Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Saturday 28 May 2011

Dunia Imari 3





Sekolah Seni Imari

“Wow! Mengkagumkan!” kata Amirul teruja dengan apa yang berlaku ketika itu sebaik saja dia muncul. Tapi kemudian dia ikut terkejut bila melihat Sam dan Lily berada di tempat yang sama sepertinya.

“Macam mana kamu berdua ada di sini?” soalnya musykil, persoalan yang turut  Sammy dan Lily ingin tanyakan. Tapi dua gadis kecil itu berteriak girang melihatnya.

“Amirul!!” jerit mereka berdua serentak.

“Macam mana awak sampai ke sini?” Lily bertanyakan hal yang sama dan menggoncang bahu Amirul tidak sabar.

“Sa.. saya.....” belum pun sempat Amirul menjawab Lily menjerit cemas lagi.

“Oh... Amirul, terima kasih..”

Sammy dan Amirul tercengang seketika tapi bila Lily mengambil sebuah buku biru yang tebal dari tangan Amirul, Sammy turut kelam-kabut menerpa Lily.

“Buku ni! Buku ni yang bawa kita ke sini!” Kata Lily kuat, dan dengan nafas yang tertahan-tahan dia membuka kembali buku itu dan membelek-belek setiap helaian sekejap ke depan, sekejap ke belakang kemudian balik semula ke awal muka surat. Sammy pula yang hairan dengan kelakuan kawan baiknya itu.

“Apa kau cari Lily?” tanya Sam yang kini ikut cemas dan mula takut melihat buku itu.

“Buku ni... macam mana buku ni bawa kita ke sini, apa yang kita buat tadi,” kata Lily hampir-hampir menangis tapi tangannya masih lagi membelek gila buku itu dan berkali-kali pula dia mengusap tajuk di muka depannya dan matanya cuba melihat sekeliling mereka seolah-olah ada pintu keluar yang hendak menjelma bila-bila masa saja.

Beberapa detik kemudian Lily mendongak laju seperti orang yang baru sedar akan sesuatu dan kembali memandang Amirul yang kini tersengih lucu tapi langsung tidak menunjukkan sebarang rasa takut tentang keadaan mereka bertiga kini berbanding Sammy dan Lily. Lily pantas berdiri.

“Macam mana awak ke sini tadi Amirul!” tanya Lily lagi seolah-olah lupa dia telah bertanyakan soalan yang sama tadi.

“Ada kabus ungu masa saya masuk dalam bilik perpustakaan tadi... dan buku ni terapung di dalam kabus tu!” dia berhenti bercerita dan menggerenyet, “oh.. boleh tak kamu berdua jangan pandang saya begitu,” ujarnya bila melihat mereka berdua terlopong.

“Cepatlah cerita!” deram Lily tidak sabar.

“Ok! Sabar, lepas tu saya masuk dalam kabus ungu tu dan ambil buku ni... kemudian bila kabus itu hilang saya pun ada dekat sini... itu jer,”

“Itu saja!”

“Ya!”

“Habis tu di mana kita sekarang!” tanya Sam hampir menjerit.

“Jangan Tanya Saya!” jawab Amirul dan Lily serentak.

Tapi kini giliran Sam pula merintih cemas berlawanan betul dengan Amirul yang benar-benar teruja pada tempat yang sunyi dan kelihatan menakutkan pada cuaca senja itu, satu lagi perkara ganjil yang berlaku kerana jam baru menunjukkan hampir pukul lapan pagi ketika mereka berada dalam bilik perpustakaan tadi.

“Hoi.....!! Kamu bertiga!!”

Mereka berpaling serentak ke arah suara yang datangnya dari sebelah kanan mereka dan Sammy melihat seorang wanita gemuk tapi penuh bergaya bercekak pinggang memandang mereka bertiga. Lily pantas memegang lengan Sammy kuat hingga dia  mengadu kesakitan.

“Apa yang kamu buat di situ!..... Semua orang sibuk mendaftar di dalam cepat! Masuk!” jerkahnya garang.

“Baik... baik...” balas Amirul, “cepat... cepat... kita ikut dia,” katanya dan menolak mereka berdua supaya bergegas untuk mengikut wanita gemuk tadi yang kini sedang menuju ke bahagian hadapan bangunan tersebut.
Mereka bertiga tanpa banyak soal terus sahaja berlari dan Sam sangat berharap yang mereka di bawa kembali ke bilik perpustakaan tadi. Tapi harapan itu lenyap dan menjadi sesuatu yang tidak pasti sebaik saja Sammy dan dua lagi kawannya itu masuk ke dalam bangunan tersebut dengan melalui sebuah pintu kaca yang Sam agak besarnya berkali-kali ganda dari pintu masuk rumahnya.

