. Oh Tuhan... Nika mengucap di dalam hati mohon kelapangan fikiran. Zakiah asyik-asyik mengerlingnya. Kereta-kereta di hadapan semakin menjauh. Dalam masa sepuluh minit lagi dia akan sampai di rumah. Benaknya sekarang dipenuhi oleh bayangan wajah Faris dan kelibat ayahnya yang sanggup mencarinya sehingga ke hospital. Dia benar-benar malu dengan Faris kalau ayahnya akan mencari Faris pula jika tidak berjaya mendapatkannya nanti.
Matanya  mendongak ke langit biru mencari matahari yang langsung tidak menampakkan diri sejak dari pagi tadi. Hanya mendung dan cuaca hangat yang dirasakan semua orang sejak dua hari ini. Nika.. leka berfikir, cuba-cuba mencari jalan bagaimana hendak terus mengelak dari ayahnya. Jalan di hadapan lurus dan lapang sekali berbeza dengan otaknya yang telah dijangkiti virus risau. Dia mula bingung dan tidak menyangka selepas beberapa bulan masalah yang sama kelihatannya berulang lagi. Belum selesai satu hal dia perlu pula berhadapan hal yang lain lagi. Tiba-tiba bunyi hon kedengaran dari arah belakang.
“Ya Allah.. apa ni.. Ya Allah.. Ya Allah....” ucap Zakiah tangannya kelam-kabut mencengkam stereng kereta dan memusingnya ke kiri membawa ke tepi jalan.
Nika ikut cemas bila sebuah kereta BMW sport berwarna putih tiba-tiba saja memintas kereta Zakiah dan berhenti betul-betul di depan kereta menghalang perjalanan mereka. Mujur Zakiah sempat menekan brek.
“Astaghfirullahalazimm... kenapa ni Nika?” tanya Zakiah.
Nika mengangkat bahunya. Lehernya dijengketkan tinggi, semangatnya terbang melayang. Zakiah pun terkejut dan memegang dadanya seolah-olah menahan jantungnya dari terjatuh. Dalam berdebar-debar, mereka berdua menunggu pemandu kereta yang menyekat perjalanan mereka itu turun dari keretanya. Kalau sahaja lelaki itu mencurigakan dia akan menjerit pada Zakiah supaya pergi dari situ kerana bimbang kalau-kalau pemandu kereta mewah itu adalah Tauke Tong. Walaupun dia tidak pernah melihat rupa lelaki yang diberitakan sebagai tauke pelacuran di bandaraya terkemuka tapi firasatnya kian kuat sementelah melihat ayahnya datang mencarinya tadi.
“Astaga.... laki kau rupanya Nika.. aku ingat siapalah tadi?” ucap Zakiah yang lega tidak seperti Nika yang masih terkejut dan mendengar sahaja Zakiah berkata lagi dengan penuh teruja.
“Oh... wow, dia pakai BMW sport, alamak bertuahnya kau Nika.. kalau kau tak mau laki kau ni bagi kat aku jer...”
Faris baru sahaja turun dari kereta putih tadi. Berkacamata hitam, t-shirt kelabu dan jeans hitam lusuh tapi cukup menawan dan bergaya malah dengan gambaran begitu dramatik dia berjalan ke sebelah tempat duduk penumpang sambil tersenyum dan mengangkat tangan pada Zakiah yang masih lagi teruja mengekor dengan matanya.
“Kenapa dengan dia?” soal Nika masih kaget, matanya merenung tepat kelibat Faris yang membuka pintu.
“Aku ingat dia nak culik kaulah... apalagi, turunlah tuan puteri, putera raja kau dah datang ambil tu,”
Pintu kereta dibuka dari luar.
“Kenapa?” tanya Nika pada Faris, sekali lagi dalam keadaan tolol. Zakiah memukul dahinya sendiri. Nika pula masih terkebil-kebil di bangku.
“Kau tak tunggu aku.. jadi, aku kejar kereta ni.. thanks Zakiah,”  kata Faris sambil melontarkan senyumnya pada Zakiah dan membongkok mencapai lengan Nika yang seperti dipaksa turun. Dia tergesa-gesa mengambil handbagnya.
“Tak apa, dia ingat kau tak datang tadi,” balas Zakiah dengan senyum lebarnya yang aneh.
“Tak payah susah-susah, aku boleh ikut Zakiah,” kata Nika kehairanan melihat Faris hanya tersenyum dan membawanya menuju ke kereta BMW itu.
“Aku perlukan kau,” bisik Faris.
Dahinya berkerut tapi mengikut sahaja kehendak Faris. Nika sempat berpaling ke belakang melihat Zakiah yang mengangkat ibu jarinya seronok sedangkan dia berjalan dengan rasa tidak selesa bila dipimpin oleh Faris hingga dibukakan pintu kereta yang hanya mempunyai dua pintu itu. Tapi sejurus berada di dalam, dia menghidu haruman yang menyegarkan. Hatinya berubah lembut terpesona dengan suasananya. Kereta itu benar-benar mewah, dia tidak pernah melihat kereta sebegitu bagus buatannya, jauh benar dengan kereta Zakiah. Kerusinya sangat menyelesakan. Tiupan pendingin hawanya begitu menyentuh perasaan hingga Nika tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata. Bagaimanapun, dia harus mengawal diri. Kemewahan yang dilihatnya ini bukan apa-apa, dia perlu sedar siapa dia?
