Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Thursday 19 May 2011

Dunia Imari 1






BAB 1
Selamat Datang Ke Dunia Imari

Cahaya langit pagi itu kelihatan pelik sedikit bagi penglihatan seorang anak gadis yang dibangunkan secara paksa dari tidur nyenyak. Dengan rambutnya kusut masai seperti baru lepas mengalami mimpi yang memenatkan dia bersandar di pintu biliknya bersama wajah murung. Matanya jauh merenung ke luar jendela menatap pagi yang agak dingin berbanding hari lain-lainnya. Kabut kelam kelihatan memenuhi ruang angkasa di Taman Titian, segala-galanya suram dan kurang ceria, tidak seperti pagi-pagi yang biasa yang mana setiap awal hari begitu keadaan di bawah rumahnya agak riuh dengan suara anak-anak hendak ke sekolah

“Sammy cepatlah mandi…” panggil emaknya dengan suara yang agak lembut dan sayup-sayup didengar.

Sammy atau Sam, nama panggilannya sejak dari kecil, tingginya lebih kurang gadis remaja kebanyakan, kulitnya kuning langsat dan bermata besar yang cantik dengan dua lesung pipit menghias pipi gebunya, pada hujung Disember ini dia akan memasuki umur 15 tahun dan kini menjalani kehidupan remaja yang tidak pernah diimpikannya selama ini, hal sama yang turut dilalui beberapa rakan sekolah yang tinggal di kawasan flat Taman Titian kawasan perumahan yang merupakan rancangan kementerian untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Sammy seperti juga remaja yang lain setiap hari memaksa diri untuk bangun dan bersiap pergi ke sekolah. Setiap hari jugalah di tempat yang sama dia duduk sambil memeluk lututnya di muka pintu menghadap beranda belakang rumah yang menempatkan bilik mandi yang sangat liat untuk dimasuki pada tiap pagi walaupun dia sudah melakukan perkara yang sama beberapa tahun lalu. Mata bundarnya menatap langit pagi yang gelap disertai angin dingin  menusuk ke tulang kering yang kurus hingga membuatkan Sammy merapatkan lagi tuala tebal ke tubuhnya. Dia berfikir sama ada dia mahu mandi atau tidak,  tapi belum lama berfikir dia segera bergegas masuk ke bilik mandi bila mendengar suara emaknya menjerit garang dari dapur menyuruhnya segera bersiap untuk ke sekolah.

Tidak sampai sepuluh minit dalam bilik air dia keluar semula dan berlari ke bilik tidurnya yang terletak di sebelah dapur tanpa mempedulikan jelingan si ibu yang sedang sibuk menggaul karipap dalam kuali atas kelewatannya pagi itu.

Sammy sedang bersiap mengikat rambut licinnya dan merapikan bahagian depan rambut yang dipotong separas kening menampakkan riak kelincahan yang ketara pada gadis remaja yang baru mencecah zaman itu. Beberapa kali dia mengerling keadaan langit di luar yang benar-benar mencurigakan gelapnya dari jendela kaca bilik, sepertinya sekejap lagi hujan yang amat lebat bakal turun atau hanya sekadar cuaca yang singgah sebentar sebelum beralih mendung ke tempat lain fikirnya sendirian kerana dia pernah melalui cuaca sedemikian yang mendung dan berangin tapi tidak juga hujan-hujan.

“Sam! Cepat! Lily datang ni!” teriak Puan Soritha (emaknya yang selalu mengambil berat kebajikannya yang perlu dijaga kalau ia soal bab bangun pagi) dan Sam masih juga sibuk mengemaskan dirinya dari atas hingga ke bawah perlu memastikan dia tidak datang ke sekolah dengan rupa seekor singa yang mengantuk.

“Sam!!”

“Siaplah ni…” sahutnya dan mengomel sendirian.
Lantas dia keluar dari biliknya dan tersenyum lebar melihat kawan baiknya Lily yang  sedang duduk mengunyah karipap di atas meja. Lily yang merupakan kawan baiknya sejak mereka sekolah rendah lagi adalah seorang gadis yang riang sepertinya dengan memiliki rambut pendek hingga paras leher dan berkulit putih juga tinggal di flat yang sama, cuma dia tinggal di tingkat tiga sekaligus menjadikan mereka dua sahabat yang paling sesuai sekali di kawasan flat Taman Titian itu.

