Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Thursday 19 May 2011

Dunia Imari 2



“Kamu sepatutnya belajar menghargai masa dan mendisplinkan diri untuk mengatur jadual harian kamu agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ucap cikgu Rosyam kuat di luar bilik guru ketika bunyi guruh berdentum di langit membuatkan Sam terkejut hilang semangat bukan disebabkan tengkingan cikgu Rosyam yang menyeringai jahat.

“Tapi, hujan lebatlah cikgu, kami bukannya sengaja lambat...” Lily menyampuk dan cuba menerangkan cerita sebenar macam mana mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang membuatkan mereka datang lewat pada pagi itu. Sam dan Amirul mengangguk-angguk setuju.

“Oh! Sekali lagi saya tegaskan itu bukan alasan yang kukuh!” balas cikgu Rosyam garang dan merenung tajam pada mereka bertiga. “Saya nampak kereta kancil yang menghantar kamu tadi, dan... kalau kamu bangun lebih awal sedikit pagi tadi tidak mungkin kamu bertiga akan datang sebegini lewat,” tambahnya tegas dan tidak boleh dibantah-bantah lagi.
“Tapi....”
“Atas kelewatan kamu! Kamu akan didenda mengemas buku-buku di perpustakaan dan kemudian kamu bertiga akan ditahan masa tengahari nanti untuk membuat homework kamu di sekolah ketika semua kawan-kawan kamu pulang ke rumah.. mudah bukan!” katanya tidak mempedulikan rayuan Lily dan Sam sambil tersenyum sinis dan mengurut-urut misai melintangnya yang hodoh.

Sam menjerit kecil matanya yang bundar terbeliak terkejut mendengar hukuman tersebut. “Ini bermakna aku terlepas episod akhir kartun Jepun tu!” rintih Sam dengan suara yang kecil yang ditujukannya khas pada Lily tapi malangnya dapat didengar oleh cikgu Rosyam.

“Bukan saja kartun Jepun kamu terlepas!” jerkah cikgu Rosyam ke muka Sam yang bergetar takut. “Saya takut makan malam nanti pun kamu tak dapat!” dengan renungan tajamnya yang bersilih ganti memandang Sam, Lily dan Amirul.

“Mari ikut saya!!” perintahnya dan berjalan laju di hadapan dengan mereka bertiga menyusul di belakang tanpa sebarang suara sehingga tiba ke perpustakaan yang terletak di tingkat satu sekolah tesebut.
Sam, Lily dan Amirul melangkah masuk ke dalam perpustakaan yang sunyi dengan keluasannya mungkin dalam tiga buah kelas digabungkan dipenuhi dengan rak-rak buku yang berbaris-baris serta beberapa buah meja tempat pelajar merujuk kerja mereka di situ. Sebuah kaunter tempat pengawas perpustakaan bertugas terletak berdekatan dengan pintu keluar tapi tidak ada sesiapa pun di situ  melainkan mereka bertiga serta cikgu Rosyam yang seperti tidak sabar-sabar untuk menghukum mereka malah jika dilihat dari wajahnya tidak syak lagi dia berpuas hati dengan penangkapan mereka bertiga itu. Kemudian mereka dibawa masuk ke sebuah bilik di hujung perpustakaan itu yang apabila dibuka sahaja habuk-habuknya berterbangan keluar membuatkan Sam dan Lily terbatuk sementara Amirul bersin dengan kuat beberapa kali dan cikgu Rosyam pula seperti tahu sudah bersedia menutup hidungnya dengansehelai  sapu tangan biru.

“Dah lama saya cari orang untuk bersihkan bilik ini, nampaknya kamu memang bernasib baik.” Katanya lalu tersengih lucu sedangkan Sam dan Lily mencebik bibir geram.

“Cikgu.. saya nak ke tandas,” kata Amirul disusuli dengan bersin.

“Ooh.. sekejap, tengok dulu apa kerja kamu,” katanya dan mencengkam leher Amirul yang menggerenyet kesakitan sebelum menolaknya masuk.

“Okey.. di sini ada beberapa kain lap,” Sam melihat, Cikgu Rosyam  mengambil dua helai kain yang sangat kotor dan kehitaman dari atas sebuah meja yang habuknya hampir seinci. Seingat Sam, di rumahnya, tidak ada benda sekotor itu. “Bersihkan buku-buku yang kotor kemudian asingkan semuanya mengikut bentuk fiksyen lepas itu susun kembali di atas raknya,” arahnya dengan ketawa mengejek kelihatan gembira benar kerana dapat menghukum mereka bertiga.

“Apa guna pengawas perpustakaan di sekolah ni!” rungut Amirul bersahaja disusuli bersinnya yang belum reda.

“Kerja-kerja ni hanya untuk mereka yang melanggar peraturan.. faham!!” bentaknya garang.
“Okey..... ok.. faham,” jawab Amirul dengan suara yang kini kedengarannya sengau akibat hidung yang sensitif.