Faris sudah pun duduk di sebelahnya dan membawa kereta itu semula dengan senyuman ringkas yang baru sahaja diberikan padanya.
‘Ada yang tak kena dengan mood lelaki dingin ni,’ fikir Nika pelik.
Faris terus memandu menuju ke jalan yang kembali semula ke bandaraya JB. Bibirnya sesekali dihiasi senyuman nipis.
“Ada yang tak kena ke? Apa yang lucu sangat, tengok cerita lawak ke tadi?” soal Nika tidak sabar hendak tahu perubahan mendadak lelaki di sebelahnya ini.
Tiba-tiba saja Faris ketawa. Lelaki itu ketawa? Sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini dan selama mereka berada sedekat ini.
“Kau ketawa?” tanya Nika aneh dan tak biasa melihatnya.
“Aku senang hati. Aku tak pernah rasa begini.” Jawab Faris sambil menoleh padanya ketika sedang memandu. “Hari ini, aku cuba buat apa yang kau suruh, tarik nafas, fikir positif dan entah kenapa aku rasa tenang, tak seperti selalu,” sambungnya lagi.
“Baguslah, begitulah caranya dan jangan ambil arak lagi. Ia bukan saja haram tapi tak bagus untuk kesihatan,”
Faris mengangkat keningnya dan tersenyum lagi. Senyum yang lama kelamaan akan mencairkan hati Nika yang selama ini cuba bertahan dari tidak tergoda.
“Kau tak mahu tahu kita kemana?” tiba-tiba Faris bertanyakan perkara yang aneh kenapa dia tak bertanya hendak ke mana mereka.
“Aku takut mood kau tiba-tiba angin tak tentu pasal,” jawab Nika melulu dan senyap. Faris seakan tidak mendengar. Dia turut sama memerhatikan kereta itu yang telah pun tiba di kawasan bandaraya.
Kemudian, dalam masa beberapa minit Faris membawa keretanya memasuki kawasan parkir di sebuah tempat membeli-belah. Kawasan itu agak samar dan hanya diterangi beberapa lampu ketika Faris parkir di bahagian kiri sebelah van jenis Nissan. Kemudian mereka berdua turun serentak dengan Nika tertanya-tanya sendirian ke mana Faris hendak membawanya. Kalau pergi makan bagus juga sebab dia lapar, perutnya berkeroncong sejak tengahari tadi dan minta diisi segera. Dia juga mahu segera pulang. Rimas rasanya memakai pakaian seragam jururawatnya pada  bukan waktu kerja.
Sekejap sahaja Faris sudah berdiri di sebelahnya. Tapi belum sempat mereka masuk ke kawasan lif tiba-tiba ruangan parkir itu dikejutkan dengan suara teriakan kuat perempuan dan lelaki. Mereka berdua berpaling, Nika melihat dua orang sekuriti sedang berlari laju sambil berteriak.
“Peragut!! Tangkap peragut!!!!”
Seorang lelaki memakai singlet hitam sedang berlari begitu pantas dan termengah-mengah. Nika tidak nampak beg yang diragutnya, bagaimanapun sesaat dia berpaling, Faris tidak lagi bersamanya, dia ikut berlari mengejar peragut yang sama yang dikejar sekuriti tadi. Suara keriuhan orang memekik memenuhi ruangan di situ disusuli bunyi hon dari kereta yang lalu lalang..
“Faris!!” pekik Nika.
Tapi Faris telah berlari lebih pantas mencelah-celah kereta-kereta yang parkir dan tiba-tiba dia melompat naik di atas sebuah kereta yang lalu di seberang jalan dan terhumban di jalanan. Nika memekik lagi sambil mengejar dari belakang. Tubuhnya menggeletar. Kemudian dia melihat kelibat Faris menangkap peragut tadi dari seberang jalan, ketika dia tiba di tempat kejadian, rupa peragut tadi  telah pun lebam di bahagian mata, mulutnya berdarah kerana dipukul oleh Faris sebelum menyerahkannya kepada dua sekuriti tadi yang mengucapkan syabas pada Faris kerana berjaya menangkap peragut tersebut.
Nika terlopong dengan memegang dahinya, dia terbayangkan sesuatu di luar keinginannya tapi lega kerana Faris langsung tidak mengalami kecederaan.
“ Panggil polis..” arah Faris kepada sekuriti seorang pak cik berusia yang terus sahaja tergagau-gagau mencapai alat perhubungannya. Dia masih memegang tangan peragut tadi ke belakang dan tubuhnya dihadapkan ke dinding, tidak dapat melepaskan diri.
Perempuan yang diragut tadi tampil ke hadapan mengucapkan terima kasih pada semua  yang telah membantunya. Begnya dikembalikan tanpa sebarang kerugian. Faris kemudian menyerahkan lelaki tadi untuk tindakan selanjutnya dan kembali kepada Nika lalu mereka pergi.
“Kita pergi makan dulu,” ajak Faris bila tiba di tingkat tiga mall itu.
Nika masih menggeletar. Bayangan kejadian tadi belum hilang dari ingatannya, dia hampir tidak menyedari yang mereka berdua telah pun masuk ke dalam pusat membeli-belah yang terkenal di bandaraya JB itu yang dibanjiri pengunjung yang tak putus-putus. Masing-masing dengan tujuan mereka atau mungkin juga ada yang seperti dirinya, tidak bertujuan langsung hanya menurut sahaja kaki Faris.
