Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Sunday 12 February 2012

Raylan Faris (9)


“Emmm... tak..” jawabnya kalut dan terlupa hendak bertanya pada Faris samada dia sudah makan atau belum.
“Kita pergi sekarang..” kata Faris tegas dan berjalan tanpa mempedulikan riak wajah Nika yang sekali lagi ternganga.
“Ke mana?” soalnya tolol.
“Ke JB, aku ada urusan di sana dan aku tak boleh tinggalkan kau dalam rumah ni sendirian.”
“Tak mengapa. Awak sahaja yang pergi, saya dah biasa tinggal sendiri,” jawabnya kerana dia memang sudah biasa dan mengenangkan itulah berlaku pada mereka berdua saban waktu.
“Tapi bukan untuk kali ini Nika. Mahu atau tidak, kau perlu ikut.” Faris memuktamadkan arahannya. “Aku tunggu di bawah,” lantas dia melangkah dengan wajah seriusnya dan menuruni anak tangga begitu sahaja tanpa mempedulikan Nika yang begitu berat hati.
Bagaimanapun Nika tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Mengenangkan dia sebagai isteri, dia harus menuruti kehendak itu. Lantas dengan rasa tidak relanya dia masuk semula ke biliknya sekadar mengambil baju seragam jururawatnya. Dia tidak tahu apa yang akan dilaluinya bersama Faris sambil memikirkan yang dia perlu masuk kerja pukul dua petang esok. Selepas mencapai beg tangan dan memasukkan baju seragam di dalam beg kertas dia pun menemui Faris yang siap sedia menunggu dalam kereta. Wajah serius yang sedang tergambar di muka Faris sekarang adalah riak wajah lelaki yang tidak suka dibantah arahannya dan Nika pula langsung tidak suka dengan perangai begitu.
Perjalanan ke bandar JB tidaklah lama dari tempat tinggal mereka tapi setiap minit yang berlalu adalah penyeksaan jiwa Nika yang seolah didera dengan rasa ketidakselesaan sepanjang berada di sebelah Faris yang hanya tahu memandu dan melihat jalan raya besar. Sementara Nika merasakan sekejap lagi lehernya akan mengalami kekejangan urat kerana hanya melihat pemandangan di sebelah kirinya. Mereka langsung tidak berbual seolah-olah mereka berdua dipisahkan oleh dinding tebal yang kukuh dan hanya dibenarkan menikmati kedinginan suhu dalam kereta mewah yang berbau enak, bau kereta baru.
Bagaimanapun, sejurus kereta itu memasuki bandaraya Johor Bahru yang sesak, hatinya kembali tertanya-tanya kenapa Faris memandu keretanya ke dalam perkarangan hotel mewah. Nika mula rasa semacam. Kepalanya berpaling laju ke sebelah di mana pemandunya tetap berwajah tegar dan bibir yang langsung tidak mahu bersuara untuk menjelaskan situasi apa yang mereka hadapi sekarang. Faris telahpun mendapat parkir untuk keretanya ketika Nika tidak dapat lagi menahan sabar mahu bertanya.
“Buat apa ke sini?” soalnya dan berharap yang dia tersalah anggapan pada Faris yang mungkin hendak singgah sebentar kerana urusan lain. Tapi.. apa yang mengecewakan Nika, Faris menjawab dengan riak tenangnya.
“Kita tempah bilik dulu.....”
Nika merasakan seluruh mukanya disimbah dengan air dingin yang mengejangkan lutut yang tiba-tiba bergetar kerana takut hendak mengetahui momen seterusnya. Kepalanya sekarang diserang oleh berbagai cerita ngeri dan menyeksakan.
“Aku tak mahu,” katanya dan enggan turun. Membiarkan Faris yang telah turun tercengang melihatnya seketika.
“Jadi... kau mahu tidur dalam kereta?” lantas tangannya laju menghayun pintu yang tertutup rapat. Faris sekarang sedang berjalan ke depan keretanya dan tidak syak lagi berpusing untuk ke pintu tempat Nika yang ketakutan.
Pintu dibuka. Faris telahpun berdiri di sebelahnya. “Aku ada urusan lain dan tolong jangan buat aku marah,” kemudian telefonnya berdering. Dia menjawab panggilan itu.
“Hello, ok sekejap saya datang. Barang tu ada dengan saya sekarang..” katanya sambil mengerling pada Nika yang tambah ketakutan.
