Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Monday 6 February 2012

Raylan Faris (lapan)


Ketika keluar makan tengahari dengan Zakiah dan Suzzie di tengah cuaca mendung yang berangin Nika sempat membeli suratkhabar dalam perjalanan pulang ke hospital untuk kembali menyambung kerja. Zakiah yang seperti biasa penuh dengan tanda tanya mula bersikap agak dangkal bila ekor matanya asyik tertumpu pada suratkhabar di tangannya sewaktu mereka semua sedang bersenang-senang kerana pesakit tidak ramai di unit kecemasan.
“Dah buang tebiat ke beli news ni?” soalnya yang merupakan tabiat semulajadi untuk bertanya sesuatu yang jadi bahan fikirannya.
“Astaga....” ucap Nika jengkel ketika mengangkat muka memandang Zakiah yang sibuk menyusun ubat-ubat di kaunter. “Banyak maklumat tau dalam suratkhabar ni, yang kau pelik sangat kenapa?” balasnya semula.
“Sebab aku peliklah tengok kau baca suratkhabar, biasanya beli majalah Rapi, Wanita..”          
“Sebab..... aku belum gaji, tulah beli suratkhabar je..” sahut Nika malas dan membelek-belek helaian suratkhabar itu dengan rasa tidak sabar. Dia mencari dengan ekor mata yang lari pantas dari setiap tajuk ke setiap tajuk semata-mata mahu mendapatkan maklumat berkaitan dengan kejadian kematian pengedar dadah yang merupakan kenalan Faris. Aliran darahnya terasa mengalir lebih laju dan hangat di tengah hawa dingin yang memenuhi ruang.
Sesekali dia terhenti bila terjumpa tajuk  ‘Samun Kedai Emas’ dan ‘Perempuan Mati Di Kelar’ yang membuatkan dia terasa ngilu bila membayangkan tapi lega sebab ia tidak berkaitan dengan apa yang dicarinya. Dia meneruskan pembacaannya yang lebih kepada bacaan ringkas di berita-berita tertentu sambil matanya mengerling ke belakang dan depan mana tahu ada doktor yang sedang memerlukan khidmatnya. Jam sudah menunjukkan pukul lapan setengah malam, sekejap lagi mereka akan pulang.
“Zakiah... nanti kau turunkan aku dekat Supermarket Wish..” katanya tiba-tiba dan sekaligus kembali memancing rasa Zakiah hendak bertanya  lagi.
“Buat apa kat sana?”
Seperti yang Nika duga, Zakiah mesti hendak tahu. Soalan itu dijawabnya dengan tepat. “Aku nak beli barang sikit,”
“Emm.. yalah Mrs. Raylan,”
Nika menjelingnya tajam, benci dengan gelaran itu tapi Zakiah seronok mengekeh panjang. Nika melipat suratkhabar tadi dan beredar dari situ untuk membuat laporan akhir pesakit yang terkena demam panas.
Seperti yang dijanjikan, dalam perjalanan pulang Zakiah masuk ke simpang sebelah kiri menuju ke pasaraya. Mereka berdua lalu turun dari kereta.
“Nika, aku pegi beli sate dulu kat depan tu..” kata Zakiah.
“A’ah, aku kat tempat Apek jual buah..”
Zakiah mengangkat tangan dan berjalan laju. Nika kemudian berjalan ke warung buah-buahan yang sudah tiga bulan tidak dikunjunginya dan baru kali ini dia datang lagi atas alasan dia teringin hendak makan buah limau. Macam biasa dia disambut dengan mulut apek yang riuh mempromosi buahnya dan Nika mula memilih buah limau, jambu air dan sesisir pisang. Di kepalanya sekarang terbayangkan kisah sejag jus limau yang selalu dikisarnya halus dan dihidangkan depan emaknya yang begitu dirinduinya. Mood sedihnya muncul mendadak kerana tidak bertanya khabar emaknya sudah beberapa minggu. Dia rasa bersalah dan bercadang hendak mengisi relod telefonnya selepas membayar harga buah pada Apek yang peramah itu.
Sambil tangan membimbit plastik buah dia berjalan ke deretan bangunan yang agak samar dan hanya dilimpahi cahaya dari lampu jalan yang malap. Kedai yang menjual prepaid terletak di tengah-tengah bangunan itu.