“Wah! Cantiknya,” puji Lily sebaik menyentuh ukiran bunga-bungaan pada pintu yang diperbuat dari kaca yang tebal dan kukuh buatannya. Sam juga dapat melihat dengan jelas yang pintu itu bukan saja bercorak bunga-bunga yang pelbagai jenis tapi terdapat juga gambar piano, biola, gitar dan beberapa lagi alat muzik turut menghiasi dinding kacanya dalam corak yang berwarna-warni.

“Tempat apa ni Lily?” tanya Sam meringih dan lututnya mula menggeletar.

“Kita belum pun jumpa apa yang menakutkan tentang tempat ni... kau dah menggeletar...”  ujar Amirul sambil ketawa tertahan-tahan tapi mereka berdua langsung tidak mengendahkannya.

“Masuk ke sini!” sekali lagi wanita montel itu muncul dengan suara yang nyaring dan kepalanya terjengul dari sebuah pintu kayu sebelah kanan mereka.

Mereka bertiga menurut lagi dan kali ini lebih pantas  menuju masuk ke sebuah bilik yang sebaik saja dibuka terdapat sebuah pentas yang besar menghadap satu kawasan menonton yang sangat besar juga seperti sebuah tempat para artis menerima anugerah yang biasa Sam lihat di kaca televisyen. Kerusi-kerusinya di susun dalam keadaan menaik hingga ke atas dan berwarna-warni seperti juga corak-corak yang tergambar pada pintu kaca tadi.  Manakala pentasnya pula terdapat sepasang tabir berwarna ungu yang tinggi dan mengkagumkan keluasannya yang boleh memuatkan beberapa kumpulan koir dan ahli muzik malah penari-penari dalam filem bollywood pun boleh beraksi di atasnya.

Sam merasakan sesuatu yang mengujakan tentang pentas itu lantas membuat bulu tengkuknya meremang entah kerana takut atau terasa sesuatu yang sangat besar sedang menanti di hadapannya.

Tiba-tiba dia tersentak bila Lily menarik tangannya, “kita perlu mendaftar nama di situ,” katanya dan menunjukkan sebuah meja panjang yang mana terdapat tiga orang dewasa seorang lelaki dan dua wanita sedang sibuk mencatat sesuatu pada buku tebal, termasuklah wanita gemuk yang memanggil mereka tadi.

Sammy, Lily dan Amirul mula menghampiri meja tersebut yang hanya dibarisi oleh dua orang yang sebaya mereka dan salah seorangnya kelihatan seperti sudah biasa dengan keadaan di situ mengikut dari caranya bercakap dengan seorang lelaki dewasa. Manakala yang seorang lagi, gadis kurus berbangsa cina, berambut perang dan berkaca mata kelihatan takut-takut berani seperti keadaan Sam ketika itu juga yang kini membayangkan bahawa mereka akan disoal dengan kejamnya kerana menceroboh tempat itu.

Dia ikut berbaris di belakang gadis cina tersebut dengan jantungnya seperti hendak terlepas. Sementara Amirul berada di belakangnya dengan sengih-sengih busuknya yang dari tadi tidak sabar hendak mengetahui akan tempat itu dan Lily pula berada di sebelah Amirul orang yang mungkin terakhir sekali kerana tiada sesiapa lagi di situ selain mereka bertiga dan tiga lagi orang dewasa di hadapan mereka sekarang.

Gadis cina yang selesai mendaftar namanya itu bernama Wang Mei Mei, dan ketika dia mengucapkan ucapan ‘terima kasih cikgu’ lalu mengambil beberapa buah buku yang tergeletak di atas lantai yang Sam langsung tidak perasan tadi kini terkejut mendengar perkataan ‘cikgu’ (apalah yang sedang dilaluinya sekarang, berada di sebuah bangunan pelik dan kini sedang mendaftar nama sebagai pelajar pula.)

“Nak saya tunggu kamu melamun saja di sini sampai malam...?” ujar wanita gemuk itu yang sebenarnya seorang guru. Sam yang tersentak jadi panik seketika dan seperti tidak boleh berkata-kata.

