Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Monday 28 November 2011

Raylan Faris 3

                                                                             
                                                                               Bab 3

Satu lagi rencana untuk merompak sebuah bank terkemuka gagal dilakukan bila van yang membawa empat orang lelaki yang selama ini diburu atas kes-kes jenayah besar diserbu oleh pasukan khas yang bertindak cekap dan berjaya menangkap kesemuanya sebelum mereka tiba ke CIS bank. Sumber maklumat penuh perisik  telah berjaya mematikan rancangan jahat tersebut......
"Tak habis-habis.." rungutnya sendirian lalu meletakkan kembali suratkhabar itu di atas meja ruang tamu dan masuk ke dapur hendak menyiapkan makan malam ala kadar untuk maknya yang mungkin masih sibuk di rumah besar.
Di saat benaknya masih dipenuhi cerita-cerita suratkhabar tadi dia terperanjat! Ketukan bertalu-talu dari pintu depan disusuli suara ayahnya memekik namanya berkali-kali. Mahu tidak mahu Nika membukakan juga pintu dengan mood yang mendadak teruknya.
“Apa lagi ayah mahu!” tempelaknya. Dia benci dengan bau arak dan muka merah ayahnya.
“Mana mak kau!” dia meredah masuk mencari isterinya.
“Mak tak ada!” pekik Nika ketika ayahnya memeriksa rumah kecil mereka seperti pegawai polis mencari penjenayah yang bersembunyi.
“Jangan tipu Nika! Dia di rumah besar kan!” tidak puas hati, ayahnya kemudian keluar semula dan menghayun langkah pantas menuju ke rumah besar.
Nika yang gerun dengan tingkah ayahnya yang sedang mabuk itu lantas menyusul dari belakang, dia harus menghalang ayahnya dari membuat hal di rumah Faris pula.
“Ayah…! Ayah!....... mak tak ada di situ!” pekik Nika kuat dan hampir tersandung.
Tapi ayahnya langsung tidak peduli dan terus berjalan lebih laju. Beberapa langkah lagi mereka akan sampai ke pagar halaman belakang. Nika semakin tidak sedap hati. Angin petang itu bertiup laju dan terasa hangat sepanjang dia berlari.
Emaknya muncul dari pintu belakang dan berlari mendapatkan ayahnya yang terus berteriak. Nika berdoa dalam hati semoga Faris tidak berada di dalam rumah besar itu sekarang.
“Ros! Ros!... aku perlu duit Ros.. mereka akan bunuh aku kalau aku tak bayar hari ni.. tolonglah Ros…” rayu ayahnya sambil memegang tangan emaknya.
“Maaflah ayah.. tapi ini bukan masalah kami! Pergilah dari sini..!” kata Nika geram.
Sekarang ini mereka bertiga betul-betul berada di belakang halaman rumah Faris dan saling bertengkar dengan suara yang kuat.
“Mana aku nak cari duit Zali……. dari dulu lagi kau tahu kami tak ada wang,” jawab emaknya dan cuba menarik tangan ayahnya pergi dari situ.
“Mana rantai emas yang Tuan Rahmad beli dulu.. beri pada aku!” desak ayah.
“Bukankah kau sudah gadaikannya!” rintih emak hampir menangis.
Nika semakin risau.
“Aku ingat kau dah tebus balik rantai tu. Nika… mana kau simpan rantai tu,” ayahnya berpaling padanya pula dengan muka merayu yang tidak tahu malu.
Nika hanya mampu meredam perasaan marah hingga dia tidak mampu berkata lagi. Suara guruh dari langit dikejauhan menyahut pertengkaran mereka.
“Rantai tu dah tak ada… sudah! Pergilah dari sini, kau tu mabuk.. tak malukah dengan perangai buruk kau..”
“Tidak!” bantah ayahnya tiba-tiba sahaja menerpa Nika dan menariknya ke dakapan lalu mencekik leher Nika dengan sebilah pisau lipat ditusuk ke lehernya.
“Razali!!!” jerit emak bimbang. “Lepaskan Nika! Itu anak kau!” emak melangkah ke depan.
Ayahnya berundur ke belakang dengan Nika tercekik serta tidak mampu melawan. Dia hampir-hampir tidak bernafas dan meronta-ronta dalam cengkaman kuat tangan ayahnya.
“Berikan aku wang atau aku jual Nika pada tauke Tong!.. beritahu mana rantai tu..!” ayah merapatkan lagi ancamannya.
“Ayah…” rayu Nika dengan perasaan gerun ketika mendengar nama bapa ayam yang pernah didengarnya dari cerita Husin.