“Kenapa dengan kau...” tegur Faris yang berundur semula. Rupa-rupanya dia tertinggal di belakang. Faris kemudian membawanya masuk di sebuah kafe yang tenang dan kurang pelanggan.
“Kenapa kau menggeletar..” tanya Faris lagi sewaktu membawanya duduk di tepi tingkap kaca..
Nika tersentak tidak menyangka Faris dapat merasakan yang dia memang bergetar. Lututnya seperti longgar, begitu juga jari-jemarinya yang kemungkinan bercampur-baur antara lapar dan terkejut dengan insiden Faris mengejar peragut tadi.
“Err... emmm, aku terkejut tengok kejadian tadi..” katanya terus-terang sambil mengenggam tangannya yang dirasakan lemah.
“Aku ingat kau cukup kuat, bukankah kau dah biasa tengok yang lebih parah dari yang tadi?” kata Faris cuba bergurau lalu meminta hidangan piza itali dan dua cawan kopi putih kepada pelayan yang datang ke meja.
Dia tak mampu senyum dengan usikan Faris. Sedetik yang berlalu sehingga makanan dihidangkan Nika leka memerhatikan kafe tersebut. Dekorasinya begitu mempesonakan, suasananya tenang dan beraromakan bau kopi. Wangi. Dia sebelum ini, pernah melihat kafe itu tapi inilah kali pertama dia mengunjunginya.
“Aku mahu bawa kau ke satu majlis awal malam nanti,” ujar Faris selepas meneguk kopinya.
Nika berhenti makan dan terlopong memandang muka Faris seolah-olah dia tidak pernah melihat muka lelaki itu dengan lebih jelas.
“Ke mana?” soalnya hairan.
“Majlis makan malam ulangtahun ke 20 syarikat arwah Tuan Rahmad, untuk meraih pekerja-pekerja di sana, kita cuma datang sebagai jemputan,” jawab Faris dan mula makan.
“Err... aku tak boleh pergi,” Nika mencelah pantas. Dia terasa segan untuk ke majlis orang-orang kaya itu. Apa pula kata tetamu-tetamu pada malam itu kalau melihat dia datang bersama Faris.
“Kenapa?” dahi Faris berkerut  tidak percaya dan matanya tajam merenung.
“Errr.... mmm...” dia mencari-cari alasan. “Aku tak mahu pergi,” katanya jujur selepas gagal mendapatkan alasan yang baik.
“Kalau aku boleh buat alasan begitu, aku pun tak mahu pergi, tapi.. aku harus datang, kau perlu ikut aku dan jadi pasangan aku, kita berdua pasangan suami isteri,” desak Faris.
“Tak boleh, kau tak malu ke? Aku kan orang gaji, anak orang gaji. Apa kata pekerja-pekerja di sana nanti?”
“Aku tak pernah anggap kau begitu Nika..”
“Tapi....” dia kehilangan kata-kata dan merasakan  Faris sudah hilang kewarasan kerana mengajaknya. Dia masih mengingati kata-kata Faris yang memperkenalkannya sebagai kawan pada temannya di hadapan sebuah hotel tempohari. Jadi.. keputusannya untuk menolak adalah keputusan yang sangat tepat.
“Aku pernah tawarkan pada kau untuk mengupah pembantu rumah, tapi kau yang tak mahu,” Faris cuba mempertahankan pendapatnya sendiri.
“Itu bukan soalnya, tapi...”
Dia tidak sanggup mengatakan apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.
“Aku tak layak datang bersama kau Faris, kau boleh cari wanita lain. Lagipun aku tak rasa kita berdua sebagai pasangan suami isteri...” katanya lemah dan Faris tidak perlu menafikan kebenaran yang terang lagi bersuluh ini.
Tapi wajah Faris bertukar kemerahan sebaik Nika menghabiskan ayat-ayatnya.
“Jadi... kau mahu aku anggap kau sebagai orang lain dan kau boleh habiskan masa berjam-jam bercerita dengan Dr. Ishak..” nadanya begitu tenang sekali tapi cukup membuat darah Nika mendidih.
“Kau syak aku ada hubungan dengan Ishak?” Nika menyahut geram.
“Kalau tak ada.. buktikan yang kau isteri aku dan aku ada hak untuk gelaran itu,” bidas Faris.
Betul-betul mengena batang hidung Nika yang tidak mampu lagi mengatakan apa-apa. Apalagi yang hendak dibantahnya sama seperti dia tidak mahu meminta Faris menunaikan hasratnya agar menjadi suami yang sebenar-benar suami seperti dalam sijil pernikahan mereka.
Selepas pertengkaran kecil itu Nika akhirnya beralah atau mungkin dia memang takkan menang setiap kali tercetusnya perbalahan. Dia selalu kalah dengan rasa belasnya sendiri dan Faris seperti biasa akan dapat memujuknya dengan setiap desakan. Selesai makan, dia dan Faris memasuki sebuah butik untuk mendapatkan pakaian sesuai pada malam itu. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannya tapi sedang melaluinya dengan perasaan yang  tidak menyenangkan.