Oh Tuhan.... apa maksud Faris. Adakah dia barang yang sedang dicakapkan oleh lelaki itu? Siapa pula yang menelefonnya? Adakah seorang lelaki yang sedang menuntut sesuatu. Adakah itu penyebabnya kenapa Faris tidak menuntut wang bayaran darinya. Astaga.. rupa-rupanya dia adalah bayaran yang dimaksudkan! Masih terngiang-ngiang lagi di kepalanya kata-kata Faris sebulan yang lalu. ‘Aku tak perlukan wang, aku cuma mahukan kau!’ kalau begitu.. Faris cuba menunaikan kata-katanya.
Lengannya tiba-tiba dicengkam kuat oleh tapak tangan dingin Faris. Nika tersentak.
“Faris... kita buat apa di sini,” tanya Nika lagi. Dia mahu menangis.
“Tidurlah, buat apa lagi,” jawabnya bengang.
Nika turun dengan berat hati. Tangan Faris masih memegang lengannya seolah-olah takut dia akan lari atau Faris tahu dia sedang terfikir hendak lari. Barangkali jika dia berkeras untuk tidak mengikuti, Faris akan nekad mengheretnya seperti mana dia terus mencengkam lengannya sehingga mereka berdua disambut dengan senyuman ramah oleh seorang pekerja lelaki di depan pintu utama.
“Faris.. tolonglah...” rayunya lagi saat mereka berdua sudahpun menghampiri kaunter menempah bilik.
Tapi, Faris tidak perlu pun bersusah payah hendak berurusan di kaunter sebab seorang pekerja lelaki terus sahaja menemuinya dan tertunduk-tunduk hormat sambil menghulurkan kunci bilik. Semuanya seperti telah diaturkan dengan rapi. “Ini kuncinya Sir... bilik 213, tingkat 6, ada barang yang perlu saya bawa ke atas, Sir.” Faris menyambut kunci tersebut dan menyahut.
“Tak ada, tapi tolong beritahu Rafidah nombor bilik ini kalau dia telah dapatkan semuanya.” Katanya sambil berjalan manakala pekerja lelaki tadi terus mengangguk-angguk hormat.
Nika yang mendengar perbualan ringkas itu terus-menerus dirasuk kerisauan. Faris pula langsung tidak berperasaan dan terus sahaja membawanya ke ruang legar yang bersinar indah memantulkan silauan pada jubin keemasan di bawah kaki. Sekarang mereka berdua berdiri di depan pintu lif yang sedang menunjukkan isyarat sedang turun.
“Faris, kau tak perlu buat aku begini..” tapi suaranya tenggelam ketika mereka masuk ke dalam lif. Dua wanita berbangsa inggeris turut masuk bersama sekaligus mematikan rayuan Nika untuk ke sekian kalinya sehingga mereka tiba ke tingkat enam dan pintu lif terbuka mendedahkan ruang yang lebih sunyi dan selesa. Kali ini lantainya di penuhi karpet bercorak bunga-bunga berwarna hitam tapi masih menampilkan kelasnya tersendiri.
Ketika Faris membelok ke sebelah kanan  Nika cuba lari dan mengambil peluang itu sewaktu Faris membuka pintu bilik 213. Namun tindakannya sia-sia bila Faris menyedari dan terkejut serta marah ketika dia menarik pinggang Nika terus kembali rapat ke sisinya. Mereka berdua masih berada di luar pintu bilik.
“Kenapa dengan kau!” Faris menderam tapi mereka kembali senyap ketika seorang pekerja hotel keluar dari bilik sebelah dan sedang kehairanan memerhatikan tingkah mereka berdua tapi terus tertunduk hormat bila terpandang wajah Faris dan segera beredar malah enggan menoleh lagi pada Nika yang mahu memohon bantuan pada gadis tersebut.
Sekejap sahaja dia ditolak masuk ke dalam bilik yang dingin.
“Tolong jangan buat aku malu di depan pekerja-pekerja di sini, jaga tingkah kau!” katanya marah.
“Kenapa kau bawa aku ke sini! Aku mohon pada kau Faris tolong bawa aku keluar dari sini,”
“Maaflah, aku tak boleh buat begitu...”
“Aku tahu aku berhutang banyak pada kau tapi bukan ini caranya, aku boleh bayar semuanya.... aku cuma mohon kau berikan aku waktu,” kata Nika dalam cubaan merayu pembebasannya dari Faris yang hendak menjual maruahnya.
