Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Sunday 19 February 2012

Raylan Faris (13)


Zakiah kembali menjadi bayang-bayang yang sangat menjengkelkan pagi ini. Di sebabkan dia langsung tidak berkesempatan untuk mengetahui kisah lanjut mereka berdua terserempak Faris dengan perempuan, jadi, ketika mereka beroleh kelapangan sewaktu pesakit kurang mendadak dua hari selepas kejadian terserempak dengan Faris dia menerjah Nika yang sedang menyusun fail-fail Dr. Kumar di meja.
“Kau marah dia ke? Apasal dia baik sangat hantar kau pergi kerja dah dua hari ni..”
“Tak..... aku tak kisahpun, itu dia punya pasal...” dia berbohong dan tidak mahu menceritakan pada Zakiah apa yang telah berlaku pada Faris malam dia mencarinya di rumah. Dia tidak rela lagi menjaja kisah hidupnya dengan Faris walaupun dia mengaku hubungan mereka berdua sangat bermasalah. Tidak semena-mena saat itu juga, Nika menanam semangat untuk menjadi seseorang yang membalas budi untuk Faris kerana telah membebaskan dia dan ibunya dari seorang lelaki jahat dan sebagai balasan dia ingin benar membantu Faris membebaskannya dari belenggu hidup dalam kecelaruan.
“Betul ke? Bukankah kau cemburu lihat dia malam tu?”
“Err... dia dah minta maaf,” ucapnya perlahan. Berharap Zakiah tidak lagi bertanya. Tapi harapannya  sia-sia, Zakiah belum lagi selesai.
“Kau perasan tak Nika..?” soalnya lagi.
“Apa dia?”
“Kawan-kawan Faris tu, malam kita nampak dia?”
“Kenapa?”
“Macam kumpulan gangster kan?”
Nika berpura-pura tidak mendengarnya. Sejak kebelakangan ini dia memang mencurigai kerja-kerja  Faris. Terutamanya selepas dia mendengar perbualan telefon yang tidak syak lagi tentang urusan tidak baik. Tapi dia tidak ada bukti untuk mengesahkan perkara itu dan sekali lagi dia menekankan dirinya tidak mahu menceritakan hal itu juga pada Zakiah kerana dia bimbang Zakiah akan terlepas mulut lagi. Lebih-lebih lagi jika perkara ini sampai ke telinga Ishak.
“Nika, saya belum tengok lagilah muka suami Nika tu, tak nampak jelas, cermin keretanya gelap sangat,” Dr. Julia kemudian muncul dan ikut duduk di sebelah Nika membawa bersama laporan-laporan pesakit yang ditindihkan di sebelah meja Dr. Kumar.
Nika termengkelan di situ mendengarnya. Kalau ada orang yang tidak diingininya mengetahui dengan siapa dia kahwin orang itu ialah Dr. Julia. Semuanya kerana Faris pernah merempuh bilik pembedahan ketika Dr. Julia memberitahu padanya kematian seorang pengedar dadah tempohari. Nika yakin Dr. Julia mengingati wajah Faris.
“Eh... apasal muka doktor nampak pucat? Kerja semalaman ke?” ujar Nika mengubah topik perbualan mereka. Zakiah mengerlingnya.
“Emmm.... gitulah, mula pagi semalam sambung ke petang kemudian ke malam.. ha, pagi ni saya kena panggil pulak buat laporan pasal pesakit terkena sakit jantung, sebab kedai emasnya hampir kena rompak  petang semalam..” ceritanya panjang sambil menguap Matanya mula kuyu.
“Kedai emas kena rompak lagi?” Zakiah terbeliak.
“Berapa kerugian?” tanya Nika pula.
“Tak ada kerugian, pasukan Unit Tindakan Khas a.k.a UTK dah tangkap tiga perompak tu, nampak macam mereka dah kena intai lebih awal,” cerita Dr. Julia lagi sambil menulis laporannya.
“Macam mana dengan tuan punya kedai tu?” tanya Nika.
“Dah ok..... cuma tekanan darahnya naik mendadak pagi ni, sebab tu saya datang tengok di wad.”
Dia dan Zakiah mengangguk faham. Kemudian Dr. Julia terus bercerita.
