Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Thursday 24 November 2011

Raylan Faris 2




Bab 3
Keesokan pagi awal-awal pagi lagi Nika ke rumah Tuan Rahmad. Dia terpaksa menggantikan emaknya bekerja di rumah besar hari ini berikutan keadaannya tidak mengizinkan.
Suasana sunyi menyambut ketibaannya masuk. Sejak dua tahun yang lalu, ini kali pertama Nika masuk ke dalam rumah itu lagi. Dapur mewahnya masih seperti dulu kemas dan bersih. Benar-benar tidak pernah dikotori dan kelihatan seperti tidak berpenghuni. Tidak mahu berlambat dia segera menjalankan segala pesanan emaknya yang menyuruhnya membasuh pakaian dahulu sebelum membuat sarapan pagi untuk Raylan Faris, tuan baru rumah itu.
Kerjanya tidaklah sukar, dia cuma perlu membiarkan mesin basuh itu bekerja dengan sendirinya sementara dia membuat kerja lain. Sarapan telur goreng hancur, sosej dan juga susu segar siap dihidangkan di atas meja sebelum beralih ke kerja seterusnya di tingkat atas rumah itu.
Ada empat buah bilik di atas, dua di bahagian depan dan dua lagi di belakang. Di hujung sebelah kanan terdapat sebuah lagi ruang yang ditutupi tabir panjang sepanjang ruangannya. Untuk ke ruangan itu dia perlu melintasi dua buah bilik yang saling berhadapan. Di situlah letaknya bilik Raylan Faris. Mengikut peta emaknya. Di hadapannya pula kelihatan balkoni yang ditutupi tabir nipis di sebelah ruang menonton tv, boleh dilihat oleh sesiapa pun yang menaiki tangga ke tingkat ini. Kenapa dia sangat berminat dengan balkoni itu? Itulah balkoni yang dapat dilihat dari rumah kecilnya di mana, seseorang sejak kelmarin berdiri di situ seperti sedang memerhati.
Masuk sahaja ke bilik yang tepat, dia mula mengemas katil dengan rapi, mencari habuk yang tidak kelihatan dan ke bilik air lalu mencebik di situ, berkata dalam hati saja tentang pengotornya tuan punya bilik itu yang meninggalkan bilik airnya dengan barang mandian bersepah di sana-sini. Tangannya laju menyusun barang mandian tadi ke atas rak. Kemudian dia mula menyiram pencuci lantai hampir setengah botol di atas lantai dan menyapu lantainya dengan span besar yang ditemuinya dalam almari sebelum dia terkejut ketika pintu bilik air itu diterjah secara tiba-tiba!
Nika sempat terpandang seorang lelaki yang berundur semula dari pintu. Dia bingkas berdiri dan berkata dari balik pintu. “Maaflah…”
“Kamu siapa?” soal lelaki itu yang tidak syak lagi Raylan Faris.
“Oh… saya anak Puan Ros, dia kurang sihat hari ni jadi saya ganti emak bersihkan rumah encik..” sahut Nika dari balik pintu dan mereka berdua sekarang hanya saling mendengar suara.
“Encik hendak guna bilik air?” tanyanya lebih kuat.
“Tak mengapa, saya pergi ke bawah saja..” 
‘Terima kasih atas kerjasama tu’ katanya dalam hati dan kembali menyirami bilik air yang sekarang dipenuhi buih sabun dan berbau harum. Selepas mengemop lantainya hingga kering dia segera keluar setelah memastikan ianya sangat bersih dan berkilat pada pandangannya dan juga tidak mahu bertembung lelaki itu.
Bagaimanapun cadangannya cuba mengelak dari bertembung Faris tersasar kerana mereka berdua sudahpun terserempak di tangga dan kini bertentang mata dalam lima saat yang kaku. 
Nika berdehem kecil yang langsung tidak membantunya menghilangkan dari rasa berdebar. Terpaku seketika melihat wajah sebenar Raylan Faris. Dia teringat....
“O…. hai, errr…. saya dah siapkan sarapan, encik mahu saya bawanya naik ke atas,” katanya.
Faris melangkah dengan sangat perlahan yang membuat Nika perasan akan sesuatu bila lelaki itu menggaru kening kirinya dan mempamerkan luka di lengan yang berbalut.
“Encik… emm...  yang datang ke ‘emergency’ tu kan, ingat lagi.. saya yang jahit luka tu?” kata Nika dengan matanya beria-ia benar melihat pada lengan Faris.
Faris melihat lengannya sebelum berkata. “Ahhh… ya…” jawabnya lambat sambil memegang tangannya yang berbalut, keningnya turut berkerut.
