Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Thursday 29 December 2011

Raylan Faris 5

           

Selepas cutinya tamat, satu perkara yang membebankannya muncul mendadak. Dia terfikir-fikir cara untuk memberitahu pada Zakiah tentang apa yang berlaku padanya. Dia tidak tahu samada cuba bertenang atau perlu memikirkan sesuatu yang lebih positif dari kisah ini sekaligus berharap ada yang lebih membahagiakan dalam hubungan tidak terancang di antara dia dan Faris..
Bagaimanapun penerimaan Zakiah tentang perkahwinan Nika lebih teruk mengejutkan reaksinya berbanding adiknya Irfan. Sejurus dia menceritakan hal itu Zakiah berubah menjadi bayang-bayang yang mengekori ke mana sahaja dia berada sepanjang syif pagi mereka. Reaksinya bukan sahaja terkejut gila tapi dia juga marah kenapa dia tidak dijemput dalam majlis yang paling Nika tidak menyangka dia akan melalui hari pernikahan seperti hari yang sudah berlalu seminggu itu.
Tak cukup menyedihkankah ceritanya hingga Zakiah menganggapnya lupa pada kawan! Lupakan dia! – itulah yang di bebelnya saban minit.
“Tak ada yang istimewa dalam perkahwinan tu Zakiah!” akhirnya Nika jengkel sambil menggeleng kecil. “Semuanya jadi macam tu aje, tak masuk akal langsung..” sambung Nika sambil membetulkan sambungan oksigen yang dipasangkan pada seorang nenek tua yang tercungap-cungap menyedut nafas.
“Tapi dia mengahwini kau! Dia tak mahu duit kau! Dia cuma mahukan kau. Kau ingat berapa ramai lelaki yang mahu buat begitu. Lebih-lebih lagi dia tidak sentuh kau.. agaknya kenapa?” kata Zakiah lagi dengan nenek tua tadi tercengang pada dia dan Zakiah sekarang.
“Betul. Kenapa agaknya?” tanya Nika semula setelah selesai menguruskan nenek itu tadi dan beralih cuba mengelakkan Zakiah. “Jangan tanya aku!” ujarnya geram bila Zakiah hendak membuka mulutnya ketika dia berpaling.
Tapi cerita itu tidak tamat di situ. Zakiah tidak berhenti mengingatkan wajah Faris di dalam kepalanya sepanjang mereka pergi makan tengahari di kefetaria pula.
Nika mengambil makanan dengan jumlah yang banyak kerana merasakan perutnya benar-benar lapar.
“Lelaki tu tak bagi kau makan ke?” tanya Zakiah dengan bibir herot melihat pinggannya yang dipenuhi lauk-pauk.
 Dia menggeleng kesal kerana menceritakan perkara itu pada perempuan kecoh yang menambahkan lagi beban tekanannya.
“Aku tak tahu kalau kau ada hati nak makan seorang diri dalam rumah besar tu!”
“Dia ..elalu ta.. da di ….umah?” soalnya dengan mulut yang penuh.
“Ada atau tidak keadaannya sama saja.”
“Kalau begitu kenapa kahwin?”
“Jangan Tanya Aku! Aku tak tahu jawapannya,” kata Nika keras dan menunjukkan hujung garpu pada Zakiah yang hanya tersengih masih belum puas.
 Zakiah kembali makan dalam senyap yang cuma bertahan selama  seminit bila diah bersuara semula.
“Aku yakin dia cintakan kau. Cinta mati, sebab tu dia nekad nak dapatkan kau,”
Nika menggerenyet.
 “Tak sedar  lagi ke Nika, itulah hakikatnya.”
“Pendapat yang menakutkan.” ujarnya lemah, perutnya berasa mual. Dia berhenti makan dan tiba-tiba menjadi takut. Menakutkan! Aduh… fikirannya betul-betul tidak kusut hari ini. Dia sekarang sedang berfikir adakah Zakiah akan terkejut lagi kalau dia beritahu yang dia mahu lari dari Faris. Yalah tu.. macamlah dia berani melakukannya.
“Dr. Ishak dah tahu ke?”
“Tak. Tak ada siapa yang tahu kecuali kau dan tolong jangan beritahu sesiapa..” pinta Nika sebaik mereka selesai makan.
xxx
Nika tiba di rumah barunya pada pukul tiga petang dan hampir-hampir mengaum pada Zakiah yang memandang kagum pada ‘rumah barunya.’
Pintu besar rumah itu ditolaknya perlahan.  "Selamat Datang Ke Dunia Sepi" bisik hatinya.  Kepulangannya hanya dijawab sudut kemuraman objek-objek tidak bernyawa dan tak mampu diajak bicara. Lantas wajah lembut maknya yang tersenyum mesra dan mengajaknya makan ketika di rumah kecil yang kini telah terbiar sepi di belakang sana tergambar jelas di mata. Dia melepaskan rasa keletihan dan rebah di atas sofa yang sangat menyelesakan di ruang tamu hingga perlahan-lahan matanya layu dan terlena.
Nika hanya tersedar dan membuka matanya kala keremangan senja menyelinap di seluruh ruang tamu sebelum dia terkejut melihat sekujur tubuh dengan sepasang mata merenung kepadanya. Entah sudah berapa lama agaknya Faris duduk di sofa menghadap tempat dia tertidur. Lelaki itu masih merenungnya dengan mata menawan yang menusuk kalbu. Nika terpaku seketika sebelum kaget bila menyedari waktu telah lewat petang, lantas dia tergesa-gesa bangun sambil menggosok matanya.
“Maaf.. aku tertidur...” ucapnya segan memandang Faris. “Kau nak minum?” pertanyaan dari seorang isteri?huh! Tapi seperti biasa lelaki berat mulut itu hanya diam dan menggeleng sesaat.
Nika berdiri dan mahu pergi dari situ.
“Kau sudah makan Nika?” tanya Faris tiba-tiba tapi tanpa sedikit pun riak mesra.
“Kau nak makan? Aku boleh masakkan…” ‘itu bukan jawapan Nika’. Desis hatinya, geram dengan apa yang keluar dari mulutnya sesaat tadi.
“Kita makan di luar..” ajak Faris.
“Tak apalah…. err…” dia mencari alasan untuk mengelakkan diri dari Faris sebenarnya.
“Aku tunggu kau di bawah.” Pintas Faris tegas tanpa mahu dibantah.
Nika menoleh memandang Faris. Faris juga begitu. Sejak dari awal bertemu mereka berdua selalu begitu – saling memandang tapi tidak pandai berkomunikasi.
Akhirnya dia mengalah dan naik ke atas bersiap untuk mengikuti Faris keluar makan buat pertama kalinya untuk mereka berdua. Selepas siap mengenakan baju yang dilapisi sweater sulaman panjang tangan berwarna putih bercorak dan seluar jeans dia pun turun ke bawah.
 Faris ikut berdiri dari tempatnya duduk tadi sejurus melihat dia telah bersiap. Bunyi pintu kereta di buka jelas Nika dengar lalu dia duduk di dalam kereta Range Rover berkilat itu dengan hati yang tidak rela kerana harus berada di sebelah Faris ‘si bisu’ sambil menikmati haruman yang menyamankan hati yang membuatkannya terfikir untuk meminta kebenaran tinggal dalam kereta itu.
Matanya sekejap-kejap menjeling setiap minit yang bertukar yang tertera pada dashboard kereta. Sepanjang menyusuri jalan menuju ke bandaraya dia mencerna satu teori yang kereta itu sedang bergerak sendiri tanpa pemandu kerana mereka berdua langsung tidak bercakap. Yang menambahkan rasa sebalnya suara radio pun tidak cuba diputar oleh Faris yang hanya tahu menggerakkan steering kereta. Dalam kegelisahan yang menyesakkan Nika berjaya mengeluarkan bunyi keluhan yang membuatkan Faris berpaling sebentar kepadanya. Akhirnya lelaki itu mendapat parkir di depan sebuah hotel mewah di tengah bandaraya.
“Kita nak ke mana?” soal Nika dengan perasaan seram berada di depan hotel mewah dengan Faris berjalan di sebelahnya sekarang.
Dinner.” Jawabnya ringkas.
Nika mengikut dengan hati yang berat.
“Faris, aku tak biasa makan di tempat begini. Ada banyak kedai makan di sebelah sana.. aku, aku.. boleh tunjukkan jalan,” bagaimanapun pendapatnya itu seperti angin lalu yang tidak diperasankan oleh Faris yang menarik lengannya masuk ke dalam hotel tersebut. Seperti dia seorang anak kecil yang degil.
Sekelip mata sahaja dia sudah ternganga kagum dengan kecantikan hotel tersebut. Lampu-lampu mewah menghias silingnya merentas hingga ke bahagian ruang makan. Cahaya kekuningannya menyimbah tenang ke serata sudut. Semua pengunjung kelihatan makan dengan senyap.
Di meja makan, seorang pelayan yang berseragam kemas melayan mereka sopan. Faris kemudian memesan makanan untuk mereka berdua yang hanya tiba setelah mereka menunggu dalam masa sepuluh minit dan begitu menyeksakan hati Nika. Dia akhirnya memutuskan untuk memulakan perbualan yang dikhuatirinya mereka berdua menjadi bisu sepanjang hayat.
“Kenapa kau tak pulang semasa arwah Tuan Rahmad meninggal dunia?” soalan pertama yang dianggapnya sangat kejam sekali.
Faris tidak menyahut pada mulanya tapi dia mendengar soalan itu. Kemudian dia berhenti  makan dan memandang Nika sekejap kemudian kembali pada makanannya lalu berkata dengan wajah serius. “Aku datang pada hari pengebumiannya dan selepas itu aku berada di rumah pak cik Rahim, adik kepada ayah aku.”
Nika mengangkat keningnya mengerti. Oh.. pandai juga dia menjawab rupanya.
“Kenapa kau tak pulang sewaktu arwah Tuan Rahmad masih hidup dulu?”  tanya Nika lagi semakin berani.
“Dia.. datang ke sana,”
“Ke mana?”
“New York.”
“Oh begitu, patutlah kami tak pernah jumpa kau,”