“Sam..” panggil Lily lalu menguis lengannya dan suara itu menyedarkan Sammy cepat kerana bila dia berpaling ke belakang melihat Lily dan Amirul dia sedikit merasakan satu-satunya perkara yang betul yang terjadi pada mereka ketika itu adalah kehadiran Lily dan Amirul sahaja.

“Siapa nama kamu?” tanya wanita gemuk atau seorang cikgu, orang yang memanggil mereka di luar tadi.

“Sam..”

“Sam saja ke?”

“Sammy, Sammy Cheng,” Amirul menyampuk di belakang dan terkekeh ketawa tapi terdiam mendadak bila cikgu gemuk itu merenungnya tajam. Ketika dia berpaling semula pada Sam dengan wajah serius, Sam pantas menjawab.

“Sammy Erwin.”

Dia mula mencari sesuatu di buku panjangnya yang nampaknya seperti barisan nama yang memanjang hingga ke bawah buku tersebut dan membelek pula ke muka surat sebelah dan kemudian menanda sesuatu bila dia melihat nama Sammy Erwin pada nombor ke 79.

“Ok Sammy, ini surat pendaftaran kamu dan di dalamnya terkandung semua keperluan dan peraturan sekolah ini kemudian kamu boleh ambil buku-buku teks kamu dengan cikgu Ning.”

“Tapi..... tapi...” Sam kebingungan dan terpinga-pinga dia ingin benar hendak bertanyakan satu jawapan atau kenyataan yang benar-benar nyata tentang kenapa mereka bertiga boleh berada di tempat itu di mana sebelum ini mereka berada di dalam bilik kecil perpustakaan sekolah mereka.

“Boleh cepat sikit tak, saya dah mengantuk ni! Dan belum pun makan malam lagi!”

Sam cepat-cepat beralih dan mengambil senarai bukunya takut mendengar rungutan dari mulut kecil wanita gemuk itu. Kemudian Amirul mengambil giliran memperkenalkan dirinya yang membuatkan perempuan itu melenting lagi dengan gurauan melampaunya yang bertanya, ‘di manakah mereka perlu ambil bas untuk pulang ke Kota Lama.’ Dengan pertanyaan pelik itu dia di soal dengan bermacam pertanyaan berkaitan bakat yang ada dalam dirinya yang bagaimanapun Amirul cukup senang hati menjawab ‘bahawa dia sangat suka menganggu orang lain.’

Selepas giliran Lily selesai mengambil semua buku teks yang kesemuanya sembilan buah dan tebal-tebal belaka mereka bertiga diarahkan ke dewan makan untuk makan malam yang terletak di depan dewan yang menyerupai panggung tadi dan perlu kembali ke asrama sebelum pukul sembilan malam. Dengan terhegeh-hegeh mengangkat semua buku-buku, mereka masuk ke sebuah lagi tempat yang menyerupai kantin di sekolah lama mereka dahulu cuma bezanya tempat itu sangat besar dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan keperluan termasuk beberapa mesin minuman panas dan sejuk di beberapa buah sudut. Manakala meja makannya pula agak memanjang juga dengan kerusi yang sama panjang serta meja kayu tersebut. Sam sempat mengira kesemua meja makan yang ada sepuluh buah sahaja lima di hadapan dan lima lagi di belakang dipisahkan dengan sedikit ruang untuk berjalan.

Mereka bertiga mengambil tempat duduk di meja pertama yang kosong dan hanya ada beberapa orang di meja kedua yang sedang makan tanpa mempedulikan kehadiran mereka bertiga di situ.

Sam sebenarnya masih lagi diulit kebingungan dan kerisauan pada tempat yang pelik itu tapi tetap juga mengisi perutnya yang kosong dengan bermacam lauk-pauk di hadapan mereka sekarang, Lily dan Amirul kelihatan sangat lapar seolah-olah mereka sudah seharian berada di tempat itu.

“Lily... aku takutlah,” gumam Sam resah.

“Tak ada apa yang ditakutkan Sam, kalau ada orang nak serang kita dalam bangunan ni, kita dah kena tadi masa awal-awal kita masuk dalam tempat ni.. lagi pun tempat ni adalah sebuah...”

“Mungkin kita telah masuk ke alam bunian,” Amirul memintas penerangan Lily selamba dan membuatkan Sam tersedak.

“Jangan cakap yang bukan-bukan Amirul, aku tak mahu tinggal di sini, kita mesti cari jalan keluar dari tempat ni,” kata Sam yang termengah takut sejurus mendengar alam bunian yang pernah dibacanya dalam majalah sebagai kisah ghaib yang benar-benar menakutkan.

No comments:

Post a Comment