Nika menganggap yang lelaki itu telah melupakannya atau memang tidak ingin mengingatinya.
“Saya Nika. Anak Puan Ros. Encik Raylan Faris kan..” sungguh bodoh bunyinya bila dia menyebut ‘Raylan Faris kan’ padahal dia sudah tahu lelaki itu siapa.
Faris cuma tersenyum kelat dan mengangguk dengan berat sekali, seolah-olah menggambarkan betapa dia tidak gembira dan jelaslah tidak mahu langsung melihat anak orang gaji yang bertaraf rendah sedang bercerita dengannya.
Melihat reaksi Faris, Nika cepat-cepat turun dan berjalan di sebelah Faris yang kaku di tangga. Betullah kata emaknya, lelaki itu tidak pandai bercakap. ‘Rugi benar diberi mulut yang boleh dipakai,’ detus hati Nika jahat tapi dalam hati saja dia berani mengatakannya walaupun dia teringin hendak meluahkan. Malah detik itu juga dia tidak percaya kalau Faris adalah lelaki yang berdiri dengan prihatin di balik tabir seperti yang dilihatnya dari rumah kecil. Barangkali di rumah itu masih ada roh Tuan Rahmad yang sedang berlegar-legar.
Bagaimanapun Nika harus mengakui yang lelaki itu menakjubkan betul tarikannya. Dia memiliki mata, hidung mancung dan bibir yang menawan yang langsung tidak padan benar dengan sikap dingin luar biasanya. 
Hampir pukul satu petang barulah kerja-kerjanya di rumah besar selesai. Nika kembali menemani emaknya di rumah yang sudah boleh bangun tapi masih terdapat lebam di pinggir matanya. Irfan juga langsung tidak keluar rumah, katanya dia mahu menunggu ayahnya mereka pulang dan memberinya sepatah dua kata. Tapi sehingga ke malam menjelang orang tua itu langsung tidak muncul-muncul.
*
Selepas beberapa hari cerita ayah mereka memukul emaknya, Irfan kemudian kembali ke kolej setelah cutinya tamat meninggalkan Nika dan emaknya, juga ayahnya yang tidak lagi mengamuk tak tentu pasal. Itu kerana, ayahnya tidak pulang  tiga hari lalu dan bila balik dia sibuk memotong rumput di kawasan taman.
“Jadi… tak ganti emak kau kerja lagi..” tanya Zakiah ketika mereka berdua sedang mengusung pesakit lelaki yang kesakitan terkena tembakan di kakinya manakala tangannya pula digari pada palang katil. Mereka membawanya ke hujung.
 Zakiah menarik tabir penghadang menutup katil pesakit tadi.
“Tak.. dua hari aje,”  jawabnya sambil membersihkan darah di kawasan tembakan sementara Zakiah menyediakan peralatan.
“Ada jumpa lelaki dingin tu lagi,”
“Tak.. maksud aku… baguslah, tak payah tengok muka orang sombong tu,” kata Nika acuh tak acuh.
 Zakiah mengangkat kening.
Doktor Julia kemudian muncul dan pantas membuat kerjanya mengeluarkan peluru dari paha mangsa sementara dia dan Zakiah berbisik di belakang doktor Julia.
“Patutlah Dr. Ishak marah dan resah je beberapa hari ni… kau tak jadi buat temujanji tu..?”
“Itu bukan salah aku, dia patut faham,” bisik Nika juga.
Zakiah hanya mencebik lalu pergi meninggalkannya sendirian membersihkan luka yang kini telah dijahit. Dr. Julia juga sudah keluar. Hanya dia seorang bersama pesakit bergari itu. Kemudian dia membalut luka itu dengan rapi.
Sejurus kerjanya selesai dia berpusing hendak keluar tapi…. dengan tak sengaja dia terlanggar seseorang yang membuka tabir beroda itu.
"Maaf," ucapnya laju.
Faris berdiri di depannya.
Insiden yang tak disangka-sangka antara Nika dan Faris ‘si dingin’ – gelaran terbaru Nika untuknya setelah mereka tidak lagi bertemu di rumah besar sejurus kisah pertemuan kaku di atas tangga. Nika tergamam seketika sebelum tersedar lantas memberi Faris laluan dengan perasaan curiga yang mahu ditanyakan apa pula kaitan Faris menjenguk mangsa yang ditembak itu. Tapi yang paling menambahkan rasa jengkel Nika, Faris langsung tidak menyahut dan hanya memandangnya sekilas.
