Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Monday 6 February 2012

Raylan Faris (Tujuh)


Jarinya terasa bergetar ketika membelek lagi buku itu cuba mencari catatan lain atau gambar-gambar lain tentang Jasmine dan Faris. Tiba-tiba sahaja dia iri hati pada Jasmine dalam gambar tadi sebelum perasaan itu mati dengan begitu cepat sekali ketika sekeping lagi gambar terjatuh secara tak sengaja. Dia mengambil gambar itu dan tersentak kembali melihat gambarnya sendiri bersama Tuan Rahmad sedang memeluk bahunya mesra. Dia masih ingat lagi gambar itu diambil pada sambut aidilfitri setahun sebelum arwah meninggal dunia. Senyuman arwah Tuan Rahmad dalam gambar itu berseri-seri.
Nika tidak pernah tahu kalau arwah Tuan Rahmad pernah bercerita tentang dirinya pada Faris dan dia berharap sangat tidak kerana dia tidak mahu Faris menganggapnya perempuan yang begitu teridam-idam hendak menjadi sebahagian dari keluarga itu. Tapi apa yang lebih nyata sekarang, Faris bukan sahaja menjadi suaminya tapi dia juga sumber kebencian Nika. Nama Jasmine tidak semena-mena terlibat dan dikaitkan sebagai perampas semua rasa bahagia. Tidak ada yang tinggal selain meratap nasib akan bagaimanakah hala hidupnya nanti..
Dia cepat-cepat memasukkan semula fail dan diari ke dalam laci seperti kedudukan asalnya tapi mengambil gambarnya dari simpanan Faris yang dia rasakan lelaki itu tidak akan peduli tentangnya. Baginya... dia tidak berhak berada dalam diari tersebut kerana Faris sudah ada Jasmine. Dia perlu buat pilihan lain walaupun dia mungkin tidak akan diberi pilihan. Lantas airmatanya menitis sayu, kecewa dan benar-benar merasa seperti orang asing yang tidak mengenali siapa dirinya sendiri. Perlukah dia bertanya pada Faris siapa Jasmine? Adakah lelaki itu akan ketawa dengan kecemburuannya? Siapa pula dirinya di hati Faris kalau Faris sudah ada Jasmine dan lebih tepat lagi kenapa mereka mesti berkahwin kalau Faris sudah ada Jasmine?
Di depan almari kecil, Nika masih bersimpuh. Sedih dan cuba menahan diri dari meratap... bukan kerana kecewa pada Faris tapi lebih kepada nasib dirinya yang tidak pernah diimpikannya akan melalui saat-saat begini. Dia merasakan perjalanan hidupnya terlalu sukar dan buntu bagaimana hendak mengakhiri semua ini.
“Kau tunggu aku..”
Satu suara mengejutkannya. Nika lantas berpaling. Faris berdiri di muka pintu kamar. Tangannya pantas menyeka airmata di bawah kelopak mata kemudian berdiri.
“Apa kau buat dalam bilik aku?” soal Faris sambil memandangnya curiga.
“Aku kemaskan bilik...” sahutnya lalu melangkah ke pintu setelah yakin airmatanya tidak akan mengalir di hadapan Faris yang masih berdiri di muka pintu. Kedudukan mereka berdua kini hanya dalam jarak dua langkah. “....dan aku jumpa gambar ini,” kata Nika menunjukkan gambarnya bersama arwah Tuan Rahmad yang diambilnya dari dalam diari tadi. “Tapi.. bukan gambar ini saja Faris, aku juga melihat gambar Jasmine...”
Mendengar nama Jasmine airmuka Faris berubah serta-merta, matanya tiba-tiba redup dan merudum merenung bayang hitamnya di lantai. Saat itu dia seolah-olah terpisah ke dunia lain  sebelum tersedar dan kembali merenung mata Nika dengan kening sebelah kanannya terangkat sedikit sambil melontar senyuman egonya.
“Kau cemburukan dia?” soalnya dengan nada mengusik Nika seperti tidak ada apa-apa yang perlu diperkatakan lagi. Dia seolah-olah mahu melupakan wanita yang bernama Jasmine itu.