“Kau sudah jelaskan perkara ini dulu, aku tahu... dan aku tak perlukan wang kau. Kau masih ingat apa yang aku katakan malam itu..”
“Kalau begitu kau tak perlu jual aku pada sesiapa... aku mohon Faris demi janji kau pada Puan Ros, bawa aku pulang... tolonglah,”
“Jual kau!” dia berdengus dan tersengih. “Kenapa aku hendak jualkan benda yang aku dah beli, dengan membayar sejumlah wang pada ayah kau secara automatiknya kau dah jadi milik aku sepenuhnya termasuklah keselamatan kau sepanjang berada bersama aku. Apa lagi yang kau mahu...!!” kata Faris dengan nada meninggi. Sebelum ini lelaki itu tidak pernah begitu.
“Bukankah kau sedang berurusan dengan seseorang tadi tentang barang....?” Nika tetap inginkan kepastian.
 Faris tiba-tiba ketawa. Tapi sekadar mempamerkan barisan giginya tanpa sebarang suara. Dia kemudian berkata. “Ya.. betul sebab tu aku tak boleh tinggalkan kau seorang diri di rumah. Aku ada urusan di luar dan keadaan di sini lebih selamat.”
“Selamat? Apa maksud kau selamat? Kenapa aku tak boleh tinggal di rumah. Apa yang kau takutkan?” soalnya bertubi-tubi setelah dia yakin yang Faris sebenarnya berniat lain walaupun keadaan masih mencurigakan di antara mereka berdua. Perlu ada sebab untuk dijelaskan jika ia memang benar semua ini demi keselamatan yang terancam.
“Tak ada apa-apa. Aku cuma bimbang ayah kau datang ke rumah dan mencari kau. Dia akan pergunakan kau lagi... kau nampak apa yang berlaku tadi kan... dia masih belum menjelaskan semua hutangnya walaupun setelah aku berikan wang,” jawab Faris tepat. Namun, dia masih belum puas dan menambah rasal jengkel Nika bila menyambung bicaranya. “Macam mana kau boleh terfikir yang aku hendak menjual kau? Berapa untung aku dapat?” dia menghabiskan ayat itu sebelum masuk ke bilik air sambil tersengih.
Nika, walaupun masih curiga tapi dalam masa yang sama lega mendengar penjelasan Faris. Dia merasa dirinya terlalu kebudak-budakkan bila mengecam Faris secara membuta tuli dan merasakan tindakan Faris benar
Seminit kemudian pintu bilik itu diketuk. Faris yang kebetulan telah keluar dari bilik air lantas membuka pintu tersebut. Nika melihat seorang lagi pekerja wanita yang kemungkinan besar itulah dia Rafidah menghulurkan empat buah beg kertas kepada Faris seolah-olah dia baru lepas dari ke pusat membeli-belah.
Thanks.”
Faris meletakkan barang-barang tadi di atas meja solek. “Ini semua untuk keperluan kau... kau ada bawa baju seragam untuk kerja?” katanya dan berpaling pada Nika yang duduk di hujung katil empuk yang hanya mengangguk lesu. Faris kemudian menghampirinya turut duduk di sebelah Nika yang tersentak dan cuba mengelak tapi lega kerana Faris cuma menghulurkan sekeping kad kepadanya.
“Ini kad telefon, hubungi aku kalau kau perlukan apa-apa atau kau boleh telefon Rafidah di kaunter dia boleh uruskan. Aku perlu keluar dan mungkin takkan balik.  Besok, aku akan suruh seseorang hantar kau ke hospital,”
Nika mengambil kad tersebut dari tangan Faris dan memandang lelaki itu tepat ke wajahnya walaupun dari tepi sebelum Faris menyedari dan berpaling padanya. Deruan nafas Nika kian kencang dan berdebar saat mata mereka saling bertatapan.
“Aku mahu kau bersumpah kalau aku selamat berada di sini dan kau tak ada niat jahat...” ucap Nika tenang dan meyakini kalau kata-katanya ini akan menyinggung perasaan  Faris yang tetap dengan renungan memukaunya.
“Apa saja yang ada di fikiranmu sekarang, tentang cerita-cerita yang kau mungkin curigakan, aku cuma ada satu jawapan. Nyawa dan keselamatanmu adalah keutamaanku.”
Selepas menghabiskan kata-katanya dia bingkas berdiri dan berjalan ke pintu keluar dengan Nika hanya mampu memandang memendam perasaan bersalah sambil berharap Faris memahami kebimbangannya.

No comments:

Post a Comment