“Aunt... tuan punya kedai tu cerita kat nurse dalam wad, ada seorang lelaki masuk dan bepura-pura tengok cincin berlian tapi siapa sangka lelaki tu sebenarnya polis yang bertindak menangkap tiga orang lelaki yang menyerbu masuk nak merompak, polis yang menyamar tu terus menembak dua daripadanya sebelum pasukan UTK datang.”
“Cekap jugak kerja mereka kan...” kata Zakiah.
“Pasukan elit polis ni bekerja lebih teliti, macam pasukan komando 69 yang berjaya mengekang komunis sejak bertahun-tahun,”
“Komando 69 tu apa doktor?” tanya Nika.
“Pasukan elit PDRM juga, merekalah yang menghalang Al-mau’nah, ingat lagi kes di Bukit Jenalek, Perak yang gemparkan seluruh negara,”
“Ooo...” Nika cuba mengingati peristiwa lama dulu yang pernah mengejutkan semua orang dan menjadi bahan cerita paling menggemparkan.
Kemudian selepas setengah jam bersantai-santai, unit kecemasan mereka mula diasak kembali oleh kesibukan. Kes gastrik baru saja dilaporkan, seorang lelaki dan dua wanita. Tidak sampai lima minit, seorang wanita separuh usia didaftarkan sebagai kes melecur kerana tersimbah air panas dan mengalami kelecuran yang teruk. Nika mula sibuk dengan berbagai kerja, begitu juga Zakiah. Dr. Julia kelihatannya sedang merawat budak yang mengalami demam panas.
Sehingga ke petang kerja-kerja mereka tidak dapat diselesaikan dan disambung oleh pekerja-pekerja syif petang. Walaupun penat, Nika senang hati kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah pesakit yang cukup meraih simpati.
“Nika... kau nak ikut ke tak?” tanya Zakiah sewaktu mereka sama-sama keluar dari bilik air dan bersiap-siap hendak pulang.
Nika ragu-ragu menjawab tapi menganggukkan kepalanya sebab dia tidak tahu samada Faris akan mengambilnya. Lelaki itu tidak memesannya semasa menghantarnya pagi tadi. Lantas dia bersama-sama Zakiah berjalan keluar menuju ke tempat letak kereta sebelum telinganya menangkap seseorang memanggil namanya. Dia berpaling laju dan melihat Husin mengangkat tangan memanggilnya.
“Ayah kau cari, tu...... dia kat sana..!” jerit Husin kuat dari kaunter pembayaran sambil menunjukkan Nika ayahnya yang sedang mencari-cari.
Nika terkejut sekaligus takut mendengarnya.
“Kita pergi cepat Zak...” pantas tangan Zakiah ditariknya dan mereka keluar cepat-cepat dari kawasan menunggu yang masih dipenuhi orang ramai akibat kes kemalangan.
“Nika! Kat sinilah bukan situ.....” jerit Husin padanya lagi.
Tapi Nika dan Zakiah telah pun menghilang dari balik kereta ambulan yang baru saja menurunkan mangsa kemalangan. Mereka berdua langsung mendapatkan kereta yang tersadai di sebelah kanan kawasan parkir. Setelah Zakiah menghidupkan enjin kereta dan mula berjalan melintasi perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan Nika sempat berpaling ke kiri dan melihat ayahnya sedang berlegar-legar dengan rupa selekeh dan bermasalah. Sudah tentu ayahnya mahu minta wang padanya lagi kalau tidak mustahil dia begitu berani datang ke tempat kerjanya selepas mereka membuat perjanjian pada malam dia bersetuju menikah dengan Faris.
“Astaga... beraninya ayah kau,” ucap Zakiah sambil terus memandu.
“Tak tahu malu betul,” sahut Nika.
“Orang.. kalau dah ketagih arak atau dadah mana ada malu lagi, dorang dah lupa diri, aku takut dia cari kau kat rumah Faris.” kata Zakiah.
“Tak.. dia takkan berani, Faris dah beri dia amaran malam tu.. dia tak mungkin berani datang ke sana,”
Tapi Nika tidak yakin dengan jawapannya sendiri dan merasakan kalau-kalau Zakiah mungkin benar. Oh Tuhan... Nika mengucap di dalam hati mohon kelapangan fikiran. Zakiah asyik-asyik mengerlingnya. Kereta-kereta di hadapan semakin menjauh. Dalam masa sepuluh minit lagi dia akan sampai di rumah. Benaknya sekarang dipenuhi oleh bayangan wajah Faris dan kelibat ayahnya yang sanggup mencarinya sehingga ke hospital. Dia benar-benar malu dengan Faris kalau ayahnya akan mencari Faris pula jika tidak berjaya mendapatkannya nanti.
Matanya  mendongak ke langit biru mencari matahari yang langsung tidak menampakkan diri sejak dari pagi tadi. Hanya mendung dan cuaca hangat yang dirasakan semua orang sejak dua hari ini. Nika.. leka berfikir, cuba-cuba mencari jalan bagaimana hendak terus mengelak dari ayahnya. Jalan di hadapan lurus dan lapang sekali berbeza dengan otaknya yang telah dijangkiti virus risau. Dia mula bingung dan tidak menyangka selepas beberapa bulan masalah yang sama kelihatannya berulang lagi. Belum selesai satu hal dia perlu pula berhadapan hal yang lain lagi. Tiba-tiba bunyi hon kedengaran dari arah belakang.
“Ya Allah.. apa ni.. Ya Allah.. Ya Allah....” ucap Zakiah tangannya kelam-kabut mencengkam stereng kereta dan memusingnya ke kiri membawa ke tepi jalan.
Nika ikut cemas bila sebuah kereta BMW sport berwarna putih tiba-tiba saja memintas kereta Zakiah dan berhenti betul-betul di depan kereta menghalang perjalanan mereka. Mujur Zakiah sempat menekan brek.
“Astaghfirullahalazimm... kenapa ni Nika?” tanya Zakiah.
Nika mengangkat bahunya. Lehernya dijengketkan tinggi, semangatnya terbang melayang. Zakiah pun terkejut dan memegang dadanya seolah-olah menahan jantungnya dari terjatuh. Dalam berdebar-debar, mereka berdua menunggu pemandu kereta yang menyekat perjalanan mereka itu turun dari keretanya. Kalau sahaja lelaki itu mencurigakan dia akan menjerit pada Zakiah supaya pergi dari situ kerana bimbang kalau-kalau pemandu kereta mewah itu adalah Tauke Tong. Walaupun dia tidak pernah melihat rupa lelaki yang diberitakan sebagai tauke pelacuran di bandaraya terkemuka tapi firasatnya kian kuat sementelah melihat ayahnya datang mencarinya tadi.
“Astaga.... laki kau rupanya Nika.. aku ingat siapalah tadi?” ucap Zakiah yang lega tidak seperti Nika yang masih terkejut dan mendengar sahaja Zakiah berkata lagi dengan penuh teruja.
“Oh... wow, dia pakai BMW sport, alamak bertuahnya kau Nika.. kalau kau tak mau laki kau ni bagi kat aku jer...”
Faris baru sahaja turun dari kereta putih tadi. Berkacamata hitam, t-shirt kelabu dan jeans hitam lusuh tapi cukup menawan dan bergaya malah dengan gambaran begitu dramatik dia berjalan ke sebelah tempat duduk penumpang sambil tersenyum dan mengangkat tangan pada Zakiah yang masih lagi teruja mengekor dengan matanya.
“Kenapa dengan dia?” soal Nika masih kaget, matanya merenung tepat kelibat Faris yang membuka pintu.
“Aku ingat dia nak culik kaulah... apalagi, turunlah tuan puteri, putera raja kau dah datang ambil tu,”
Pintu kereta dibuka dari luar.
“Kenapa?” tanya Nika pada Faris, sekali lagi dalam keadaan tolol. Zakiah memukul dahinya sendiri. Nika pula masih terkebil-kebil di bangku.
“Kau tak tunggu aku.. jadi, aku kejar kereta ni.. thanks Zakiah,”  kata Faris sambil melontarkan senyumnya pada Zakiah dan membongkok mencapai lengan Nika yang seperti dipaksa turun. Dia tergesa-gesa mengambil handbagnya.
“Tak apa, dia ingat kau tak datang tadi,” balas Zakiah dengan senyum lebarnya yang aneh.
“Tak payah susah-susah, aku boleh ikut Zakiah,” kata Nika kehairanan melihat Faris hanya tersenyum dan membawanya menuju ke kereta BMW itu.
“Aku perlukan kau,” bisik Faris.
Dahinya berkerut tapi mengikut sahaja kehendak Faris. Nika sempat berpaling ke belakang melihat Zakiah yang mengangkat ibu jarinya seronok sedangkan dia berjalan dengan rasa tidak selesa bila dipimpin oleh Faris hingga dibukakan pintu kereta yang hanya mempunyai dua pintu itu. Tapi sejurus berada di dalam, dia menghidu haruman yang menyegarkan. Hatinya berubah lembut terpesona dengan suasananya. Kereta itu benar-benar mewah, dia tidak pernah melihat kereta sebegitu bagus buatannya, jauh benar dengan kereta Zakiah. Kerusinya sangat menyelesakan. Tiupan pendingin hawanya begitu menyentuh perasaan hingga Nika tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata. Bagaimanapun, dia harus mengawal diri. Kemewahan yang dilihatnya ini bukan apa-apa, dia perlu sedar siapa dia?
Faris sudah pun duduk di sebelahnya dan membawa kereta itu semula dengan senyuman ringkas yang baru sahaja diberikan padanya.
‘Ada yang tak kena dengan mood lelaki dingin ni,’ fikir Nika pelik.
Faris terus memandu menuju ke jalan yang kembali semula ke bandaraya JB. Bibirnya sesekali dihiasi senyuman nipis.
“Ada yang tak kena ke? Apa yang lucu sangat, tengok cerita lawak ke tadi?” soal Nika tidak sabar hendak tahu perubahan mendadak lelaki di sebelahnya ini.
Tiba-tiba saja Faris ketawa. Lelaki itu ketawa? Sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini dan selama mereka berada sedekat ini.
“Kau ketawa?” tanya Nika aneh dan tak biasa melihatnya.
“Aku senang hati. Aku tak pernah rasa begini.” Jawab Faris sambil menoleh padanya ketika sedang memandu. “Hari ini, aku cuba buat apa yang kau suruh, tarik nafas, fikir positif dan entah kenapa aku rasa tenang, tak seperti selalu,” sambungnya lagi.
“Baguslah, begitulah caranya dan jangan ambil arak lagi. Ia bukan saja haram tapi tak bagus untuk kesihatan,”
Faris mengangkat keningnya dan tersenyum lagi. Senyum yang lama kelamaan akan mencairkan hati Nika yang selama ini cuba bertahan dari tidak tergoda.
“Kau tak mahu tahu kita kemana?” tiba-tiba Faris bertanyakan perkara yang aneh kenapa dia tak bertanya hendak ke mana mereka.
“Aku takut mood kau tiba-tiba angin tak tentu pasal,” jawab Nika melulu dan senyap. Faris seakan tidak mendengar. Dia turut sama memerhatikan kereta itu yang telah pun tiba di kawasan bandaraya.
Kemudian, dalam masa beberapa minit Faris membawa keretanya memasuki kawasan parkir di sebuah tempat membeli-belah. Kawasan itu agak samar dan hanya diterangi beberapa lampu ketika Faris parkir di bahagian kiri sebelah van jenis Nissan. Kemudian mereka berdua turun serentak dengan Nika tertanya-tanya sendirian ke mana Faris hendak membawanya. Kalau pergi makan bagus juga sebab dia lapar, perutnya berkeroncong sejak tengahari tadi dan minta diisi segera. Dia juga mahu segera pulang. Rimas rasanya memakai pakaian seragam jururawatnya pada  bukan waktu kerja.
Sekejap sahaja Faris sudah berdiri di sebelahnya. Tapi belum sempat mereka masuk ke kawasan lif tiba-tiba ruangan parkir itu dikejutkan dengan suara teriakan kuat perempuan dan lelaki. Mereka berdua berpaling, Nika melihat dua orang sekuriti sedang berlari laju sambil berteriak.
“Peragut!! Tangkap peragut!!!!”