Mereka berada di dalam butik pakaian wanita itu selama dua jam dengan Faris memilih sehelai baju gaun berwarna hijau gelap yang dikatakannya sangat sesuai dengan kulit Nika yang halus dan putih bersih. Tidak cukup dengan itu, Faris memilih pula sepasang kasut bertumit tinggi. Nika mengiyakan saja dengan rasa tidak relanya sambil membayangkan bagaimana dia akan dihalau sekuriti dalam majlis itu nanti dengan Faris sebagai dalang untuk memalukan dirinya. Andaian itu membuatkan dia mengeluh tanpa dipedulikan oleh Faris yang telah membawanya pulang dan mereka perlu bersiap-siap sebelum pukul lapan malam nanti.

Raylan Faris (12)



Tidak sampai tiga jam bekerja, hal dia sudah menikah diam-diam dengan Faris menjadi bahan bualan syif mereka. Belum hilang segala kerunsingan di hatinya dia dibebani masalah baru. Kemana-mana dia pergi, semua rakan sekerjanya sibuk bertanyakan hal tersebut. Nika tidak mampu untuk menyembunyikannya lagi sama seperti Zakiah yang tidak tahan hati untuk menyimpan rahsianya. Dia cuma boleh mengangguk dan mengiyakan kenyataan yang dia memang telah berkahwin dengan seseorang yang memandu kereta Range Rover. Mujurlah mereka tidak mengenali orangnya. Dan Nika berharap mereka tidak pula meminta untuk mengenali Faris... grrr... dia tak sanggup!
Pembongkaran status sudah berkahwinnya juga menyebabkan dia tidak boleh bekerja dengan betul kerana Dr. Ishak yang dijadualkan ke dalam syif mereka menggantikan Dr. Kumar menjadi orang yang paling bingung dan aneh kelakuannya. Lelaki itu sentiasa mencari ruang lapang supaya mereka berdua boleh bercerita lebih lanjut yang mana Nika sangat keberatan untuk menjelaskannya.
Bagaimanapun, dia tidak lagi dapat lari ketika syif bekerja tamat. Dr. Ishak berjaya menemuinya disebabkan dia terpaksa menunggu Faris yang mahu mengambilnya. Ketika itu dia sedang bersandar pada tiang bulat yang besar di depan pintu gerbang unit kecemasan tanpa Zakiah  yang  telah pun pulang.
“Kenapa awak rahsiakan?” soal lelaki itu, terus kepada pokok asal.
Nika menoleh sesaat dan kembali memandang jalan yang hangat membahang sambil menghela nafas panjang.
“Tak ada apa-apa. Saya perlu ikut kehendak suami saya, dia mahu kami percepatkan pernikahan kami sebab dia ada komitmen lain,” ujarnya berbohong serta-merta.
“Atau awak terpaksa lakukannya...”
 Nika berpaling laju pada Ishak. Dia membuka mulutnya mahu menjawab. Tapi kata-katanya mati dan sekadar menggeleng tidak sanggup mengakui kebenaran pendapat Ishak.
“Benarkan?” desak Ishak.
“Ya...” akuinya lemah.
“Awak boleh beritahu saya sebelum ia berlaku, awak pun sedia tahu perasaan saya pada awak, kenapa awak boleh menerima keputusan tu,” luahnya kecewa dan ketawa kecil yang lebih menjurus kepada marah. “Patutlah.. awak mengelak terus dari saya kebelakangan ni,” sambungnya lagi.
Kalau sahaja dia memiliki perasaan sama seperti Ishak, dia mungkin akan turut bersedih atas keadaan mereka. Tapi tidak.... dia cuma mampu bersimpati pada lelaki itu. Tidak lebih dari itu. Perasaan mereka berdua sekarang berlainan kerana Nika telah meletakkan rasa cintanya pada Faris. Dan Faris pula........  tidak layak untuk mengetahui hal itu. Jadi, apa situasi yang dihadapinya sekarang. Dia sendiri pun tidak mengerti.
“Saya percaya awak tak bahagia Nika..” kata Ishak berterus-terang dan sekali lagi dia benar.
“Bahagia atau tidak, itu urusan saya Ishak. Maaflah,” jawab Nika dan tersentak bila mendengar bunyi hon.
Faris sudah pun datang dan melihat dia dengan Ishak di situ. Walaupun Faris berkacamata hitam. Nika tahu, dia sedang memerhatikan mereka.
Memang betul tekaan Nika, Faris akan kembali bersikap dingin sebaik saja mereka pulang. Lelaki itu tidak menyatakan dengan jelas samada kerana dia cemburu melihatnya dengan Ishak tadi atau ada hal lain yang membuat dia begitu. Bagaimanapun dia berjaya menunjukkan wajah menyampah dan tak tantu anginnya. Sepuluh minit tadi Faris baru saja menyuruhnya menyiapkan makan tengahari yang lewat, sedangkan Faris tahu dia sepatutnya makan lebih awal memandangkan Nika pulangnya hampir petang hari ini. Dengan rasa jengkel, Nika menyiapkan makanan yang ditemuinya di dalam peti sejuk.
Ayam masak merah rempah segera dan sayur timun sebagai ulam. Setelah siap, Nika naik ke atas memanggil Faris turun makan. Bagaimanapun, lelaki itu langsung tidak menyahut dan enggan berpaling padanya di muka pintu. Dia lebih suka memandang rumput yang sudah kian memanjang di luar tingkap.
‘Cuba bersabar Nika’ itulah kata-kata yang menjadi motivasi hidupnya setelah menukarnya dari ‘dreams come true’ sejak tiga bulan lalu.