Bagaimanapun, langkah kakinya mati saat dia mendengar suara yang tidak asing lagi, sedang merayu disusuli rengekan dan suara mengancam yang garang. Nika bersembunyi di balik bangunan dan mengintip. Matanya jelas menangkap gambaran belakang tua ayahnya yang sedang terbongkok-bongkok memohon belas kasihan dari si pemiutang.
“Tolonglah.... nanti aku bayarlah! Sekarang ini aku betul-betul tak ada duit..” rayu ayahnya. Nika semakin hairan.
“Dah lama kau tidak baya aa Jalii, itu wang muka dulu ko kasi cuma lima libuu... mane cukupp!!” kata lelaki cina berbadan gemuk yang mencengkam leher ayahnya kuat hingga kedengaran suara tercekik. Seorang lagi kawannya cuma jadi pendengar.
Nika teragak-agak di situ, dia berniat hendak menolong ayahnya dari dikasari dua lelaki yang mungkin ah long.
“Ok... ok... nanti aku cari lagi itu wanggg...” suara ayahnya semakin tercekik. Nika hilang pertimbangan, dia mahu keluar dari intipannya ketika bahunya disambar laju dan mulutnya ditutup oleh satu tangan gagah yang membuat jantungnya berdegup kencang dan ketakutan. Oh Tuhan! Dia terbayangkan bapak ayam yang menakutkan!
“Kau mahu buat apa Nika!...” satu suara berbisik jelas di telinganya dan dia ditarik ke belakang sedikit. Matanya menangkap nombor plat dan badan Range Rover hitam berkilat. Tangan yang menutup mulutnya dilonggarkan. Nika berpaling ke belakang dan tersentak melihat Faris bagaimanapun berasa benar-benar lega malah selamat. “Kau cuba nak bantu ayah kau!” kata Faris tidak percaya.
“Kau tak nampak ke? Apa yang dorang buat kat ayah aku! Dia boleh mati...”
“Jangan risau mereka tak akan bunuh dia, mereka cuma mengugut untuk menagih hutang..” ujar Faris yakin.
Pantas Faris menarik lagi lengan Nika dan menyembunyikan diri mereka berdua di balik kereta Faris ketika suara-suara mengomel tadi melintas jalan. Nika tidak dapat melihat kelibat ayahnya ke mana cuma hatinya saja berdoa berharap semoga Tuhan melindungi ayahnya tadi. Walaupun sebelum ini dia begitu bencikan ayahnya tapi bila melihat ayahnya dalam keadaan begitu, dia turut bimbang.
“Dan.... kau buat apa kat sini?” soal Nika langsung curiga dan menjarakkan sedikit posisinya dari Faris yang beberapa minit tadi begitu erat.
“Aku ternampak kau di warung buah tadi..” jawabnya laju.
Tidak lama selepas itu Nika melihat Zakiah muncul dari jalan sebelah dan tercari-carinya. Nika bergegas mendapatkan Zakiah dengan Faris menyusul di belakang.
“Zak!....” panggil Nika. Zakiah menoleh dengan plastik berisi sate tergantung di tangannya dan berjalan ke arah Nika.
“Aku macam nampak ayah kau tadi Nika...” katanya kuat dan tersenyum kalut kerana baru perasan akan Faris.
“Ya... aku pun nampak, tapi biarlah dia...” sahut Nika tapi akhirnya dia memahami kata-kata Faris tadi supaya dia bersikap tidak mempedulikan ayahnya yang sudah terlalu lewat untuk di bawa ke jalan yang selamat.
“Saya hantar dia pulang..” Faris mencelah tenang.
“Oh.... yalah, ok.. bye Nika..” Zakiah terangguk-angguk akur dan segera masuk ke dalam kereta melambai Nika yang harus akur akan semua kehendak Faris sambil  berjalan menuju ke kereta yang tersadai bergaya seperti juga pemiliknya.
Mereka berdua tiba di perkarangan rumah banglo serba putih yang mewah dengan kebendaan dan bermacam keperluan hidup tapi miskin nilai kebahagiaan.  Itu cuma gambaran di kepala Nika yang laju sahaja turun dari kereta dan terus masuk ke dapur untuk menyimpan buah-buahan yang dibelinya tadi ke dalam peti sejuk.
Tiba-tiba.........
 “Ooh...” keluh Nika dalam gelap. ‘Blackout’ segalanya gelap. Lampu dari jalan besar juga padam.
“Wah... rumah orang kaya pun boleh blackout jugak ke?” katanya sendirian sebelum tiba-tiba menjerit kuat bila dia terlanggar sesuatu.
“Nika..” panggil Faris dan menangkap lengannya. Nika mengeluh lega bila menyedari yang dilanggarnya tadi ialah Faris.
“Astaga... kau buat aku terkejut..” ujarnya.
“Aku pergi cari torchlight..” kata Faris dalam kegelapan.
Kendengaran bunyi benda dilanggar. Nika rasa Faris baru saja terlanggar bakul sampah di tepi almari. Dia memutuskan untuk naik sahaja ke atas dan membiarkan Faris mencari benda yang mahu dicarinya.
“Faris... aku ke atas dulu..” kata Nika sambil meraba-raba melangkah mencari pintu.
“Ya..” sahut Faris tapi entah di mana kedudukannya disusuli bunyi berdering dari telefon bimbit milik Faris.
Kaki Nika mendadak berhenti bila dia mendengar bunyi telefon bimbit yang memecah kesunyian ruang. Dia yang sejak pagi tadi berkobar-kobar hendak mendapatkan maklumat pekerjaan Faris kini memasang niat untuk mendengar perbualan itu sekarang yang kedengarannya sangat mencurigakan.
“Hello Ajis, kenapa?”
“Siapa? Lim! No! Jangan lakukan sekarang, kau takkan berjaya, kawasan itu sedang diawasi polis.. aku mahu kau ikut saja Ah Wai, dia tahu apa nak buat di KL..” suara tertekan Faris jelas kedengaran dari balik almari dapur tempat Nika bersembunyi sekarang. Nafasnya mendesah mendengar dialog seterusnya yang keluar dari mulut Faris.
“Itu urusan aku dengan Lim! Kau buat saja kerja kau yang lain fahamm!! Matikan telefon ni, aku berada di rumah, aku telefon kau kemudiann...” perbualan ditamatkan.
Biasan cahaya dari lampu suluh sedang menyuluh pintu bilik air. Faris telah menemukan benda itu. Nika bergegas menaiki tangga sambil terjengket-jengket cuba untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi bimbang Faris tahu kalau dia baru sahaja mendapat maklumat yang tidak syak lagi berunsur jenayah. Jantung Nika berdegup kencang. Hatinya mengecut, dia terus ke biliknya dengan rasa dingin yang tidak ada kena-mengena dengan suhu malam.
Selepas mandi dan bersiap dia duduk di birai katil dengan benaknya memikirkan apa yang tidak kena dengan Faris! Kenapa lelaki itu begitu sekali mencurigakan? Dan apa pula takdir yang telah membawanya masuk ke dalam hidup Faris. Saat itu Nika teringatkan emaknya, pantas dia keluar dari bilik dan membuka pintunya  terburu-buru seperti lupakan sesuatu sebelum dia menjerit terkejut!
“Aaarg..!!!” Dia bertembung dengan Faris di luar pintu. Cahaya samar dan fikiran yang menakutkan berkenaan dengan cubaannya mengaitkan Faris dengan kejahatan membuatkan dia hilang kawalan dan cemas tidak menentu.
“Kenapa dengan kau ni..” tanya Faris. Pelik dengan tingkahnya.
“Err... aaah.. tak ada apa-apa, terkejut.. gelap..” tergagap-gagap dia bersuara dan dalam masa yang sama membuang rasa cemasnya yang melingkar di hati. 
Faris hanya memandangnya aneh! Seolah-olah dia perempuan tolol yang begitu pelik reaksinya. Kemudian dia melangkah ke pintu dan mencapai tombol pintu bilik.
“Emmm... Faris,” panggil Nika.
Faris berpaling dengan wajah kacaknya yang sangat mempesonakan. Nika hampir terkedu dan hampir sekali lagi menjadi bodoh lantas memaksa benaknya agar cepat-cepat sedar.