“Kita dah lambat Sam dan kalau hujan turun kita memang betul-betul lambat nanti,” ujar Lily dengan mulut yang muncung.

Sorry… okey mari kita turun,” kata Sam sempat menyambar dua biji karipap selepas memohon untuk pergi ke sekolah dari emaknya yang kini sibuk pula hendak mencuci baju.
Sebaik sahaja kaki mereka mencecah ke tangga bawah rumah flat itu hujan gerimis mula menitik-nitik di atas jalan membuatkan dua orang gadis genit itu berlari menuju ke sebuah lagi kolong flat di hadapan dan berlari dengan lebih laju lagi ke kawasan flat bahagian A. Bagaimanapun secara tiba-tiba hujan gerimis tadi berubah menjadi ganas, turun dengan lebatnya disertai dengan bunyi guruh yang berdentam di atas langit hitam memaksa mereka berdua memberhentikan langkah dan berteduh seketika sambil merenung perhentian bas yang jaraknya lebih kurang 50 meter di hadapan sebelum mereka mendapat bas yang membolehkan mereka sampai ke sekolah.

Tapi dalam keadaan cuaca yang teruk begitu kemungkinan besar mereka akan basah lencun sebelum sampai di pagar  sekolah nanti jadi, mereka enggan ambil risiko dan menunggu di kolong itu bersama keluhan-keluhan resah. Jam waktu itu sudah menunjukkan pukul 6.20 minit pagi, walaupun awal Oktober akhir semester ini mereka sudah kurang belajar dan telah menghabiskan peperiksaan penggal akhir bulan lalu tapi keterlewatan mereka tidak akan diberi belas kasihan oleh guru disiplin cikgu Rosyam yang terkenal dengan ketegasannya dalam hal-hal peraturan sekolah.

“Kenapalah hujan turun masa begini pulak! Tak boleh tunggu sampai kita masuk kelas dulu,” rungut Sam sambil mengelap bahagian bawah skirtnya dengan saputangan yang basah kerana terkena tempias hujan.

“Jangan merungutlah kawan… ini kerja Tuhan.” Jawab Lily dalam nada yang tenang-tenang sahaja sambil bersandar pada sebuah tiang batu berdekatan.

Guruh berdentum lagi. “Kalau hujan berterusan sampai dekat pukul tujuh nanti, baik kita pulang rumah,” cadang Sam yang sayup-sayup di dengar dalam hujan yang terus turun mencurah-curah dan mengeluh resah melihat awan tebal hitam yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti kecuali perubahan wajah Lily yang seraya tersenyum sinis dan mula berdiri tegak melihat sesuatu di depannya.

“Aku rasa masalah kita dah selesai,” kata Lily senang hati. Sam  kehairanan tapi bila dia ikut melihat apa yang Lily katakan tadi, dia kembali merungut.

“Iyalah tu…  aku lebih rela redah hujan ni dari ikut dengan mereka!” kata Sam sambil merenung tajam seorang lelaki bersama dengan anak lelakinya yang sebaya mereka yang cukup-cukup mereka kenal sebagai Amirul. Seorang lagi rakan sekelas mereka.

“Ok, silakan redah hujan tu! Sekarang ni pun dah pukul enam setengah dan kita mungkin di denda nanti!” jawab Lily garang dan terus melangkah laju tanpa mempedulikan Sam yang mengomel sendirian tapi mengalah juga pada keadaan dan mengejar Lily dari belakang. Entah apalah nasib mereka berdua boleh terjebak dengan Amirul dalam hujan lebat pada pagi itu.

Sam terus melangkah dengan perasaan sebal dan berfikir yang bukan-bukan tatkala memandang kelibat Amirul yang berjalan di belakang ayahnya dengan mata mengantuk.

Pada Sam, budak lelaki itu adalah satu perkara penting dan merupakan separuh dari perkara yang paling menyebalkan Sam dalam beberapa tahun ini. Mereka bukan bermusuh atau berdendam apa-apa tapi budak lelaki yang turut tinggal di kawasan flat yang sama dengan mereka adalah satu perkara yang tidak pernah memberinya sedikitpun kenangan manis. Ini kerana Amirul sangat terkenal dengan kenakalannya dan dia benar-benar menakutkan bila dia mula menghampiri sesiapa saja terutamanya gadis-gadis dan anak kecil yang memang akan berusaha mengelak bila melihatnya.