Tidak mahu memikirkan karenah Faris, Nika mengalihkan fikirannya membuat kerja memvakum lantai ruang tamu sambil berharap-harap dikurniakan kuasa sihir. Dan kalau dia boleh membuat sumpahan, dia mahu menyihir Faris menjadi lampu hiasan atau apa-apalah benda tidak bernyawa di dalam rumah itu supaya dia tidak perlu lagi melihat muka menjengkelkan Faris hari ini.
Ketika malam berlabuh, Nika bersembunyi dalam biliknya. Dia melancarkan mogok lapar terhadap Faris yang langsung tidak menjamah hidangan malam yang disediakannya. Sekarang, dia tidak tahu samada Faris sudah keluar atau masih ada di rumah... detus hatinya ketika asyik membaca majalah di atas katil. Artikel buah delima yang ditulis berkesan untuk merawat beberapa jenis penyakit menarik perhatiannya hingga ketika berpaling ke kanan tangannya tak sengaja melanggar air mineral di dalam botol yang terbuka dan menumpahkan air ke atas karpet.
“Alamak... ish,” gerutunya dan kelam-kabut turun dari katil mencapai tisu dan mengelap air yang membasahi karpet. Deringan isyarat pesanan dari telefon tidak dipedulikannya hingga kembali senyap. Tangannya laju mengeringkan air yang mula meresap...
“Siapa dia?”
Tangan Nika serta-merta berhenti mendengar suara Faris. Dia mendongak dari bawah katil dan terpandang wajah serius Faris yang sedang membaca pesanan masuk di telefon bimbitnya.
“Dr. Ishak,” jawab Faris sendiri lalu berdengus. “Kawan atau ex?” tambahnya lagi.
Nika bingkas berdiri, mereka berdua kini di perantaraan katil, seorang di kiri, seorang lagi di kanan.
“Kembalikan...” Nika menuntut telefon di tangan Faris sekarang. “Apa kau mahu?” katanya bengang bila Faris enggan memberi handphone itu semula.
Sebaliknya, Faris duduk di atas katil Nika dengan posisi separuh berbaring sambil tersenyum angkuh.
“Temankan aku,” sahutnya malas sambil menepuk-nepuk tilam dan berkata lagi. “Duduklah di sini, aku perlu teman.... bukankah kau juga yang sarankan pada aku supaya jangan selalu bersendirian,”
Nika memutarkan matanya ke siling. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lantas ikut duduk dengan sebiji bantal menjadi penghalang antara mereka berdua. Faris mengembalikan handphone, dia cepat-cepat menyambarnya dan membaca pesanan Dr. Ishak yang masuk tadi. Darahnya tersirap..
‘beritahu saya klu dia cuba apa2kan awak!’  Itu pesanan yang dikirimkan oleh Ishak padanya yang datang tepat pada waktu yang salah.
Dia mengerling Faris yang cuba berlagak tenang tapi sebenarnya tidak dan dia dapat merasakan kemarahan dari kata-kata Faris.  “Jadi, kau cuba dapatkan pakar nasihat untuk mengatasi masalah kita..” ujarnya tanpa memandang Nika.
“Apa? Tak!....” dia membantah.
“Sedang mencari teman berbual tentang masalah rumahtangga?” soalnya lebih sinis.
“Kau mungkin tak perasan, tapi orang lain jelas melihat kalau aku tak bahagia, ada yang tak kena dengan aku!” balas Nika geram.
“Aku sudah bayar harga kebahagiaan kau Nika..”
“Oh.. Tuhan... begitukah caranya kau meletakkan nilai kebahagiaan Faris?” ucap Nika dan terlopong memandang Faris yang hanya memejamkan matanya.
“Beritahu aku! Adakah aku tak berhak terhadap kau!” tiba-tiba saja dia berang.
“Aku tahu kau berhak sepenuhnya terhadap aku tapi aku juga tahu kita tak mampu melakukannya..”
“Jadi! Semudah itu kau lupakan aku!”
“Fariss!! Apa kau cakap ni?” Nika mula bengang.
“Apa hubungan  kau dengan lelaki tu?”
Nika mendengus kuat dan mahu turun dari katil ketika Faris menangkap tangannya.
“Jawab Nika!”
“Tak ada apa-apa.. puas!!!!” sahutnya marah.
Tapi tiba-tiba sahaja Faris seperti kegelisahan, nafasnya turun naik!
Nika diragut bimbang. Dia tahu kenapa dengan Faris.
 “Tarik nafas Faris, tarik nafas panjang-panjang,” kata Nika sambil berlutut di sebelahnya  dan memegang dada Faris cuba merasakan degupan jantung yang berentak laju dan tak menentu. Berkali-kali Nika mengarahkan Faris menarik nafas dan menghembusnya perlahan sehingga keadaannya kembali normal.
Dia terus memusatkan pandangannya ke wajah Faris yang pucat dan lesu. Mereka hanya berdiam tanpa sebarang suara. Keadaan Faris bukan hal remeh pada Nika, kalau tidak diberi perhatian teliti ia akan membawa musibah. Bagaimanapun, Nika segera membuang jangkaan buruk yang terbayang dalam kepalanya saat itu.
“Itu, tanda-tanda serangan anxiety disoder. Jangan fikir yang bukan-bukan, tak ada apa-apa yang perlu kau bimbangkan! Berhenti berfikir perkara yang buat kau takut. Aku tahu kau kuat. Kau dah sesakkan fikiran kau dengan hal yang tak keruan. Tarik nafas dan lapangkan hati..”  Nika akhirnya bersuara dengan penuh berhati-hati sambil memandang risau.
“Maaf... aku selalu begini... Aku seperti dikejar sesuatu yang tidak jelas dan menakutkan... kadang-kadang aku takut kau akan tinggalkan aku sendirian..” gumamnya.
Hati Nika runtun mendengarnya. Sebenarnya ucapan itu sangat menyenangkan hatinya sendiri, sekurang-kurang dia tahu yang Faris menyayanginya. Cuma situasi mereka berdua sangat mengelirukan. Terutamanya keadaan Faris yang hidup dalam kecelaruan fikiran. Bagaimanapun Nika cuba menguatkan semangat untuk mengatasinya.
“Beristigfarlah banyak-banyak, cuba solat, mohon pada Allah diberikan kelapangan hati. Jangan minum alkohol lagi ia akan memburukkan penyakit kau dan jangan makan ubat penenang, kalau tak... kau akan bergantung harap sepenuhnya pada ubat yang mendorong kau mengambil dadah nanti,” jelas Nika pada Faris yang mengangguk-angguk.
“Kau betul...” katanya lemah.
“Cuba fikirkan perkara positif.” Jelas Nika lagi pada Faris yang sedang cuba mengawal emosinya. Dia masih menarik nafas dalam-dalam. Nika mula mengerti, barangkali inilah hal yang dimaksudkan oleh Faris awal pernikahan mereka dulu.
“Apa yang kau bimbangkan Faris,” soal Nika ingin tahu.
“Kehidupanku,” jawabnya perlahan dan tertunduk.
Nika tidak memahami apa yang cuba Faris jelaskan dan dia juga tidak inginkan penjelasan lanjut. “Macam mana kau kerja dalam keadaan begini?”
“Ubat penenang. Tapi kadang-kadang ia hilang bila aku kerja atau bila aku fikirkan kau...”
Sekali lagi Nika tersentuh mendengar pengakuan yang keluar dari mulut Faris malam itu. Dia tahu apa yang Faris takutkan. Hubungan mereka yang seakan tidak punya jalan keluar ini mungkin membuatkan Faris lebih banyak berfikir dan nama Dr. Ishak yang dilihatnya terpapar pada skrin telefon tadi mungkin telah membuatnya semakin bercelaru. Ada punca mengapa Faris menjadi begitu, dia perlu mencari puncanya.
“Ada memori masa silam yang  buat kau jadi beginikan..” duga Nika lebih jauh.
Faris mengangkat muka dan memandangnya melalui mata yang sayu, tulang pipinya termasuk membuatkan raut wajahnya seperti dilukis dengan begitu sempurna.
“Perkara silam tu akan buat kau takut Nika, aku tak mahu mengenangnya lagi...” sekali lagi Faris menunduk dan menghela nafas yang tersangkut..
Nika lantas memeluknya, cuba untuk terus menenangkan Faris dan meredakan kegelisahan yang melanda lelaki itu yang dengan lembut mengeratkan pelukannya. Dia merasakan bajunya basah oleh airmata dari seorang lelaki yang kelibatnya penuh misteri dan belum terhurai hingga kini. Kalau sahaja telefon bimbit kepunyaan Faris tidak berdering, Nika takut hendak memikirkan apa akibat mereka berduaan dalam kamarnya ketika itu.
Pelukan mereka terlerai. Faris lantas mengeluarkan telefon dari poket seluar dan menjawab sambil jari telunjuknya mengurut dahi, dia sekadar menyahut ‘ya’ dan ‘sekejap aku sampai’ kemudian talian ditutup.
“Kau boleh tinggal seorang?” tanya Faris janggal.
Nika merasa sedikit malu dan segan pasal tadi tapi menjawab sambil cuba tersenyum.
“Tak pe.. aku dah biasa,” jawabnya.
“Aku ada kerja. Telefon aku segera kalau ada apa-apa yang mencurigakan.”
“Ok... err.. bye..” ucapnya tersekat-sekat dan melihat saja Faris keluar dari pintu tanpa menoleh padanya lagi.

Raylan Faris (11)



Kelam-kabut dia bangun ketika jam menunjukkan pukul 6.15 minit pagi. Tangannya menggagau mencari telefon bimbitnya yang telah terjatuh ke lantai, baterinya juga terkeluar sekaligus membuatkan dia gagal mendengar alarm yang biasa telah disetkan. Hari ini dia memulakan syif pagi.
Nika menekan butang hijau bagi memastikan telefonnya beroperasi semula. Setelah dua minit menunggu fungsinya kembali teratur dia menelefon Zakiah dan menyuruhnya agar tidak perlu menunggu. Dia akan menaiki teksi. Selepas mematikan talian dia masuk ke dalam bilik air dalam keadaan terhincut-hincut, tapak kakinya yang terkena pecahan kaca masih lagi sakit.
Pukul 6.45. Nika menjenguk bilik Faris. Melihat lelaki itu masih tidur, pintu dirapatkannya kembali. Dia lalu turun ke bawah untuk menyiapkan sarapan dahulu sebelum kerja. Kepalanya masih berat kerana tidur lewat malam tadi. Agak lama dia menemani Faris semalam dan mendengar cerita yang sama sekali tidak disangkanya bahawa Faris disahkan mengalami anxiety disoder yang membawa kepada kemurungan berlarutan dan kadang-kadang mendorongnya untuk bunuh diri kerana terlalu bimbangkan sesuatu perkara. Dia mula mengalaminya ketika tinggal di New York.
Itu, memang satu kejutan pada Nika. Faris memberitahu padanya ia berlaku sejak tiga  tahun yang lalu tapi tidak menjelaskan apa puncanya. Dia juga mengaku yang dia tidak lagi mengambil ubat-ubatan yang sepatutnya harus diambil untuk mengatasi masalah kemurungannya. Memahami apa yang telah Faris hadapi sekarang merupakan satu lagi ujian buat Nika untuk terus bertahan dan mahu membantu Faris menangani kemurungannya. Tapi... Nika masih tidak tahu apa puncanya Faris nekad untuk menghabisi riwayatnya malam tadi.
“Kenapa kau tak pergi lagi!”
 Suara tinggi Faris tiba-tiba memecah kesunyian pagi ketika dia sedang membuat secawan kopi. Nika berpaling ke belakang dan melihat Faris yang masih berbaju tidur dengan tangan kanannya memegang nota yang Nika letakkan di bilik Faris semalam dan lupa membuangnya.
“Kenapa kau masih berada di rumah ni!” nada suaranya kedengaran mendesak. Dia kelihatan sembuh sepenuhnya dan kembali bersifat dingin yang boleh menaikkan kemarahan. “Apa alasan kau masih berada di rumah aku lagi! Bukankah kau mahu pergi!” bentaknya lebih garang.
“Faris...” Nika cuba mencelah dan mahu menerangkan hal sebenar tapi tidak berjaya. Faris semakin berang.
“Buat apa kau tinggalkan nota, kalau kau masih mahu berada dalam rumah ini!”
Dengan dengusan geram Nika menghempas kasar cawan yang dipegangnya di meja sebelum memandang Faris.
“Terima kasih Faris! Thanks!... hmmm, baguslah. Jangan ingat aku suka berada dalam rumah ni! Dan jangan kau berani menyangka aku masih berada di sini kerana hubungan kita! Kalau saja aku tak fikirkan keadaan kau semalam... aku dah lama pergi!. Tapi... kalau kau mahu aku lakukan itu.. baiklah,” kata Nika berang dengan mata yang berkaca. Suaranya terhenti sesaat lantas melarikan matanya dari Faris di hadapan. Dia segera beredar dari situ, bahu mereka berlanggar ketika Nika keluar dari lorong sempit di antara meja makan dan almari.
Kali ini, dia nekad. Peduli apa dengan Faris dan masalahnya. Dia juga tidak lagi kisah pun hendak mengambil pakaiannya di atas dan rela keluar sehelai sepinggang kecuali kad pengenalan dirinya. Faris – betul-betul menyakitkan hati! Tubuhnya bergetar menahan rasa marah yang mahu meletup.
“Kau mahu ke mana?” tiba-tiba Faris bertanya kuat.
Itu betul-betul soalan bodoh! Desis hati Nika tapi enggan berpaling pada Faris yang sedang mengekorinya di ruang tamu.
“Keluar dari rumah ini, untuk apalagi aku berada di sini, bukankah aku perempuan bodoh kerana sanggup tinggal dengan kau dalam rumah ni!” balasnya sinis sambil berjalan pergi dengan kaki yang terhincut dan berbalut.
Faris kemudian menghalang dan pantas berdiri di hadapannya lalu melihat pada kakinya yang cedera.“Kau tak boleh pergi..” cegahnya pula.
Nika berhenti, dia memandang geram dan benci tapi nekad untuk membalas semuanya. “Kau tak sepatutnya halang aku Faris dan aku tak perlukan simpati kau.” Kemudian dia mengeluarkan sejumlah wang kertas dari dalam dompetnya hingga habis. Malah tidak tahu berapa jumlahnya.
“INI!” dia menayangkan kepingan wang itu di muka Faris sebelum meletakkannya di atas meja berhampiran mereka berdua di mana bingkai gambar-gambar kenangan keluarga Faris terhias di situ. “Sedikit wang, sebagai bayaran permulaan semua hutang-hutang aku, bakinya aku bayar kemudian, cari saja aku di unit emergency,” ucapnya tanpa sedikitpun menyesal. Mereka berdua saling berlawan renungan sebelum Nika kembali melangkah.
“Kau tak boleh pergi Nika, aku takkan benarkan kau pergi jauh dari aku!” Lelaki itu mencapai lengannya.
Nika menggelengkan kepalanya kesal. Kenyataan Faris itu sekarang sangat berlainan dari versi asalnya. Dahinya berkerut kecewa dengan sikap Faris yang membuatnya terbeban dengan perasaan keliru.
“Apa kebaikannya bila aku buat begitu Faris, sedang kita berdua takkan pernah aman,” kata Nika melepaskan pegangan Faris dan meluru keluar dari rumah tersebut tanpa niat berpatah balik lagi. Barangkali inilah takdir hidupnya, meredah keluar dari rumah Faris dalam rasa terhina dan fikiran bercelaru.
Jadual kerjanya sudah lewat setengah jam yang lalu. Jalanraya di hadapan dipandangnya kabur kerana airmata yang bertakung. Nika mengesatnya sambil berharap ada teksi masuk ke lorong perumahan itu.
Bagaimanapun sesuatu yang tidak dijangka muncul. Kereta Faris tiba-tiba berhenti di tepi jalan, betul-betul di hadapan Nika yang masih berjalan. Faris kelam-kabut turun dari kereta.