“Boleh.. aku pinjam telefon sekejap,” mohonnya sopan.
“Aku rasa kau tak perlu minta kalau pasal itu....” kata Faris lantas dia menghilang dalam kegelapan biliknya meninggalkan Nika yang ternganga sendirian seperti seorang pelajar yang gagal mendapatkan jawapan tepat.
Dia menganggap Faris sudah memberinya izin dan terus melangkah ke ruang rehat di tingkat atas itu lalu mencapai gagang telefon dan mendail nombor telefon pak cik Rais.
Hampir seminit kedengaran talian disambut dan Nika gembira mendengar suara emaknya.
“Assalamualaikum mak,”
“Waalaikumussalam.. Nika, kenapa baru telefon mak,” keluh ibunya tapi berbaur gembira mendengar suaranya.
“Maafkan Nika.. mak, Nika guna telefon di rumah Faris ni...” gumam Nika sambil matanya sentiasa mengawasi pintu bilik lelaki itu.
“Nika sihat? Macamana dengan Faris? Dia sihat jugak?” Eh! Ke situ pulak soalan emaknya.
“Nika sihat je... jangan bimbang, Faris pun... emm macam biasa, keadaan baik-baik aje... mak macamana sihat ke?” jawab Nika dengan hati resah yang sebenarnya mahu bertanyakan perkara lain.
“Baguslah, mak ok... adalah sakit-sakit badan sebab berkebun, tapi sihat. Irfan ada telefon mak malam semalam, dia sibuk nak exam, cuma rindu katanya,”
Nika tersenyum mendengar khabar Irfan yang juga sudah lama tidak dihubunginya.
“Mak... boleh Nika tanya sikit,”
“Tanyalah... apa dia?”
“Pasal Faris?”
“Kenapa dengan Faris?”
Mata Nika terus berjaga-jaga. Tidak mahu Faris mendengar perbualan rahsia itu. Dia perlukan jawapan yang tepat dan berharap emaknya tahu serba-sedikit.
“Mak tahu tak apa kerja Faris sebenarnya?”
“Hah... apa dia?”
“Eh, mak ni Nika tanya mak, mak tanya Nika balik..” kata Nika sambil menggaru kepala yang tidak gatal. “Ada yang tak kena dengan Faris, tentang pekerjaannya, mencurigakan... mak tak pernah dengar apa-apa sepanjang dia berada di rumah ni dulu..”
“Astagafirullahal’azimm... Nika tak baik buruk sangka dengan suami kalau Nika tak pasti...” ucap emaknya panjang dan tak berhenti mengucap.
“Nika tak cakap dengan mak... kalau Nika tak dengar sendiri..”
“Apa yang Nika dengar?”
“Adalah...” mukanya berkerut dan akhirnya memutuskan yang emaknya langsung tak pernah berprasangka pada Faris sebelum ini. “Entahlah.. tak apalah mak,” gumamnya kecewa.
“Percaya pada mak Nika.. Faris tu baik, dia bukan yang seperti Nika fikirkan..” pesan emaknya mengakhiri perbualan yang sebenarnya menambahkan beban fikiran Nika saat talian diputuskan dan berjanji akan menelefon bila ada masa terluang nanti.
Dia tidak perlu kata apa-apa. Tak patut! Sebab tidak orang lain yang mempercayainya. Apa yang dilaluinya dalam rumah ini tetap kekal sebagai sesuatu yang sulit dan akan kekal begitu sampai tiba waktunya ia akan terungkai dengan sendirinya. Tapi.. macam mana kalau tidak ada yang berubah. Siapa yang perlu bertindak bila akhirnya tiada jalan penyelesaian. Adakah Faris akan membuka cerita segala yang bermain di fikiran Nika sekarang malah semenjak hari pertama mereka bertemu di katil pesakit wad kecemasan. Perlukah dia menunggu atau bertanyakan hal ini pada lelaki dingin itu.
“Kau lapar?” tiba-tiba sahaja Faris berada di depannya dan bersuara serentak dengan lampu siling yang telah bernyala semula. Menyedarkan Nika yang asyik bersandar pada dinding merunsingkan fikirannya sendiri.

No comments:

Post a Comment