 Dia keluar dari ruangan bertabir dan pergi mendapatkan ubat di kaunter seperti arahan doktor Julia tadi. Kemudian dengan rasa berat hati dia perlu kembali semula ke katil tadi dan harus melihat riak ego Faris untuk yang ke sekian kalinya. Tapi bila dia memikirkan yang itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielak kerana tuntutan kerja dia meneruskan juga langkahnya.
Tapi sewaktu dia hampir di katil yang bertabir biru itu dengan tak semena-mena dia mendengar suara-suara kasar dan tegang dari dalam, entah serius atau tidak dia tersentak mendengar....…
“aku akan laporkan kau pada polis Faris!!”
“Silakan…. Bodoh!” jawab Faris. “Lakukannya, sekejap lagi polis  sampai,”
Nika pantas menggapai tabir dan membukanya dengan pandangan curiga, dua lelaki tadi berpaling padanya dan dia melihat tangan Faris sedang mencengkam kolar baju mangsa tadi hingga kepalanya terangkat sebelum melepaskannya kasar. Nika menjeling tajam. Dia ingin benar bertanya apa masalah mereka, bagaimanapun gari yang mengikat tangan mangsa tembakan itu jelas menandakan yang dia tidak ditugaskan untuk bertanya akan hal-hal begitu.
 Faris mengerlingnya tajam ketika dia memberi ubat pada pesakit yang baru sebentar mahu dicekiknya tadi seolah-olah dia mahu pesakit itu diberikan suntikan beracun. Kecurigaannya semakin kuat akan kerja si Faris itu. Lebih-lebih lagi dia berada di sebelah pesakit lelaki yang tangannya bergari dan tidak ada pula kakitangan di situ yang melaporkan kalau-kalau dia seseorang dari jabatan polis.
Dia beredar dari ruangan itu dan mencari Zakiah, syif mereka akan tamat sepuluh minit lagi. Cuaca kebiruan yang samar dapat dilihat dari celah tingkap wad ketika Nika menanggalkan jaket tebalnya lalu menyimpannya ke dalam loker. Zakiah kemudian muncul entah dari mana. Tina juga sudah muncul dan melangkah masuk sambil menyapa gembira pada mereka semua. Sejurus menandakan jam terakhir pada kad kehadiran dia dan Zakiah beriringan keluar menuju ke ruangan menunggu.
Bagaimanapun…….. percaya atau tidak, sekali lagi semasa di ruangan menunggu Nika bertentang mata dengan Faris yang masih berada di kawasan itu, tempat beberapa pelawat masih duduk di satu-satu tempat. Faris sedang berdiri dan bersandar pada tiang bulat di pintu utama. Nika cuba tidak mengendahkan dan mahu mengelak dari menyapa lelaki itu sebelum dia berpaling ke lain mendengar namanya dipanggil.
“Nika!”
Dia terpandang wajah suram Dr. Ishak yang sedang mendapatkannya.
“Boleh kita bicara sekejap,” katanya.
Nika berpaling seketika pada Zakiah yang membuat isyarat menunggunya di dalam kereta. Dia tahu apa yang hendak lelaki itu bicarakan. Sudah tentu ia berkenaan dengan temujanji mereka yang terbatal minggu lalu.
“Boleh tak awak khabarkan pada saya kalau awak ada masalah lain…” luahnya berterus-terang pada Nika yang terkebil-kebil sebelum menjawab.
“Maaflah Ishak kalau pasal temujanji tu, saya ada masalah dan tak boleh elakkannya,” jawabnya tapi tak sanggup hendak membahaskan masalah sebenarnya yang dia terpaksa bekerja di rumah majikan emaknya.
Saat itu apa yang Nika perasan, bukan wajah resah Ishak di hadapannya sebaliknya renungan Faris dari jarak sepuluh kaki yang dapat dikerlingnya.
“Tak perlukah saya ambil tahu apa masalah awak Nika, bukankah itu penting,”
Oh Tuhan… Adakah dia perlu beritahu pada Ishak yang emaknya dipukul oleh ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk. Adakah Ishak akan memahami dan mahu menelan hakikat dengan siapa dia mengatakan kepentingan itu sekarang. Nika mengakui, selepas dia melalui saat-saat paling teruk dengan keluarganya dia harus mengambil kira perlu atau tidak tentang menjalin hubungan dengan Ishak berikutan taraf kehormat lelaki itu yang diketahuinya dari awal dan mampukah dia berhadapan dengan situasi sebegitu. Rasanya tidak!
“Tak ada apa-apa, saya ok,” putusnya lemah dan sayu.
“Nika..”