“Razali! Tolonglah…. Lepaskan Nika,” rayu emaknya lagi hingga berlutut di depan ayahnya yang berbau arak itu. Angin terus berhembus kuat dengan cuaca yang lebih gelap memberi petanda musibah bakal tiba.
“Lepaskan dia!” bentak satu suara asing.
Mereka bertiga serentak berpaling dan terkejut melihat Faris muncul di situ. Pandangan tajamnya terpana tepat kepada ayahnya. Nika berasa sangat malu tapi berharap Faris akan menolongnya.
“Lepaskan dia!” desak Faris lebih tegas dengan nada mengancam.
“Tidak! Sebelum perempuan dua ni tak bagi aku wang!” kata ayahnya.
Nika menjerit kecil, lehernya terasa pedih dengan tusukan pisau yang masih terhunus. Wajah Faris kelihatan bimbang. Rahang pipinya bergerak-gerak.
Nika mohon simpati ayahnya supaya tidak memperlakukannya sedemikian rupa.
“Saya akan berikan awak wang tapi lepaskan dia!” kata Faris jelas. “Berapa kau mahu!”
“Dua puluh ribu! Tunai!” sahut ayahnya, serentak dengan rengekan emak.
“Jangan tuan!” pekik emaknya.
Tapi Faris langsung tidak mempedulikan bantahan itu dia terus masuk semula ke dalam rumah. Nika berharap benar moga-moga lelaki itu keluar dengan senapang patah dan mengusir ayahnya dari situ. Tapi dia mengerang kecewa, apa yang diharapkannya tidak berlaku ayahnya mengekeh kemenangan melihat wang dalam ikatan yang tebal dalam not seratus di tangan Faris.
“Ambil wang ini ..” Faris menghulurkan wang tersebut.
Ayahnya langsung mengambil wang itu dengan muka tidak tahu malu. Kemudian dia menolak Nika ke arah emaknya, dia terduduk di atas rumput dalam keadaan benar-benar terhina.
“Dia tak boleh bayar..” suara Nika serak, matanya basah merayu pada Faris agar mengambil balik wangnya.
“Tolonglah tuan.. kami tak mahu berhutang, biarlah suami saya uruskan perkara tu,” emak mencelah. Nika memegang tangan emaknya dan membawanya bangun.
“Kalau begitu Tuan ambil anak saya Nika sebagai bayarannya, tuan boleh jual atau buat apa saja..” kata ayahnya.
“Ayah!!” jerit Nika lebih nyaring. Tergamak betul lelaki itu berkata begitu.
“Tergamaknya kau Razali!!” maknya memekik terkejut.
Faris merenung muka lelaki tua tidak sedar diri itu dengan mata yang galak.
“Saya pun tidak mahu lagi berhutang dengan sesiapa jadi tuan boleh ambil dia sebagai bayarannya lepas ni kita tak ada apa-apa hutang lagi..” ayahnya langsung tidak memandang pada Nika dan emaknya. Dia cuma melihat wang itu dengan riak gembira.
“Kenapa dengan kau ni! Pulangkan wang tuan Faris!” kata maknya yang benar-benar malu dengan keadaan mereka di depan majikannya.
“Saya akan mengahwininya..”
dalam sayup-sayup gerimis Nika terkejut mendengar kata-kata Faris.
Dia berpaling pantas, memandang Faris yang turut merenungnya. Lama dan dalam. Penuh emosi yang tidak jelas. Jawapan Faris benar-benar mengejutkan selepas dari tadi dia mendengar sahaja mereka anak beranak saling berbantah.
“Saya tidak perlu bayar balik..” ujar ayahnya dan Faris menyahut.
“YA!” dengan matanya masih tetap pada mata Nika. “Dengan syarat..!!” Faris mengalihkan pandangannya pada lelaki pemabuk yang tidak sedar diri itu lagi tapi bersedia menunggu syarat seterusnya dari Faris.
“Pergi dari sini! Saya tidak mahu melihat kamu berada di rumah itu lagi ataupun di kawasan ini!” perintahnya tegar. Ayah Nika mengangguk-angguk dan tersengih. “Saya akan serahkan kamu pada polis jika kamu kembali ke sini lagi! Faham!”
“Baiklah…baiklah..”
Nika memandang geram pada kedua-dua lelaki itu. Apa yang hendak dikatakannya, sekarang mereka telah menyelesaikan satu masalah dengan mencipta satu lagi masalah baru. Dia benci ketika ayahnya hanya mengekeh ketawa. Dia berang kerana mereka melakukannya seperti barang dagangan. Lantas keberangan itu mendorongnya menuntut hak dari ayahnya juga. Dia juga mahu membuat tuntutan.