“Nika... tolonglah,” katanya merayu.
Nika tidak peduli dan mengelak tapi Faris menangkap pergelangan tangannya dan memegangnya kuat.
“Faris...” deram Nika berang tidak mahu dihalang kepergiannya.
“Maafkan aku, tolonglah.”
“Lepaskan tangan aku Faris.”
“Demi keselamatanmu, aku mohon.. aku tetap tidak akan benarkan kau pergi jauh dari aku.”
“Kenapa?” soal Nika aneh.
Tapi Faris mendesak dan membawanya naik ke kereta.
“Aku hantar kau pergi kerja..”
Oh Tuhan! Dia benar-benar tidak memahami tindakan Faris. Adakah kerana hutang ayahnya pada tauke Tong – maka dia perlu diselamatkan! Itu bukan salahnya, dia cuma terjebak dalam kancah kedaifan ayahnya. Dan ‘keselamatan’ yang bagaimanakah lagi Faris maksudkan? Adakah ia berkaitan dengan kegiatan jenayah Faris di luar hingga boleh mengancam nyawanya.
“Aku minta maaf..” ucap Faris lagi sambil memandu.
Nika mengenggam kuat kedua belah tangannya. Hatinya sebak, dia mahu menangis tapi  tidak mahu mengalirkannya di sebelah Faris yang akan menyangkanya seorang perempuan lemah.
“Kenapa dengan kaki kau..?”  Mata Faris bersilih ganti melihat wajah dan kaki kanannya yang berbalut kemudian kembali jalanraya.
“Kita ke klinik..” desaknya bila Nika enggan menjawab.
“Tak perlu... tak teruk pun, aku terpijak serpihan kaca semalam,” kata Nika. “Aku boleh rawat sendiri..” jawabnya acuh tak acuh.
Sejurus mendengar jawapannya, Faris memberhentikan keretanya ke tepi jalan laluan berumput. Dia memandang dengan mata sayu dan rasa bersalah. “Aku minta maaf...” ucap Faris. Kepalanya tertunduk dengan ibujari dan jari telunjuk kirinya memegang dahi. Airmata mengalir setitis. Benar-benar kesal dengan keterlaluannya. Faris tahu dari mana Nika mendapat luka itu.
Nika terharu. “Kau sepatutnya berhenti minum alkohol, ia akan memudaratkan diri kau sendiri...” ujar Nika cuba menenangkan perasaan Faris.
Faris menggangguk perlahan dan kembali menyambung pemanduannya sehingga ke tempat kerja Nika, mereka berdua langsung senyap. Nika tidak ada mood untuk melanjutkan perbincangan yang menyesakkan fikirannya.
“Aku ambil kau pulang nanti..” kata Faris sebaik sahaja kereta itu tiba di depan perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan.
 Sebelum turun dari kereta, dia berpaling pada Faris. “Faris!” sebutnya lemah.
Faris menoleh.
“Aku mahu kau fikirkan semula dan pertimbangkan apa kesudahan kita berdua nanti,”
“Bukankah tanggungjawab seorang isteri untuk berada di sisi suaminya,” jawab Faris yakin.
Nika tidak tahu adakah kemahuan Faris menghalangnya dari pergi adalah rasa jujur dan ikhlas dari hatinya. Bukan sekali dia meragui niat Faris.
“Kenapa kau tak fikirkan perkara tu, ketika kau bergandingan dengan perempuan lain malam tadi...” dia membalasnya kejam dan membuatkan Faris kembali berwajah murung.
“Percayalah... aku tak lakukan apa-apa yang kau fikirkan sekarang, aku sedang berkerja. Tak lebih dari itu,” Faris cuba mempertahankan dirinya dengan penuh keyakinan dan berharap benar pada Nika yang hanya menutup pintu enggan menjawab.
Ketika Faris beredar. Husin dan dua tiga rakan sekerja memandangnya dari kaunter pendaftaran dengan renungan aneh. Dia yakin mereka baru sahaja melihat dia dihantar oleh sebuah kereta mewah dan tahu mereka ingin bertanya padanya. Zakiah juga berada di situ. Tapi Nika enggan mempedulikan mereka.
“Dah ada teman lelaki rupanya, adik manis aku ni...” usik Husin ketika sedang bersandar di kaunter tiket sewaktu Nika melintas di depannya.
“Mmm.. haha...” balas Nika tidak ikhlas. Zakiah kemudian mengekorinya, sudah tentu dia sibuk mahu tahu hal antara dia dan Faris semalam.
“Siapa tu Nika?” soal Suzzie yang tiba-tiba saja menerpa dan memeluk bahunya.
“Suami Nika,” Zakiah menjawab laju.
Nika berpaling laju pada Zakiah.
Suzzie juga terkejut tidak percaya. Dia baru saja hendak bertanya tapi terhalang bila Dr. Ishak yang entah dari mana datang, muncul di tengah-tengah mereka.
“Apa dia Zakiah?” Dr. Ishak terus sahaja menghampiri mereka bertiga dan memandang Nika dengan mata yang penuh tanda tanya.
Zakiah tersenyum senget, tidak tahu hendak menjawab apa-apa.
 “Kau kata lelaki yang menghantar Nika tadi, suaminya?” dia mengharapkan jawapan pasti dan terus merenung Nika.
“Err... iya.. do.. doktor,” jawab Zakiah tergagap.