“Saya akan beritahu awak nanti, belum masanya untuk saya bincangkan perkara lain. Maaflah, saya balik dulu.. Zakiah dah tunggu,” dia sebenarnya bukan tidak mahu berada bersama Ishak lebih lama di situ tapi dia tidak tahan dengan renungan mata Faris yang benar-benar aneh.
Seolah-olah ada suatu perasaan yang sangat rumit berlaku ketika itu. Malah apabila Faris turut pergi dari tempatnya berdiri tadi, Nika sangat inginkan penjelasannya kenapa dia merenung begitu sekali sedangkan sewaktu berada di rumahnya lelaki itu seakan benar-benar tidak mahu memandangnya.
 Sebelum masuk ke dalam kereta, Nika sempat berpaling pada Faris sekali lagi dan sumpah! Dia melihat lelaki itu masih memerhatikannya.
“Kenapa dia renung aku begitu!” rungutnya sendirian yang dapat Zakiah dengar dengan jelas.
“Siapa? Dr. Ishak?” tanya Zakiah pelik.
“Bukan. Faris.”
“Faris? Majikan mak kau?” tanya Zakiah lagi.
“Siapa lagi. Dia asyik renung aku bercerita dengan Ishak. Dia dah tertelan pil dungu ke?”
“Tak.. pil angau. Mungkin ubat yang kau bagi dia hari tu buat dia jadi gila bayang dengan kau,” kata Zakiah sambil ketawa besar di sebelah Nika yang geram.
Kereta itu mula meluncur laju pada pagi yang hening.
“Zakiah!” deramnya. “Dia bukan begitu, aku yakin dia aneh. Ada yang tak kena dengan kemunculannya di rumah arwah Tuan Rahmad.”
“Baik kau tanya saja dia nanti, lebih jelas. Tak perlulah kamu berdua saling hairan. Lagipun rumah kamu berdua dekat aje,”
Cadangan yang bernas sekali dari Zakiah. Nika menggerenyet.
“Baguslah tu. Terima kasih,” lantas Nika turun dan hampir tidak menyedari dia telah tiba di kawasan rumahnya.
“Nika…” panggil Zakiah dari dalam kereta. “Dia dah balik tu,” katanya lalu ketawa gelihati.
Nika turut menoleh pada Range Rover hitam berkilat yang sedang parkir di halaman masuk dengan pamandu yang sangat menjengkelkannya  beberapa hari ini telah turun dari kereta.
“Kalau aku jadi kau Nika, aku pilih Faris sebab aku tak sanggup berdepan dengan mak Dr. Ishak tu. Faris pun tak kurang kacaknya,”
(Mak Dr. Ishak? Mereka sekarang merujuk kepada pengarah hospital tempat mereka bekerja – seorang wanita perengus dan kuat marah.)
“Zak, agaknya kau pun dah termakan pil dungu!” sahut Nika dan mereka ketawa di situ.
Dia sempat melambai pada Zakiah sebelum berjalan keseorangan melalui lorong masuk yang redup dan sunyi diiringi satu perasaan aneh, seperti ada mata yang mengiringi langkahnya. Nika berpaling ke tingkap-tingkap banglo Raylan Faris tetapi dia tidak nampak pun sesiapa kecuali kaca jendelanya yang gelap.
‘Ah! Perasaan mengarut’ kata hatinya, barangkali dia pun tertelan ‘pil kurang waras’ hari ini. Atau mungkin kerana nama lelaki itu beberapa hari ini kerap muncul dalam benaknya. Banyak perkara yang tidak jelas tentang Raylan Faris dan kenapa dia boleh terus mengingati lelaki yang baru muncul itu.
Nika mengeluh kecil, kemudian dia melihat emaknya berjalan ke arah rumah besar yang membuatkan hatinya runtun tiba-tiba. Dia simpati pada emaknya yang seharusnya tidak perlu bekerja lagi. Tapi dia gagal untuk mengelakkannya, semuanya kerana mereka masih menumpang di tanah arwah Tuan Rahmad. Emaknya kata, ini sahajalah balasan budi yang dapat diberikannya pada keluarga itu atas jasa baik mereka selama ini. Langkahnya semakin perlahan saat pintu rumah berwarna coklat semakin jelas.
Nika tidak terus masuk ke dalam rumah, seperti biasa dia ke pinggir laman untuk menyiram bunga-bunga dan selalu berasa senang hati melihat bunga-bunga itu yang diyakininya merupakan salah satu terapi menenangkan hati.
“Nika!”
Tangannya yang sedang menyiram bunga terhenti. Dia berpaling benci melihat ayahnya. Hatinya masih terguris dan menyimpan segunung kebencian untuk lelaki yang sekarang tidak layak dipanggilnya ayah.