“Satu perkara lagi ayah…!” tiba-tiba dia bersuara sebelum ayahnya pergi. Dia juga mahu turut serta dalam perjanjian itu.
Faris berpaling merenungnya, renungan sama sewaktu mereka di hospital tempohari dan sedang menunggu apa yang mahu dikatakannya. Nika tidak lagi peduli apa akan berlaku selepas ini kerana dia mahu perkara yang sudah berlanjutan lama ini benar-benar selesai dan dia tidak lagi dikejar oleh masalah yang sama. Dia memandang muka ayahnya dengan pandangan benci yang terpatri kuat dalam hatinya lantas berkata.
“Lepaskan mak… saya akan ikut semuanya. Saya akan bayar hutang ayah itu! Tapi tinggalkan mak dan jangan pernah jumpa kami lagi. Anggaplah kami sudah mati dan ini, hari terakhir kita bertemu..” kata Nika muktamad. Dia memegang tangan emaknya kuat.
Ayahnya hanya mengangguk dan mengekeh ketawa sebelum pergi melangkah dengan tidak stabil langsung tidak peduli akan keadaan dia dan isterinya.
Suasana kembali senyap. Tiada lagi suara saling membentak, merayu dan menghalang. Nika sekali lagi menjadi perenung dada langit yang telah menitiskan titisan hujan renyai sambil memikirkan semua hal yang tidak masuk akal bila difikirkan semula. Adakah cara untuk berundur dari perjanjian ini. Adakah Faris cuma menipu ayahnya supaya ayahnya pergi dari rumah – kalau begitu bukankah lebih baik.
“Kosongkan rumah itu besok dan saya mahu kamu berdua masuk ke dalam rumah saya sekarang,” Faris berkata jelas pada dia dan maknya pula. Nika yakin yang lelaki itu serius dengan ucapan ngerinya.
‘Baguslah tu!’ keluh Nika dalam hati dan entah apa pula yang menanti di dalam rumahnya. Tapi jika perjanjian itu akan menjauhkan mereka berdua dari ayahnya, dia rela melakukannya biarpun dia tidak tahu apa yang akan menanti esok.
Mak memegang erat lengannya ketika mereka masuk ke dalam rumah tersebut. Mereka bertiga kini berada di dapur yang sangat bersih dan tenang tidak seperti perasaan Nika yang  berkecamuk dan diserang seribu fikiran tidak keruan.
“Jadi.. macam mana sekarang?” kata Nika, tidak sanggup membiarkan dirinya dirasuk fikiran yang menyesakkan.
Faris memberhentikan langkahnya dan berpaling menghadap. Mereka berdepan dengan lebih jelas sekarang. Maknya melihat mereka berdua bersilih ganti.
“Bagaimana caranya saya bayar hutang itu?” soal Nika berani.
“Teruskan perjanjian kita.” Faris memutuskannya muktamad.
Nika terpaku pada pemilik mata coklat yang menawan itu.
“Berikan saya waktu.. saya akan bayar wang itu semula,” pintanya dan berharap benar Faris bersetuju.
“Saya tidak mahu wang, saya cuma mahukan awak dan tunaikan janji itu.” Muktamad dan dia pergi dari situ.
Nika hampir rebah mendengarnya. Ada banyak perkara yang memberi maksud kalau Faris berkata ‘saya cuma mahukan awak’. Samada dia betul-betul mahukan dia sebagai isterinya atau ada perkara yang lebih menakutkan di balik perkara itu. Nika tertunduk, merenung lantai yang disinari cahaya lampu terang benderang dan bila dia mengangkat wajah…….. maknya tidak ada di situ. Dia kembali takut dan bimbang jika maknya lari keluar mencari ayahnya. Tapi kemudian dia mendengar suara maknya memanggil Tuan Faris dari arah tangga.
Nika bergegas menyusul dan membelok ke arah tangga, ketika kakinya naik lima anak tangga dia melihat emaknya berhadapan dengan Faris di ruang atas sekarang. Dia terpaku menunggu dan yakin Faris tahu dia sedang berdiri di situ.
“Saya mohon tuan Faris, dengan hati seorang ibu… saya mohon jangan jualkan anak saya pada siapa-siapa. Kahwinilah dia kalau itu yang tuan mahu..” kata emak sambil tersedu. Nika tersentak mendengarnya. Sungguh hina betul rasa dirinya bila mendengar maknya merayu seperti dia tidak bermaruah langsung.