“Aku berhakkah untuk cemburu Faris... rasanya tidak, kau pun tahu itu..” ujar Nika berani dan berjalan hendak melangkah keluar dari bilik Faris.
Tapi... tangan gagah Faris menghalangnya dari keluar dan mencengkam kuat bahu kiri Nika yang terdorong di muka pintu. Mereka kini berhadapan dengan lebih rapat hingga Nika dapat merasakan kehangatan dan haruman dari tubuh lelaki itu yang menunduk dan merapatkan wajahnya ke wajah Nika yang kini terasa sesak dan mahu mencuri nafas.
“Kau tak mahu tahu kenapa aku mengahwini kau dan kenapa bukan Jasmine?” kata Faris hampir berbisik dan membuai perasaan. Cengkaman jari Faris mengelus perlahan di bahunya.
“Aku tak perlu tahu hal itu sebab ia sudah jelas..... keadaan kita sekarang dah membuktikan yang hubungan kita bukan apa-apa Faris. Aku cuma mahu tahu, siapa kau dan apa hubungan kau dengan pengedar dadah yang mati di hospital tadi!”  dia melulu dengan perkara pokok kenapa dia boleh berada di dalam bilik Faris dan tidak mahu membahaskan hubungan peribadi mereka berdua yang menyebalkan.
Tapi Faris hanya tersengih dan kembali bersuara perlahan.
“Betul kau tak mahu tahu kenapa aku mengahwini kau dan bukannya dia... Nika?”
Dia tidak tahu apa yang hendak Faris jelaskan dan Nika hanya merasakan yang lelaki kacak di hadapannnya ini sedang mempermainkan perasaannya yang sedia tersentap. Astaga!.... kenapalah dia mudah terpikat pada Faris. Kenapalah hatinya begitu mudah mengalah pada lelaki yang masih memegang bahunya semakin kemas. Tolonglah.... di mana semangatnya yang jitu itu....
lantas sesaat kemudian Nika tersedar dan tidak ingin hanyut. “Aku tahu kenapa kau mengahwini aku...” katanya dengan nada begitu dingin dan dapat melihat dengan jelas riak wajah Faris yang tiba-tiba serius dan dia menambah rasa tergugat itu. “..... ia adalah kesilapan yang paling teruk pernah aku lakukan untuk seumur hidup, lebih-lebih lagi selepas petang ini!”
Faris tercengang, mukanya seperti baru disimbah dengan air dingin. Beku dan menghairankan. Tapi... seperti tadi dia berjaya menyembunyikannya cepat dan kembali tersenyum dengan bibir nipisnya yang begitu menggoyahkan rasa dalam jiwa Nika.
“Kau pasti kau silap? Sebaliknya aku rasakan tidak..... aku telah membuat pilihan yang betul,” katanya menjengkelkan hati Nika.
“Itu bukan jawapan yang aku mahu,” balas Nika kasar dan menolah tubuh Faris yang menghalangnya sebentar tadi lalu menerjah masuk ke biliknya, berkunci. Macamlah Faris tidak memiliki kunci penduanya.
Dia terus ke bilik mandi berendam dalam tabnya dengan buih sabun yang banyak sambil benaknya tidak henti-henti diracun oleh kata-kata Faris yang seolah-olah begitu meyakinkan bahawa mereka berdua sedang enak dilamun cinta padahal zahirnya sangat menyakitkan. Dia tidak mahu terpengaruh dengan keupayaan lelaki itu berkata-kata memandangkan sebelum ini dia sangat mengenali lelaki dingin dan berat mulut itu. Tapi dia juga curiga dengan riak wajah Faris yang seperti terkejut ketika dia mengatakan ayat ‘lebih-lebih lagi selepas petang ini’ Ada yang tidak kena pada saat itu dan dia cuba memikirkan sejauh yang mungkin adakah benar Faris mempunyai hubungan jenayah dengan pengedar dadah yang mati di wad kecemasan petang tadi.
Hampir sejam di dalam kamar mandi dia lalu keluar dan tersentak melihat jam di meja menunjukkan pukul 11:06 minit malam. Dia terlupa adakah Faris sudah makan? Bagaimanapun, rasa prihatinnya mendadak berubah bila dia mahu memutuskan lebih baik kalau dia bersikap tidak peduli dan biarkan Faris terkontang-kanting sendiri.

No comments:

Post a Comment