Seorang lelaki memakai singlet hitam sedang berlari begitu pantas dan termengah-mengah. Nika tidak nampak beg yang diragutnya, bagaimanapun sesaat dia berpaling, Faris tidak lagi bersamanya, dia ikut berlari mengejar peragut yang sama yang dikejar sekuriti tadi. Suara keriuhan orang memekik memenuhi ruangan di situ disusuli bunyi hon dari kereta yang lalu lalang..
“Faris!!” pekik Nika.
Tapi Faris telah berlari lebih pantas mencelah-celah kereta-kereta yang parkir dan tiba-tiba dia melompat naik di atas sebuah kereta yang lalu di seberang jalan dan terhumban di jalanan. Nika memekik lagi sambil mengejar dari belakang. Tubuhnya menggeletar. Kemudian dia melihat kelibat Faris menangkap peragut tadi dari seberang jalan, ketika dia tiba di tempat kejadian, rupa peragut tadi  telah pun lebam di bahagian mata, mulutnya berdarah kerana dipukul oleh Faris sebelum menyerahkannya kepada dua sekuriti tadi yang mengucapkan syabas pada Faris kerana berjaya menangkap peragut tersebut.
Nika terlopong dengan memegang dahinya, dia terbayangkan sesuatu di luar keinginannya tapi lega kerana Faris langsung tidak mengalami kecederaan.
“ Panggil polis..” arah Faris kepada sekuriti seorang pak cik berusia yang terus sahaja tergagau-gagau mencapai alat perhubungannya. Dia masih memegang tangan peragut tadi ke belakang dan tubuhnya dihadapkan ke dinding, tidak dapat melepaskan diri.
Perempuan yang diragut tadi tampil ke hadapan mengucapkan terima kasih pada semua  yang telah membantunya. Begnya dikembalikan tanpa sebarang kerugian. Faris kemudian menyerahkan lelaki tadi untuk tindakan selanjutnya dan kembali kepada Nika lalu mereka pergi.
“Kita pergi makan dulu,” ajak Faris bila tiba di tingkat tiga mall itu.
Nika masih menggeletar. Bayangan kejadian tadi belum hilang dari ingatannya, dia hampir tidak menyedari yang mereka berdua telah pun masuk ke dalam pusat membeli-belah yang terkenal di bandaraya JB itu yang dibanjiri pengunjung yang tak putus-putus. Masing-masing dengan tujuan mereka atau mungkin juga ada yang seperti dirinya, tidak bertujuan langsung hanya menurut sahaja kaki Faris.
“Kenapa dengan kau...” tegur Faris yang berundur semula. Rupa-rupanya dia tertinggal di belakang. Faris kemudian membawanya masuk di sebuah kafe yang tenang dan kurang pelanggan.
“Kenapa kau menggeletar..” tanya Faris lagi sewaktu membawanya duduk di tepi tingkap kaca..
Nika tersentak tidak menyangka Faris dapat merasakan yang dia memang bergetar. Lututnya seperti longgar, begitu juga jari-jemarinya yang kemungkinan bercampur-baur antara lapar dan terkejut dengan insiden Faris mengejar peragut tadi.
“Err... emmm, aku terkejut tengok kejadian tadi..” katanya terus-terang sambil mengenggam tangannya yang dirasakan lemah.
“Aku ingat kau cukup kuat, bukankah kau dah biasa tengok yang lebih parah dari yang tadi?” kata Faris cuba bergurau lalu meminta hidangan piza itali dan dua cawan kopi putih kepada pelayan yang datang ke meja.
Dia tak mampu senyum dengan usikan Faris. Sedetik yang berlalu sehingga makanan dihidangkan Nika leka memerhatikan kafe tersebut. Dekorasinya begitu mempesonakan, suasananya tenang dan beraromakan bau kopi. Wangi. Dia sebelum ini, pernah melihat kafe itu tapi inilah kali pertama dia mengunjunginya.
“Aku mahu bawa kau ke satu majlis awal malam nanti,” ujar Faris selepas meneguk kopinya.
Nika berhenti makan dan terlopong memandang muka Faris seolah-olah dia tidak pernah melihat muka lelaki itu dengan lebih jelas.
“Ke mana?” soalnya hairan.
“Majlis makan malam ulangtahun ke 20 syarikat arwah Tuan Rahmad, untuk meraih pekerja-pekerja di sana, kita cuma datang sebagai jemputan,” jawab Faris dan mula makan.
“Err... aku tak boleh pergi,” Nika mencelah pantas. Dia terasa segan untuk ke majlis orang-orang kaya itu. Apa pula kata tetamu-tetamu pada malam itu kalau melihat dia datang bersama Faris.
“Kenapa?” dahi Faris berkerut  tidak percaya dan matanya tajam merenung.
“Errr.... mmm...” dia mencari-cari alasan. “Aku tak mahu pergi,” katanya jujur selepas gagal mendapatkan alasan yang baik.
“Kalau aku boleh buat alasan begitu, aku pun tak mahu pergi, tapi.. aku harus datang, kau perlu ikut aku dan jadi pasangan aku, kita berdua pasangan suami isteri,” desak Faris.
“Tak boleh, kau tak malu ke? Aku kan orang gaji, anak orang gaji. Apa kata pekerja-pekerja di sana nanti?”
“Aku tak pernah anggap kau begitu Nika..”
“Tapi....” dia kehilangan kata-kata dan merasakan  Faris sudah hilang kewarasan kerana mengajaknya. Dia masih mengingati kata-kata Faris yang memperkenalkannya sebagai kawan pada temannya di hadapan sebuah hotel tempohari. Jadi.. keputusannya untuk menolak adalah keputusan yang sangat tepat.
“Aku pernah tawarkan pada kau untuk mengupah pembantu rumah, tapi kau yang tak mahu,” Faris cuba mempertahankan pendapatnya sendiri.
“Itu bukan soalnya, tapi...”
Dia tidak sanggup mengatakan apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.
“Aku tak layak datang bersama kau Faris, kau boleh cari wanita lain. Lagipun aku tak rasa kita berdua sebagai pasangan suami isteri...” katanya lemah dan Faris tidak perlu menafikan kebenaran yang terang lagi bersuluh ini.
Tapi wajah Faris bertukar kemerahan sebaik Nika menghabiskan ayat-ayatnya.
“Jadi... kau mahu aku anggap kau sebagai orang lain dan kau boleh habiskan masa berjam-jam bercerita dengan Dr. Ishak..” nadanya begitu tenang sekali tapi cukup membuat darah Nika mendidih.
“Kau syak aku ada hubungan dengan Ishak?” Nika menyahut geram.
“Kalau tak ada.. buktikan yang kau isteri aku dan aku ada hak untuk gelaran itu,” bidas Faris.
Betul-betul mengena batang hidung Nika yang tidak mampu lagi mengatakan apa-apa. Apalagi yang hendak dibantahnya sama seperti dia tidak mahu meminta Faris menunaikan hasratnya agar menjadi suami yang sebenar-benar suami seperti dalam sijil pernikahan mereka.
Selepas pertengkaran kecil itu Nika akhirnya beralah atau mungkin dia memang takkan menang setiap kali tercetusnya perbalahan. Dia selalu kalah dengan rasa belasnya sendiri dan Faris seperti biasa akan dapat memujuknya dengan setiap desakan. Selesai makan, dia dan Faris memasuki sebuah butik untuk mendapatkan pakaian sesuai pada malam itu. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannya tapi sedang melaluinya dengan perasaan yang  tidak menyenangkan.
Mereka berada di dalam butik pakaian wanita itu selama dua jam dengan Faris memilih sehelai baju gaun berwarna hijau gelap yang dikatakannya sangat sesuai dengan kulit Nika yang halus dan putih bersih. Tidak cukup dengan itu, Faris memilih pula sepasang kasut bertumit tinggi. Nika mengiyakan saja dengan rasa tidak relanya sambil membayangkan bagaimana dia akan dihalau sekuriti dalam majlis itu nanti dengan Faris sebagai dalang untuk memalukan dirinya. Andaian itu membuatkan dia mengeluh tanpa dipedulikan oleh Faris yang telah membawanya pulang dan mereka perlu bersiap-siap sebelum pukul lapan malam nanti.

No comments:

Post a Comment