“Saya tidak akan lakukan itu puan, yakinlah yang dia akan selamat bersama saya,” kata Faris dan melihat pada Nika sekilas.
“Saya mohon kalau tuan tidak inginkan dia, kembalikanlah dia kepada saya juga berjanjilah tuan…”
“Puan tak perlu bimbang..” kata Faris yang kini memandang pada Nika yang berada di tangga sambil berkata. “Saya akan persiapkan semuanya,” dia mahu berjalan pergi tapi kembali berpaling pada mereka berdua.
“Lebih baik puan tidur di bilik tetamu bersama Nika dan jangan kembali ke rumah kecil itu lagi..”
Itulah perkara yang paling jelas pada pendengarannya sepanjang dia hidup di muka bumi ini. Perkara menakutkan yang merupakan penutup segala impian dan harapan.
Entah mengapa Nika dan maknya mengikuti saja arahan Faris tadi dengan tidur di bilik tetamu sambil dia memikirkan cara terbaik hendak menghuraikan kekusutan ini. Mereka berdua duduk di atas katil dalam keadaan tidak rela dan tidak ubah seperti mangsa penderaan yang memilukan.
“Sejauh mana mak tahu dia baik..” tanya Nika buat kali yang ketiga atas saranan maknya supaya menurut sahaja perjanjian mereka.
“Dia baik Nika, mak tahu itu. Arwah Tuan Rahmad pun begitu, tak banyak bezanya perangai mereka berdua... apa yang mak percaya, dia akan menjaga kamu dan mak yakin dia akan berpegang pada janji. Lagipun dia dah tolong ayah kamu untuk selesaikan hutangnya. Mungkin kamu mempunyai seorang ayah yang teruk Nika tapi siapa tahu rahmat Tuhan yang tersembunyi dibalik semua kejadian-kejadian tadi.” Jelas mak yang seakan menyerah sahaja dengan perjalanan kehidupan mereka.
“Dengan mengorbankan jiwa Nika…” katanya lemah dan mahu menangis.
“Kita berdoa Nika, semoga kita dilimpahkan kebaikan atas apa yang berlaku tadi. Mungkin memang benar Faris mahu mengahwini kamu..”
Nika mengerekot berbaring sambil menggeleng tidak percaya yang maknya boleh berkata begitu. Dari cara Faris merenungnya, dia yakin lelaki itu ada maksud lain. Oh Tuhan… mudah-mudahan dia tidak begitu.
“Mak akan pergi ke rumah pak cik Rais kamu,” kata emaknya lagi membuatkan Nika pantas berpaling.
“Jauhnya kenapa..?” dia lantas terbayangkan perjalanan sejauh lapan jam dari sini.
“Mak perlu pergi dari sini Nika. Kalau ayah tahu mak masih ada di sini dia akan cari mak lagi. Betul lah kata Faris, rumah kecil kita tu dibiarkan kosong. Nika tinggal di sini bersama Faris,”
Nika makin tertekan. Dahinya terasa berat. Mendengar perkataan ‘bersama Faris’ benar-benar membimbangkannya.
“Kita lari sama-sama, Nika ikut mak..” saran Nika dalam terdesak.
“Jangan Nika, macam mana dengan kerja Nika?” bisik maknya yang sama sekali tidak bersetuju.
“Biarkanlah.. nanti, nanti Nika cari kerja lain,” jawabnya.
“Tak boleh nak… itu masa depan Nika. Masa depan anak-anak Nika sekalipun bila Faris tinggalkan Nika, Nika masih ada ruang untuk bernafas. Lagipun mak malu dengan keluarga Faris, mereka sekeluarga dah tolong kita, sejak dulu lagi sampailah sekarang. Tak baik rasanya buat dia begitu. Dunia ni kecil Nika, bila kita lari dan suatu hari nanti kita jumpa dia bukankah tidak elok, jadi.. mungkin inilah caranya kita membalas budi mereka sekeluarga Nika.”
Ya! Mungkin betul kata mak, mungkin inilah caranya mereka membalas budi. Budi yang dibawa hingga ke mati!.
Lantas Nika menarik selimut tebal dan menyelubungi dirinya. Berpura-pura tidur tapi otaknya ligat berfikir banyak hal dan bila memikirkan dia perlu kerja atau tidak esok pagi.. hatinya bertambah runsing. Dia tidak tahu bagaimana caranya hendak beritahu Zakiah yang dia telah melalui malam yang paling mengerikan dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment