Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Sunday 19 February 2012

Raylan Faris (12)



Tidak sampai tiga jam bekerja, hal dia sudah menikah diam-diam dengan Faris menjadi bahan bualan syif mereka. Belum hilang segala kerunsingan di hatinya dia dibebani masalah baru. Kemana-mana dia pergi, semua rakan sekerjanya sibuk bertanyakan hal tersebut. Nika tidak mampu untuk menyembunyikannya lagi sama seperti Zakiah yang tidak tahan hati untuk menyimpan rahsianya. Dia cuma boleh mengangguk dan mengiyakan kenyataan yang dia memang telah berkahwin dengan seseorang yang memandu kereta Range Rover. Mujurlah mereka tidak mengenali orangnya. Dan Nika berharap mereka tidak pula meminta untuk mengenali Faris... grrr... dia tak sanggup!
Pembongkaran status sudah berkahwinnya juga menyebabkan dia tidak boleh bekerja dengan betul kerana Dr. Ishak yang dijadualkan ke dalam syif mereka menggantikan Dr. Kumar menjadi orang yang paling bingung dan aneh kelakuannya. Lelaki itu sentiasa mencari ruang lapang supaya mereka berdua boleh bercerita lebih lanjut yang mana Nika sangat keberatan untuk menjelaskannya.
Bagaimanapun, dia tidak lagi dapat lari ketika syif bekerja tamat. Dr. Ishak berjaya menemuinya disebabkan dia terpaksa menunggu Faris yang mahu mengambilnya. Ketika itu dia sedang bersandar pada tiang bulat yang besar di depan pintu gerbang unit kecemasan tanpa Zakiah  yang  telah pun pulang.
“Kenapa awak rahsiakan?” soal lelaki itu, terus kepada pokok asal.
Nika menoleh sesaat dan kembali memandang jalan yang hangat membahang sambil menghela nafas panjang.
“Tak ada apa-apa. Saya perlu ikut kehendak suami saya, dia mahu kami percepatkan pernikahan kami sebab dia ada komitmen lain,” ujarnya berbohong serta-merta.
“Atau awak terpaksa lakukannya...”
 Nika berpaling laju pada Ishak. Dia membuka mulutnya mahu menjawab. Tapi kata-katanya mati dan sekadar menggeleng tidak sanggup mengakui kebenaran pendapat Ishak.
“Benarkan?” desak Ishak.
“Ya...” akuinya lemah.
“Awak boleh beritahu saya sebelum ia berlaku, awak pun sedia tahu perasaan saya pada awak, kenapa awak boleh menerima keputusan tu,” luahnya kecewa dan ketawa kecil yang lebih menjurus kepada marah. “Patutlah.. awak mengelak terus dari saya kebelakangan ni,” sambungnya lagi.
Kalau sahaja dia memiliki perasaan sama seperti Ishak, dia mungkin akan turut bersedih atas keadaan mereka. Tapi tidak.... dia cuma mampu bersimpati pada lelaki itu. Tidak lebih dari itu. Perasaan mereka berdua sekarang berlainan kerana Nika telah meletakkan rasa cintanya pada Faris. Dan Faris pula........  tidak layak untuk mengetahui hal itu. Jadi, apa situasi yang dihadapinya sekarang. Dia sendiri pun tidak mengerti.
“Saya percaya awak tak bahagia Nika..” kata Ishak berterus-terang dan sekali lagi dia benar.
“Bahagia atau tidak, itu urusan saya Ishak. Maaflah,” jawab Nika dan tersentak bila mendengar bunyi hon.
Faris sudah pun datang dan melihat dia dengan Ishak di situ. Walaupun Faris berkacamata hitam. Nika tahu, dia sedang memerhatikan mereka.
Memang betul tekaan Nika, Faris akan kembali bersikap dingin sebaik saja mereka pulang. Lelaki itu tidak menyatakan dengan jelas samada kerana dia cemburu melihatnya dengan Ishak tadi atau ada hal lain yang membuat dia begitu. Bagaimanapun dia berjaya menunjukkan wajah menyampah dan tak tantu anginnya. Sepuluh minit tadi Faris baru saja menyuruhnya menyiapkan makan tengahari yang lewat, sedangkan Faris tahu dia sepatutnya makan lebih awal memandangkan Nika pulangnya hampir petang hari ini. Dengan rasa jengkel, Nika menyiapkan makanan yang ditemuinya di dalam peti sejuk.
Ayam masak merah rempah segera dan sayur timun sebagai ulam. Setelah siap, Nika naik ke atas memanggil Faris turun makan. Bagaimanapun, lelaki itu langsung tidak menyahut dan enggan berpaling padanya di muka pintu. Dia lebih suka memandang rumput yang sudah kian memanjang di luar tingkap.
‘Cuba bersabar Nika’ itulah kata-kata yang menjadi motivasi hidupnya setelah menukarnya dari ‘dreams come true’ sejak tiga bulan lalu.
Tidak mahu memikirkan karenah Faris, Nika mengalihkan fikirannya membuat kerja memvakum lantai ruang tamu sambil berharap-harap dikurniakan kuasa sihir. Dan kalau dia boleh membuat sumpahan, dia mahu menyihir Faris menjadi lampu hiasan atau apa-apalah benda tidak bernyawa di dalam rumah itu supaya dia tidak perlu lagi melihat muka menjengkelkan Faris hari ini.
Ketika malam berlabuh, Nika bersembunyi dalam biliknya. Dia melancarkan mogok lapar terhadap Faris yang langsung tidak menjamah hidangan malam yang disediakannya. Sekarang, dia tidak tahu samada Faris sudah keluar atau masih ada di rumah... detus hatinya ketika asyik membaca majalah di atas katil. Artikel buah delima yang ditulis berkesan untuk merawat beberapa jenis penyakit menarik perhatiannya hingga ketika berpaling ke kanan tangannya tak sengaja melanggar air mineral di dalam botol yang terbuka dan menumpahkan air ke atas karpet.
“Alamak... ish,” gerutunya dan kelam-kabut turun dari katil mencapai tisu dan mengelap air yang membasahi karpet. Deringan isyarat pesanan dari telefon tidak dipedulikannya hingga kembali senyap. Tangannya laju mengeringkan air yang mula meresap...
“Siapa dia?”
Tangan Nika serta-merta berhenti mendengar suara Faris. Dia mendongak dari bawah katil dan terpandang wajah serius Faris yang sedang membaca pesanan masuk di telefon bimbitnya.
“Dr. Ishak,” jawab Faris sendiri lalu berdengus. “Kawan atau ex?” tambahnya lagi.
Nika bingkas berdiri, mereka berdua kini di perantaraan katil, seorang di kiri, seorang lagi di kanan.
“Kembalikan...” Nika menuntut telefon di tangan Faris sekarang. “Apa kau mahu?” katanya bengang bila Faris enggan memberi handphone itu semula.
Sebaliknya, Faris duduk di atas katil Nika dengan posisi separuh berbaring sambil tersenyum angkuh.
“Temankan aku,” sahutnya malas sambil menepuk-nepuk tilam dan berkata lagi. “Duduklah di sini, aku perlu teman.... bukankah kau juga yang sarankan pada aku supaya jangan selalu bersendirian,”
Nika memutarkan matanya ke siling. Tidak tahu hendak berkata apa-apa lantas ikut duduk dengan sebiji bantal menjadi penghalang antara mereka berdua. Faris mengembalikan handphone, dia cepat-cepat menyambarnya dan membaca pesanan Dr. Ishak yang masuk tadi. Darahnya tersirap..
‘beritahu saya klu dia cuba apa2kan awak!’  Itu pesanan yang dikirimkan oleh Ishak padanya yang datang tepat pada waktu yang salah.
Dia mengerling Faris yang cuba berlagak tenang tapi sebenarnya tidak dan dia dapat merasakan kemarahan dari kata-kata Faris.  “Jadi, kau cuba dapatkan pakar nasihat untuk mengatasi masalah kita..” ujarnya tanpa memandang Nika.
“Apa? Tak!....” dia membantah.
“Sedang mencari teman berbual tentang masalah rumahtangga?” soalnya lebih sinis.
“Kau mungkin tak perasan, tapi orang lain jelas melihat kalau aku tak bahagia, ada yang tak kena dengan aku!” balas Nika geram.
“Aku sudah bayar harga kebahagiaan kau Nika..”
“Oh.. Tuhan... begitukah caranya kau meletakkan nilai kebahagiaan Faris?” ucap Nika dan terlopong memandang Faris yang hanya memejamkan matanya.
“Beritahu aku! Adakah aku tak berhak terhadap kau!” tiba-tiba saja dia berang.
“Aku tahu kau berhak sepenuhnya terhadap aku tapi aku juga tahu kita tak mampu melakukannya..”
“Jadi! Semudah itu kau lupakan aku!”
“Fariss!! Apa kau cakap ni?” Nika mula bengang.
“Apa hubungan  kau dengan lelaki tu?”
Nika mendengus kuat dan mahu turun dari katil ketika Faris menangkap tangannya.
“Jawab Nika!”
“Tak ada apa-apa.. puas!!!!” sahutnya marah.
Tapi tiba-tiba sahaja Faris seperti kegelisahan, nafasnya turun naik!
Nika diragut bimbang. Dia tahu kenapa dengan Faris.
 “Tarik nafas Faris, tarik nafas panjang-panjang,” kata Nika sambil berlutut di sebelahnya  dan memegang dada Faris cuba merasakan degupan jantung yang berentak laju dan tak menentu. Berkali-kali Nika mengarahkan Faris menarik nafas dan menghembusnya perlahan sehingga keadaannya kembali normal.
Dia terus memusatkan pandangannya ke wajah Faris yang pucat dan lesu. Mereka hanya berdiam tanpa sebarang suara. Keadaan Faris bukan hal remeh pada Nika, kalau tidak diberi perhatian teliti ia akan membawa musibah. Bagaimanapun, Nika segera membuang jangkaan buruk yang terbayang dalam kepalanya saat itu.
“Itu, tanda-tanda serangan anxiety disoder. Jangan fikir yang bukan-bukan, tak ada apa-apa yang perlu kau bimbangkan! Berhenti berfikir perkara yang buat kau takut. Aku tahu kau kuat. Kau dah sesakkan fikiran kau dengan hal yang tak keruan. Tarik nafas dan lapangkan hati..”  Nika akhirnya bersuara dengan penuh berhati-hati sambil memandang risau.
“Maaf... aku selalu begini... Aku seperti dikejar sesuatu yang tidak jelas dan menakutkan... kadang-kadang aku takut kau akan tinggalkan aku sendirian..” gumamnya.
Hati Nika runtun mendengarnya. Sebenarnya ucapan itu sangat menyenangkan hatinya sendiri, sekurang-kurang dia tahu yang Faris menyayanginya. Cuma situasi mereka berdua sangat mengelirukan. Terutamanya keadaan Faris yang hidup dalam kecelaruan fikiran. Bagaimanapun Nika cuba menguatkan semangat untuk mengatasinya.
“Beristigfarlah banyak-banyak, cuba solat, mohon pada Allah diberikan kelapangan hati. Jangan minum alkohol lagi ia akan memburukkan penyakit kau dan jangan makan ubat penenang, kalau tak... kau akan bergantung harap sepenuhnya pada ubat yang mendorong kau mengambil dadah nanti,” jelas Nika pada Faris yang mengangguk-angguk.
“Kau betul...” katanya lemah.
“Cuba fikirkan perkara positif.” Jelas Nika lagi pada Faris yang sedang cuba mengawal emosinya. Dia masih menarik nafas dalam-dalam. Nika mula mengerti, barangkali inilah hal yang dimaksudkan oleh Faris awal pernikahan mereka dulu.
“Apa yang kau bimbangkan Faris,” soal Nika ingin tahu.
“Kehidupanku,” jawabnya perlahan dan tertunduk.
Nika tidak memahami apa yang cuba Faris jelaskan dan dia juga tidak inginkan penjelasan lanjut. “Macam mana kau kerja dalam keadaan begini?”
“Ubat penenang. Tapi kadang-kadang ia hilang bila aku kerja atau bila aku fikirkan kau...”
Sekali lagi Nika tersentuh mendengar pengakuan yang keluar dari mulut Faris malam itu. Dia tahu apa yang Faris takutkan. Hubungan mereka yang seakan tidak punya jalan keluar ini mungkin membuatkan Faris lebih banyak berfikir dan nama Dr. Ishak yang dilihatnya terpapar pada skrin telefon tadi mungkin telah membuatnya semakin bercelaru. Ada punca mengapa Faris menjadi begitu, dia perlu mencari puncanya.
“Ada memori masa silam yang  buat kau jadi beginikan..” duga Nika lebih jauh.
Faris mengangkat muka dan memandangnya melalui mata yang sayu, tulang pipinya termasuk membuatkan raut wajahnya seperti dilukis dengan begitu sempurna.
“Perkara silam tu akan buat kau takut Nika, aku tak mahu mengenangnya lagi...” sekali lagi Faris menunduk dan menghela nafas yang tersangkut..
Nika lantas memeluknya, cuba untuk terus menenangkan Faris dan meredakan kegelisahan yang melanda lelaki itu yang dengan lembut mengeratkan pelukannya. Dia merasakan bajunya basah oleh airmata dari seorang lelaki yang kelibatnya penuh misteri dan belum terhurai hingga kini. Kalau sahaja telefon bimbit kepunyaan Faris tidak berdering, Nika takut hendak memikirkan apa akibat mereka berduaan dalam kamarnya ketika itu.
Pelukan mereka terlerai. Faris lantas mengeluarkan telefon dari poket seluar dan menjawab sambil jari telunjuknya mengurut dahi, dia sekadar menyahut ‘ya’ dan ‘sekejap aku sampai’ kemudian talian ditutup.
“Kau boleh tinggal seorang?” tanya Faris janggal.
Nika merasa sedikit malu dan segan pasal tadi tapi menjawab sambil cuba tersenyum.
“Tak pe.. aku dah biasa,” jawabnya.
“Aku ada kerja. Telefon aku segera kalau ada apa-apa yang mencurigakan.”
“Ok... err.. bye..” ucapnya tersekat-sekat dan melihat saja Faris keluar dari pintu tanpa menoleh padanya lagi.

No comments:

Post a Comment