“Jadi! Apa lagi..! Buat!” ucapan terakhir cikgu Rosyam sebelum dia beredar meninggalkan mereka bertiga dalam bilik tersebut..

“Saya nak ke toilet,” kata Amirul yang mengaru-garu hidungnya kegelisahan sebaik saja dia memastikan guru jahat itu pergi.

“Boleh, dan tolong kembali cepat! Saya tak suka betul dengan tempat ni!” rungut Sam pada Amirul dengan berangnya yang luar biasa.

“Jangan bimbang saya akan selamatkan kamu berdua dari sini lepas balik nanti,” katanya dengan senyum nakal yang paling Sam benci.

“Aku bertaruh dia akan datang dengan seekor lipas ditangannya,” kata Sam curiga sejurus Amirul hilang dari muka pintu.

“Okey, apa kita nak buat dulu,” ujar Lily tidak mempedulikan omelan Sam.

“Lap habuk dan asingkan semuanya dan kalau ada mancis bagi kat aku, aku nak bakar saja bilik ni!” kata Sam dengan mulut yang muncung tapi segera mengambil salah satu kain lap dan mula memungut buku-buku yang terbiar di atas lantai berdebu kemudian menyusunnya satu persatu dan cuba membaca tajuk-tajuk dari setiap buku tersebut untuk diasingkan diikuti oleh Lily yang turut melakukan perkara yang sama.

“Kenapa cikgu kumis tebal tu tak denda saja kita pungut sampah macam selalunya dia buat!” Sam mengomel lagi sambil mula mengelap sebuah buku sejarah tentang Napoleon.

“Sebab, sekarang hujan lebat! Sam” jawab Lily selamba.

“Oh ya aku lupa,” sengihnya. Satu lagi dentuman guruh mengaum garang dari dada langit yang masih tebal.

“Hei! Cuba kau tengok buku ni, peliklah..” panggil Lily. “Cepatlah..” katanya tidak sabar dan Sam pantas mendekati turut sama ingin tahu bila melihat sebuah buku tebal berwarna biru dan berkulit baldu yang lembut. Tapi apa yang lebih menarik adalah tajuknya yang berukir cantik. “SELAMAT DATANG: Ke Dunia Imari.” Lily mengucapkannya dengan jelas sambil tersenyum manis dan berpaling pada Sam. “Baguskan..”

“Buku cerita ke ni?” soal Sam.

“Mungkin, tapi ia ditulis dengan tulisan tangan,” kata Lily pula kemudian mereka berdua mula membaca perkataan demi perkataan yang tertulis pada helaian pertama yang berupa kata ucapan penghargaan buat orang-orang yang telah banyak membantu dalam penghasilan buku tersebut dan ditulis cantik dengan menggunakan tulisan sambung yang sangat rapi. Bila tiba di bab yang pertama Lily telah membaca dengan kuat sebuah kata-kata indah yang tertulis dengan sangat cantik dan rapi pada bahagian awal perenggan.
Dengan Melati dan Orkid Ungu, Harumlah Taman Seni Yang Menghangatkan Jiwa. Bawaku Terbang Merentas Batas Wangian Kasturi.”

Dengan tak semena-mena tiba-tiba sahaja satu keadaan aneh berlaku yang membuatkan Sam tergamam sementara Lily melopong kehairanan bila mereka berdua di selubungi kabus ungu yang ganjil dan tidak tahu dari mana munculnya, kejadian itu berlaku dengan begitu pantas, tidak sempat untuk berbuat apa-apa pada kabus tersebut mereka berdua sekadar berpeluk takut dengan mata terpejam sebelum menyedari yang mereka kini sedang berada di sebuah kawasan lapang yang berumput halus berhampiran dengan sebuah bangunan besar berwarna putih sebaik mereka membuka mata.
Sam dan Lily berpandangan dengan rasa kehairanan yang luar biasa, tidak tahu langsung di mana mereka berada. Bilik berhabuk yang dipenuhi buku-buku tadi telah lenyap dan berganti dengan sebuah kawasan yang benar-benar asing bagi mereka berdua.

“Kita di mana ni Lily!” tanya Sam gementar dan pucat ketakutan.

“Jangan tanya aku!” jawab Lily pantas dan melihat keadaan sekeliling mereka yang sangat ganjil dan dingin.
Tapi belum pun sampai lima minit mereka berada di situ, Sam memasang telinga dan mendengar bunyi gemersik yang halus, seperti bunyi yang dihasilkan oleh tongkat sakti  pari-pari dari kisah dongeng.

“Kau dengar bunyi tu...” tanya Sam takut, Lily mengangguk laju dengan wajah yang cemas. Mereka berdua menunggu sesuatu dan sedetik itu juga kabus ungu muncul di hadapan mereka yang terlopong kehairanan, Lily sempat melompat ke tepi bila Amirul muncul mendadak dari kabus ungu tadi yang kini hilang serta-merta.


No comments:

Post a Comment