Jujur Nika merasakan yang mereka berdua bukan pasangan suami isteri kerana mereka sekarang seolah-olah baru hendak mengenali diri masing-masing.
“Aku pun tak pernah nampak kau, sebelum ini aku cuma tahu tentang Irfan, adik kau..” kata Faris dan hampir menghabiskan makanannya. Nika berasa gembira buat seketika bila Faris mengetahui serba sedikit latar belakang keluarganya.
“Aku tinggal di asrama sekolah dan kemudian mengambil kursus jururawat dan juga tinggal di asrama sebelum dapat berpindah ke sini empat tahun lalu.”
Faris mengukir senyuman tapi senget langsung tak padan dengan rupanya yang menawan.
“Kau penat betul hari ni, aku lihat kau tidur nyenyak betul di sofa tadi,” Faris kian rancak bercerita.
“Aku berdengkur?” tanya Nika sambil berharap tidak.
“Tak.” Faris menjawab.
Dia mengeluh lega.
“Tapi kau mengigau..”
Nika tersentak!
“Aku mengigau.. oh.. err.. betul ke?” dia terasa malu. Agaknya berapa lama Faris mendengarnya meracau petang tadi.
“Kau bercakap pasal wang. Kau perlukan wang?”
Yalah tu! Aduh…. Nika… bodohnya kau. Macam mana boleh terbawa-bawa sampai dalam tidur. Namun Nika berusaha menyembunyikan perasaan malu itu dan yakin yang dia bukan kemaruk dengan wang.
“Ya.. aku memang perlu wang.”
Dahi Faris berkerut mendengarnya.
“Wang untuk bayar hutang pada kau. Jadi..  ia tak berkaitan dengan kau,” putus Nika tepat.
“Kau betul-betul mahu lari daripada aku?” soalnya dengan mata yang redup dan menyeringai memandang Nika sebelum berpaling ke lain.
Dia menunggu Faris terus berbicara mengenai perkara itu.
“Kau takkan dapat lari dari aku. Itu kesudahannya,” ujarnya tegas
Nika tersentak lagi dan merenung wajah Faris yang seperti tidak berperasaan dan tanpa sedikit pun rasa kesal berkenaan segala perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada mereka berdua.
“Sekalipun aku boleh menyelesaikan hutang itu?” Nika cuba mencari jalan yang lebih baik untuk menghindar dari terus terjerumus dalam kehidupan bersama lelaki itu.
“Aku sudah katakan yang aku tidak perlukan wang kau,”
“Kalau begitu kita akan terus jadi seperti ini, macam orang asing..” nada Nika seakan berbisik menjelaskan perkara itu pada Faris.
“Beri aku waktu untuk pulihkan semuanya,” ujar Faris lemah.
Nika semakin tidak mengerti. Dia berpenyakitkah? Apa yang hendak dipulihkannya?
“Oh Tuhan! Faris… jangan sampai aku… kau, hingga kita masing-masing ada orang lain baru kita berdua hendak berdamai..” kata Nika diiringi satu perasaan yang sangat aneh terbit mendadak dari gemuruh darahnya. Dia menghela nafas sesal kerana mengatakannya.
Tapi… Faris, sebaik saja mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut Nika rahangnya tiba-tiba mengeras dan urat-urat di tangannya terukir jelas ketika mengenggam kuat garpu. Matanya merenung tajam dan kemudian bingkas berdiri, dia meletakkan beberapa keping wang di atas meja sebagai bayaran untuk makan malam mereka yang teruk dan meninggalkan Nika yang ikut berdiri  terpinga-pinga mengekori di belakang. Faris terus keluar dari hotel tersebut.
Nika menuntun dari belakang dengan hati yang geram dan penuh kebencian. Di luar, Faris tidak kelihatan, mungkin mengambil keretanya. Seorang pemandu teksi menawarkan perkhidmatan teksinya. Patutkah dia naik? Tapi saat itu juga Faris muncul dan menarik lengannya dan mereka berjalan dalam keadaan yang sangat terpaksa. Seolah-olah ada manusia halimunan yang cuba menyatukan mereka berdua untuk terus beriringan hingga ke tempat parkir.
Ketika Faris membuka pintu kereta untuknya datang dua orang lelaki berjaket gelap menyapa Faris yang baru hendak berpusing ke tempat pemandu.
“Hei Faris!” tegur seorang lelaki yang sangat ramah kerana mereka saling bertepuk bahu.
“Cantik girlfriend kau,” kata lelaki itu lagi.
“Kawan.. dia kawan saya,” jawab Faris pada dua lelaki tadi dan sempat mengerling pada Nika yang dapat mendengar perbualan ringkas itu.
‘Kawan’
Dia memperkenalkannya sebagai kawan sahaja. Jadi.. dia masih bujang di depan temannya sedangkan dia sudah menjadi milik orang. Baguslah tu! Faris lelaki dingin ini bukan saja menjengkelkan tapi menyakitkan hati. Dia harus ada penjelasan untuk gelaran terbaru itu. Harus. Tapi…. Bukankah dia sepatutnya berasa lega mendengarnya?

No comments:

Post a Comment