Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Thursday 29 December 2011

Raylan Faris


                                                                  
                                                                   Bab 4
Seperti yang Nika duga. Dia mengambil cuti mengejut tanpa pengetahuan semua rakan sekerja. Seminggu selepas kejadian tersebut Faris benar-benar mengotakan janjinya. Dia serius membawa Nika ke alam perkahwinan dalam majlis kecil yang hanya dihadiri jiran terdekat yang amat tidak menyangka dengan majlis itu terutamanya Encik Prianto dan isterinya, kejiranan terdekat yang selama ini tidak pernah mendengar perhubungan mereka berdua. Begitu juga Puan Halimah seorang guru yang juga merupakan jiran di hadapan rumah Faris. Mereka semua sangat peramah dan baik. Nika hanya tersenyum sepanjang majlis yang dipohonnya berakhir dengan cepat. Pak cik Faris, adik kepada arwah Tuan Rahmad turut bersama-sama dalam majlis tersebut dan menjadi saksi perkahwinan mereka. Manakala Irfan dan rakan kenalan emaknya dari tempat Zakiah tinggal menjadi saksi bagi pihak Nika. Ayah Nika juga menjadi walinya. Faris yang menguruskan semuanya, Nika cuma tahu semuanya telah siap diatur dengan sempurna.
Selepas majlis pernikahan ringkas yang tak sanggup untuk di ingat lagi Nika kembali dirundung sebak bila emaknya pulang ke rumah pak cik Rais di daerah Pahang. Nika sebenarnya tidak mahu maknya pergi tapi dia tidak dapat menghalang hajat maknya yang juga berat hati meninggalkannya bersama Faris yang diyakini emaknya sangat baik dan prihatin. Faris  mengarahkan seseorang dari syarikatnya untuk menghantar emaknya balik ke sana dengan selamat. Irfan juga telah pulang semula ke kolej dan menangis ketika Nika memeluknya erat. Nika terpaksa menjelaskan lebih teliti serta berpesan pada adik lelakinya agar jangan risau dan memberitahu keadaan mereka baik-baik sahaja.
Perkara pertama yang Faris tanyakan sebaik saja semua tetamu yang sedikit itu pulang ‘samada dia perlukan pembantu rumah?’ Jujur Nika mengatakan tidak. Dia tidak mahu ada orang yang menjadi saksi segala dukanya dalam rumah besar ini yang tidak syak lagi akan bermula pada malam ini. Faris seperti mahu membantah kehendak Nika tapi oleh kerana Nika berkeras enggan memandangnya lelaki itu lantas pergi entah ke mana.
Dia sedang berada di dapur dan berpura-pura mencari apa benda yang hendak dibersihkan dalam dapur yang sedia kemas dengan niat sengaja melambatkan keadaan sebenar supaya dia tidak perlu berhadapan dengan Faris di tingkat atas. Ada banyak perkara yang hendak difikirkan dan dia sekarang berada pada tahap buntu paling berisiko.
Ingatan yang paling menyeksakan dirinya tak semena-mena lenyap disaat namanya disebut seseorang dari belakang.
“Nika,”
Dia lantas berpaling pada Faris yang telah pun menanggalkan baju pengantinnya dan entah untuk kali yang berapa pada hari ini mata Faris seperti teruja benar melihat Nika dalam persalinan baju kurung putih dan terpegun seketika sebelum dia memuji lagi.
“Kamu sangat cantik..” katanya perlahan tanpa sebarang senyuman dan ketelusan hati yang sukar ditebak.
“Terima kasih,” balas Nika tawar.
“Pakaianmu sudah tersedia di atas, kau boleh tidur di bilik lain di atas kalau itu yang kau mahu. Aku mengerti. Aku mahu keluar dan tak tahu pulang jam berapa. Pastikan semua pintu berkunci dan jangan bukakan untuk siapa-siapa. Aku ada kunci sendiri.” Nika hanya memandangnya tanpa sebarang jawapan dan membiarkan Faris menyambung ayat ringkasnya. “Baiklah… selamat malam Nika,”
Dia terkedu tidak menyahut malah dibiarkan terus terpaku membiarkan Faris melangkah keluar dari pintu utama. Dan sejurus Faris pergi barulah dia berani melangkah naik ke atas dengan langkah lemah. Sunyi dan kelam adalah gambaran sebenar rumah itu dan hatinya. Tiada apa-apa yang kedengaran selain bunyi tapak kakinya sendiri yang menapak lantai kayu sambil menikmati segenap ruang di atasnya.
Sekali lagi balkoni yang bertabir kain sifon berwarna krim menyapanya mesra ditiup bayu malam. Tempat itu sangat selesa dan tenang. Terdapat satu set sofa berbentuk L dan almari buku yang sekaligus memuatkan televisyen rekabentuk LCD yang melekat pada dinding di sebelah bilik arwah Tuan Rahmad. Bersebelahan dengan bilik itu pula ialah bilik ‘Sang Perampas Kebahagiaannya’ dan di hadapan bilik tersebut barulah bilik Nika. Dia mengambil beg pakaiannya dari bilik Faris lalu membawanya ke dalam kamar yang bukan kepunyaan siapa-siapa.
Kelazimannya semua bilik dalam rumah itu direka dengan sangat cantik dan mengujakan. Pintunya yang berwarna coklat tua begitu klasik di matanya. Kertas dinding berwarna putih dengan bunga-bunga kecil merah jambu menghias seluruh dinding. Di pandangan sebelah kiri sebuah katil bertiang empat dan dihiasi kain nipis yang menggoda tersergam menunggu Nika melabuhkan dirinya hendak melepaskan rasa keletihan. Kalau sahaja dia sekarang wanita yang sangat gembira dengan perkahwinannya sudah pasti dia akan melompat gembira kerana berada di dalam bilik tersebut.
Nika lantas mengeluarkan pakaiannya dari dalam beg dan menyimpan ke dalam almari  termasuk seragam jururawat. Dia menukar pakaian pengantinnya dengan baju tidur yang ditemuinya dalam almari berserta nota bertulis:
‘untuk keperluan kamu’
Keperihatinan Faris membuat Nika terkesima dan malu. Tapi, satu hal yang musykil di hati Nika adalah – dia tidak tahu apa yang bermain difikiran lelaki dingin itu. Faris telah membiarkannya hidup bersendirian dalam rumah itu sedang dia isterinya dan memiliki kepentingan seratus peratus untuk mempergunakan Nika sebagai isterinya. Bagaimanapun ia tidak berlaku selepas Faris memberinya ruang untuk tidur dalam bilik berasingan dengan alasan dia mengerti perasaannya.
Lantas untuk apa mereka menikah!
Adakah hanya kerana ingin melepaskan Nika dari cengkaman ayahnya yang tidak bermoral. Tapi bukankah Faris lebih baik membiarkannya bebas daripada memilih jalan untuk berkahwin kalau akhirnya mereka berdua menjadi orang asing dalam rumah sebesar ini. Nika semakin resah memikirkannya. Wajah Faris yang berhidung mancung dan memiliki kumis tipis serta mata menawan tergambar jelas saat lelaki itu melafazkan akad nikah petang tadi sebagai pengesahan perkahwinan mereka.
Ahh… Nika mengeluh pada malam larut yang menjerat dirinya ke jurang yang tidak berhujung. “Dapatkah aku bersembunyi semata-mata mahu mengelakkannya. Bertahankah aku dalam situasi seperti ini,” kata hatinya.
Lantas dia tertidur dengan rasa kesedihan yang terbawa-bawa ke alam mimpi melihat Faris yang merenungnya tajam dari kejauhan dalam rumah besar sambil memerhati setiap gerak-gerinya. Dia cuba tersenyum tapi Faris tetap begitu tetap dalam merenungnya dan penghujungnya dia menangis di sudut-sudut terpencil sebelum terbangun pada paginya dengan mata yang basah.
Pagi menjelang dengan sangat cepat bersama cahaya mentari yang muncul dengan megah. Selepas mandi dan mengambil masa yang lama di bilik air dia menyiapkan diri dalam mood bercuti yang paling tidak menggembirakan selain tertanya-tanya samada Faris sudah pulang atau belum. Dia tidak mahu menjenguk ke dalam bilik itu sebenarnya lebih kepada teori ‘tidak mahu tahu’ tapi yang anehnya, dia telah turun ke bawah dan  membuat sarapan untuk dua orang makan.
Tidak suka dengan perkahwinan satu hal, bertanggungjawab untuk perkahwinan ini juga satu hal. Jadi? Siapa hendak mulakan dulu? Dia? Ya…. Mulakan hari dengan membuat sandwich telur rebus cincang dan mayonis, juga susu segar kegemaran Faris yang pernah dipesan oleh maknya. Malangnya selepas Nika mandi dan menyiapkan sarapan dia terlupa yang dia perlu membersihkan ruang tamu dahulu dan terpaksa meneruskan niatnya yang kini mula memvakum seluruh ruang yang besar kemudian mengelap almari dan bingkai-bingkai gambar yang berhabuk. Sepuluh minit yang terpantas setelah memastikan semuanya bersih Nika berdiri pula di hadapan dua buah jendela kaca yang luas yang berlangsirkan corak-corak bunga rekaan ala inggeris. Dia memaksa otaknya sendiri bagaimana cara hendak menukar langsir yang tinggi dan tidak tercapai tangannya.
Kesudahannya dia terduduk di atas sofa, keletihan dan entah macam mana dia lalu terlelap. Nika tersentak bangun merasakan sentuhan di pipinya, dia terkejut melihat Faris berdiri di tepinya.
“Aku ingat kau pengsan  di situ..” katanya.
“Oh… err.. maaf,” kata Nika kelam kabut.
“Kau tak apa-apa?”
“Tak..” jawabnya dan terus berdiri. “Err.. aku sudah sediakan sarapan,”
“Kau sudah makan?” tanya Faris baik.
Nika tidak tahu harus mengangguk atau menggeleng. Aduh! Kenapalah dia merasa sangat tolol setiap kali berdepan dengan lelaki ini.
“Kita sarapan..” ajak Faris.
Nika mengikut dari belakang. Mengikut dengan perasaan tidak keruan dan berdebar. Di meja makan, Nika membiarkan Faris duduk dan menikmati hidangan sementara dia turut makan dengan senyap. Tak ada perkara yang hendak dibualkan. ‘Tak ada perkara yang hendak dibualkan!’ oh Tuhan… dia boleh terkena penyakit tekanan jika perkara ini berlanjutan.

No comments:

Post a Comment