Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Saturday 3 March 2012

Raylan Faris (14)


Nika telah pun bersiap sepenuhnya dan turun ke bawah. Gaun yang dibeli petang tadi, sekarang tersarung cantik di tubuhnya. Lembut dan kemas, sesekali rasanya seperti bintang-bintang pelakon dari barat. Puji Nika sendiri sambil dia menuruni tangga.
Sehingga dia masuk ke dalam kereta, Faris sekejap-sekejap akan menoleh padanya, menilik dari kasut tumit tinggi hingga ke rambut yang dikepit mesra membuatkan Nika berasa kurang selesa. Perjalanan yang biasanya dirasakan berjam-jam bila bersama Faris, terasa begitu cepat pula kali ini. Mereka telah pun tiba di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Nika semakin berdebar dan terus berdoa semoga dia tidak ditipu oleh Faris.
Setelah Faris meletakkan keretanya, Nika terus-menerus dihantui berbagai anggapan yang menakutkan dirinya sendiri. Dia langsung tidak dapat senyum, terasa seperti dirinya dihukum dengan kesalahan yang bukan salahnya. Kakinya seolah-olah dibawa melangkah ke jalan menuju pusat tahanan paling menyeksakan bukan di tempat terang benderang yang begitu memukau pandangan. Pintu lif terbuka lebar, dua lagi pasangan separuh usia masuk bersama-sama mereka. Suhu dingin dalam hotel  menambahkan lagi kedinginan Nika kerana memakai gaun tanpa lengan. Dalam kelekaan tiba-tiba dia tersentak. Dia merasakan..........
Darahnya semakin laju mengalir, malah menghangatkan bila mana tangan Faris tanpa disedari telah mencapai tangannya. Lembut dan mengasyikkan. Dia tidak mahu memandang wajah Faris, malu tapi bagaimanapun genggamannya itu begitu menenangkan hati Nika yang berani membiarkan sahaja ia berlaku sehinggalah lif terbuka dan mereka mengharungi ruangan mewah karpet merah ketika menuju ke dewan utama di sebelah kanan.
Sejurus berada di dalamnya mereka berdua disambut mesra oleh seorang lelaki separuh usia tapi amat segak penampilannya. Nika seperti pernah melihat lelaki itu tapi dia tidak ingat di mana sehinggalah Faris memperkenalkan padanya semula.
“Nika, kenalkan, ini Encik Wahid.”
Lelaki segak bernama Encik Wahid itu tersenyum senang melihatnya.
“Beliau pengurus kanan di syarikat,”” kata Faris padanya.
“Apa khabar pengantin baru..” sapa Encik Wahid ramah.
Ya! Dia baru teringat. Sebab itulah dia merasakan pernah melihat lelaki itu di mana-mana. Lelaki itu menjadi saksi pernikahan mereka berdua.
“Jemput duduk, di sana,” Encik Wahid membawa mereka ke sebuah meja makan bulat di mana lebih banyak mata-mata memandang dia dan Faris ketika melabuhkan punggung di meja yang telah dihuni oleh dua pasangan. Seorang wanita yang berpenampilan seperti ahli korporat bersama suaminya berdiri menyapa mereka berdua. Kelihatan usia mereka berdua mungkin dalam lingkungan 50-an.
Satu lagi pasangan di meja yang sama merupakan bapa saudara Faris, Encik Rosli dan isterinya Suzana yang pernah Nika jumpa juga sewaktu pernikahan mereka tempohari.
“Nika, kenalkan.. ini Puan Rahimah. Dia setiausaha syarikat.” Faris memperkenalkan padanya wanita yang seperti ahli korporat tadi.
Nika menghulurkan jabat tangannya dan cuba mempamerkan senyuman mesranya.
 “Apa khabar Nika, cantiknya awak.. oh ya, ini suami saya Encik Khairil Fahmi.” Katanya ramah.
Encik Wahid turut duduk bersama-sama mereka. Seorang lagi wanita bergaya, mungkin sebayanya baru tiba dan mengambil tempat duduk di sebelah isteri  encik Rosli. Puan Rahimah memperkenalkan kepadanya Dania, pengurus bahagian jualan yang juga merupakan anak sulung bapa saudara Faris. Faris nampaknya tidak perlu berkenalan dengan perempuan bernama Dania itu, kelihatannya mereka saling mengenali. Cuma yang tidak enak bagi Nika, bila Dania kerap mengerlingnya dengan jelingan mencemuh yang membuatnya kembali segan.
Majlis makan malam itu bermula dengan ucapan-ucapan dari Encik Wahid dan disusuli dengan doa-doa mohon keberkatan oleh seorang ustaz yang dijemput khas. Usai acara yang pertama hidangan mula diedarkan ke meja-meja yang berupa makanan-makanan mewah yang tidak pernah Nika lihat sepanjang hidupnya.
Puan Rahimah dan Encik Wahid semakin ramah bercerita tentang pengurusan syarikat kepada pak cik Faris. Faris pula hanya menyahut sekali-sekala bila ditanya. Nika giat melontarkan senyum manis untuk semua tetamu. Langsung tidak tahu-menahu tentang syarikat tersebut. Dia juga hairan kenapa bukan Faris yang menguruskan syarikat ayahnya sendiri tapi menurunkan semua amanah kepada orang luar yang begitu dipercayai oleh keluarga arwah Tuan Rahmad.
“Saya, ada menjemput Puan Helena, Faris,” Encik Wahid mencelah bersuara ketika semua orang sedang menjamu selera kek pencuci mulut. Semua orang memandangnya termasuk Nika. Dia kenal siapa Puan Helena sebab itu dia cuba memberi perhatian juga.
“Di mana pak cik jumpa dia?” tanya Faris tawar dan airmuka yang berubah sama seperti  ketika dia sedang stres.
“Di Birmingham, masa kami sekeluarga bercuti di sana, dia ada kata nak balik ke Malaysia,” sambung Encik Wahid lagi.
Puan Rahimah berwajah gembira mendengarnya, begitu juga isteri Encik Rosli. Tapi suaminya tidak, seperti tidak suka mendengar khabar tersebut, begitu juga Faris.
“Emm.”
Itu sahaja yang Faris jawab sekaligus menutup perbualan berkenaan ibu Faris yang telah lama menghilang setelah bercerai dengan arwah Tuan Rahmad. Nika masih mengingati betapa lembut dan baiknya wanita kacukan inggeris itu tidak lama dulu.
Majlis itu kemudian bersambung dengan acara memberi sumbangan dan hadiah-hadiah istimewa untuk semua pekerja-pekerja yang senang hati ketika menerimanya. Faris pun turut sama berada di tengah-tengah keramaian, bersalam-salam dengan beberapa orang lagi meninggalkan Nika yang kini hanya tinggal bertiga dengan Dania dan ibunya.
Sesekali dia melontarkan senyum janggal pada dua wanita yang merupakan ahli keluarga Faris itu.
“Saya dengar.... kamu seorang jururawat betul ke?” soal Dania tiba-tiba padanya dan beralih tempat duduk ke sebelah Nika sambil mengatur gaun kekuningannya.
“Err.... ya,” jawab Nika yakin tapi agak kurang senang dengan bibir mungil yang  terherot dan mungkin sedang mencemuh pekerjaannya.
“Oh....” sahut Dania malas dan menyambung pertanyaannya. “Di mana kamu kenal Faris sebelum ini?”
Dania sebenarnya bercakap terlalu perlahan namun, oleh kerana mereka bersebelahan maka Nika dapat mendengar suaranya berbanding ibu Dania sendiri yang duduk selang tiga kerusi dari tempat Nika.
“Di hospital, dia muncul di unit kecemasan tempat saya bekerja,” jawab Nika jujur yang lebih kepada sikap tegasnya tidak mahu meremehkan diri sendiri.
“Nampak sangat awak tak kenal Faris kan?” Dania mengasak lagi.
Nika mahu menjawab tapi dia tidak tahu hendak mengatakan apa dan itu jelas menunjukkan yang dia memang tak kenal sangat dengan Faris.
“Faris ada beritahu awak tentang Jasmine?”
Jantungnya berdegup laju saat diacu lagi nama Jasmine yang pernah meragut airmata kekecewaannya entah sudah berapa lama, dia hampir tidak lagi mengingatinya. Begitu cepat dia melupakan nama Jasmine. Nika lalu menggelengkan kepalanya perlahan dan menjawab dengan suara yang lemah. “Emm... tak,”
Dania tersenyum lagi. Cukup sinis. Sesekali merapikan rambutnya yang dihurai sambil memberikan pandangan mata yang jelas mengejek.
“Saya dengar cerita.....” gumam Dania hampir berbisik, dia merapatkan lagi mulutnya ke telinga Nika yang gugup. “Faris disyaki terlibat dalam kematian Jasmine, awak sepatutnya tahu tentang perkara itu....” bisiknya penuh kelembutan.
Nika terkejut dengan apa yang disampaikan oleh perempuan itu. Apa yang diperkatakan oleh Dania tadi kini benar-benar menggoncang urat sarafnya. Walaupun tidak menunjukkannya dengan jelas tapi dia terpana memandang muka Dania yang senyum dalam kemenangan.
“Sebab tu Faris balik ke Malaysia,” hasut Dania lebih dalam dan kembali membetulkan duduknya lalu meneguk sedikit jus oren yang masih berbaki dalam gelas kaca.
Nika semakin takut mendengarnya.
“Apa pun yang awak dengar tentang Faris, jangan percaya bulat-bulat Nika...” tiba-tiba sahaja Puan Rahimah muncul dan duduk di sebelah Dania. Dia tersenyum pada Nika. Manakala Dania hanya mencebik. “Pastikan kita mendapatkan maklumat sebenar sebelum mentafsir apa yang kita dengar,” tambahnya lagi.
Nika tidak berani menjawab, bagaimanapun memenuhkan kepalanya dengan bisikan Dania, ‘Faris disyaki terlibat dalam kematian Jasmine?’ kalau begitu Jasmine sudah tidak ada lagi di dunia ini. Namun ingatan itu lenyap serta-merta. Sekarang, meja itu kembali dipenuhi oleh para lelaki yang menghilang tadi termasuk Faris yang telahpun semakin ramah padanya. Tangan kanan Faris sekarang berada di atas bangku Nika dan sesekali menyentuh lengannya yang terdedah. Kemudian Faris berbisik ke telinganya. “Kau sangat cantik...” dia tersenyum lagi seperti orang yang mabuk cinta.
“Tak lama lagi bolehlah kita dengar cucu arwah Tuan Rahmad kan Nika... Puan Helena mungkin tak sabar nak pulang kalau dia tahu,” ujar Encik Wahid jelas berseloroh dengan kenyataannya.
Faris menjawab yang dia juga tidak sabar hendakkan anak. Kening Nika terangkat tidak percaya malah lebih tidak percaya bila Faris merapatkan mukanya dan tersenyum mesra pada Nika. Dia terpaku dan serba-serbi tidak kena atas tingkah Faris tadi. Lelaki itu juga sedang memeluk bahunya erat seperti mereka berdua pasangan suami isteri yang sangat bahagia. Nika mengerling Faris. Astaga! Berani betul dia! Desis hatinya, tidak suka dengan tingkah Faris itu.
Wajah Dania pula seperti dipanggang di atas bara merah. Raut keningnya berbaur cemburu.

No comments:

Post a Comment