“Buat apa awak datang!” biadap benar mulutnya menyambut kedatangan ayahnya.
“Mana mak kamu!”
“Dia tak ada di rumah dan mak tak mahu jumpa ayah!” tempelaknya.
“Tolong ayah Nika, ayah dalam kesusahan ni..” rayunya dengan wajah lelaki yang tidak berguna.
“Bukan Nika atau mak yang cari penyakit tapi ayah sendiri!”
“Ini penting Nika, kalau tidak ayah akan mati!”
“Jadi! Siapa yang perlu tanggung semua itu! Mak? Nika? Bukankah sewaktu berhutang dengan mereka ayah dah tahu apa akibatnya. Jadi! Kenapa cari kami lagi, tak cukupkah dengan apa yang mak lalui!” Nika sangat bengang dan bagai malu hendak mengakui siapa lelaki yang pernah membesarkannya dengan kasih sayang dulu.
“Buat apalah kamu kerja kalau tak boleh tolong ayah sedikit pun! Itulah gunanya anak..”
“Adakah saya ni dilahirkan semata-mata untuk hidup susah dan menanggung kesalahan ayah seumur hidup!”
Pantas tangan sebesar pinggan hinggap ke pipinya. Sakit dan memilukan. Kepalanya terpaling ke sisi. Airmatanya gugur dengan rasa kebencian yang meluap-luap.
“Ah!!! Sudahlah!!!!” pekik ayahnya lantas menghayun langkah pergi dan tidak lagi berpaling.
Dia bersandar lemah pada pintu sambil memegang pipinya yang masih sakit. Kepalanya mendongak ke dada langit yang membiru tenang tidak seperti hatinya yang mengumpul rasa kemarahan dan benar-benar tegang. Lalu dia masuk ke dalam rumah, masih terngiang-ngiang kata-kata ayahnya yang tak masuk akal. Tidak berfikir seperti seorang ayah dan tidak pernah mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang pelindung untuk keluarganya.
“Nika!.. Nika!...” tiba-tiba mak menerjah masuk dengan wajah cemas. Mujur jugalah mak tidak keluar dari rumah besar itu sepanjang dia bercakap dengan ayahnya sebentar tadi.
“Kenapa mak ke sini.. nanti ayah nampak..” kata Nika risau.
“Tak.. dia dah pergi, kamu tak apa-apakan Nika?”
“Tak payah risau, mak pergilah sambung kerja,” katanya lagi.
“Ayah kamu nak apa?”
“Duitlah.. apa lagi yang dia perlukan selain duit! Dia takkan berubah, sampai masanya kita kena lepaskan dia mak,” luah Nika dengan mata yang bergenang tapi segera mengesatnya dan menguatkan hati.
“Mak nampak dia pukul kamu tadi, Tuan Faris pun nampak… tu yang mak risau,” beritahu emaknya sambil mengusap pipi Nika dan memberitahu ada kesan kemerahan di pipinya.
“Tak apa.. Nika okey,”
“Berehatlah....”
Nika mengangguk lemah dan sekali lagi berkeras yang dia tidak apa-apa dan menyuruh emaknya menyambung kerja. Maknya akur. Tapi belum jauh maknya pergi dia terdengar suara seseorang yang sangat janggal kedengarannya. Hatinya tersentak.
Ada apa-apa yang perlu saya bantu,” ujar suara itu dari luar yang mendorong Nika menjenguk dari tingkap tepi pintu dan mengintai dari celah langsir yang diselak sedikit dengan perasaan tidak menyangka Raylan Faris berdiri di situ sedang bercakap dengan emaknya.
“Eh! Tuan, err… semuanya baik..” beritahu emak.
“Dia tak apa-apa?”
Mata Nika terbuka besar, adakah dia tersalah dengar atau cuba mereka-reka cerita yang lelaki itu baru saja bertanyakan keadaannya. Memang benarlah firasatnya, lelaki dingin ini sering memerhatikannya dari rumah besar dan pastilah kejadian tadi sangat menarik perhatiannya hingga mendorong Faris ke situ untuk mengetahui keadaannya.
Kedengaran suara mak menjemput lelaki itu masuk.
 Dan Nika bersumpah dari belakang pintu yang dia tidak akan membukakan pintu. Tapi mujurlah Faris menolak pelawaan emaknya dan berjalan ke hadapan sebelum berpaling ke arah tingkap tempat Nika mengintai tadi.
Ada pengertian yang tidak difahami dari cara dia menoleh…

No comments:

Post a Comment