Mereka bukan saja tinggal di kawasan yang sama tetapi yang lebih mengerikan Sam dalam tahun ini mereka di tempatkan pula dalam kelas yang sama kelas 3 Algebra. Dan bila dia cuba mengingatkan kembali dalam masa hampir habis semester persekolahan ini Amirul sudah meraih rekod senarai hitam terbanyak atas kenakalannya, malah yang paling Sam tidak pernah lupakan, Amirul pernah menyebabkan seorang pelajar perempuan baru yang baru masuk kali pertama ke dalam kelas mereka berlari pulang ketakutan hanya kerana Amirul memberitahunya bahawa tempat duduk yang kosong itu adalah milik ‘penunggu’ seorang pelajar yang ghaib secara tiba-tiba dan ‘penunggu’ itu selalu meninggalkan tandanya seperti kesan cakaran yang terdapat di kerusi tersebut (padahal ia cuma kerja Amirul.) Dia juga mengatakan yang ‘penunggu’itu akan menukarkan sesiapa saja menjadi kucing pada waktu malam jika tempat duduknya itu diambil orang dan ia kononnya pernah berlaku pada seorang budak lelaki bernama Talib (yang duduk di bahagian belakang kelas dan mukanya pula memang ada iras-iras kucing terutama mata bundarnya yang hitam) Selepas kejadian itu mereka satu kelas dijemur di tengah panas terik selama satu jam kerana dituduh bersepakat dengan Amirul membuli budak baru itu.

Satu lagi peristiwa yang tidak akan dilupakan oleh Sam dan Lily, malah mungkin untuk seumur hidup mereka ialah, mereka berdua pernah berlari pulang ke rumah dalam keadaan cemas dan menjerit ketakutan kerana Amirul mengejar mereka berdua dengan seekor ular kecil di tangannya, sejak peristiwa itu Sam dan Lily membuat strategi menjauhi Amirul sejauh mungkin.

 “Pak Cik!” panggil Lily kuat dengan nada-nada ramahnya supaya boleh di dengar oleh bapa Amirul.
Bapa Amirul lantas berpaling dan tersenyum melihat mereka berdua. “Oh.. kamu pun lambat.. marilah sekali Pak Cik hantar,” pelawanya ramah sambil mengerling anak lelakinya yang kelihatan masih dalam keadaan mengantuk dan seperti berat hati untuk pergi sekolah. Sam memandangnya dengan pandangan yang meluat.

“Tadi... Amirul tak mahu turun tapi pak cik paksa, inikan akhir semester kamu, baik tunjukkan prestasi yang baik sebelum cuti panjang nanti,” katanya lalu berlari sambil menutup kepalanya dengan surat khabar takut tertimpa hujan dan masuk ke dalam kereta kecil berwarna putih.

“Iya.. betullah tu, tunjukkan prestasi yang baik. Macamlah anak dia tu pernah tunjukkan sesuatu yang paling baik selain daripada menganggu ketenteraman orang lain!” gumam Sam di belakang dengan Lily menjelingnya tajam.

Kemudian mereka pun berangkat ke sekolah dengan selamatnya tanpa meredah sedikit pun hujan yang masih lagi tidak berhenti dan terus menyimbah bumi yang pada fikiran Sam sekejap lagi bandar Kota Lama akan banjir kalau hujan lebat itu berterusan enggan berhenti sampai tengahari nanti. Tapi ketika tiba di pertengahan jalan, kereta itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat dari lampu trafik yang tidak berfungsi di sebuah simpang empat yang biasa mereka lalui setiap hari dan kerana kejadian itu mereka bertiga tiba di sekolah lewat sepuluh minit dengan disambut oleh pengawas bertugas yang dengan kejamnya menyenarai hitamkan nama mereka tanpa bertanyakan alasan kenapa mereka lewat pagi itu dan yang paling mengerikan mereka terus dibawa berjumpa guru disiplin Cikgu Rosyam yang sangat serasi dengan kebiasaannya  memberi hukuman untuk sekecil kesalahan yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment