Rapuh Tanpa Dia

Rapuh Tanpa Dia
published

Wednesday 15 February 2012

Raylan Faris (10)


Sudah tiga hari berlalu Nika menjadi penghuni hotel mewah dalam konteks kehidupan membosankan tapi sangat menyelesakan. Apatah lagi  tanpa kehadiran Faris yang entah ke mana perginya. Sudah tiga hari juga dia datang ke tempat kerja dihantar oleh pak cik Ali salah seorang pengawal keselamatan yang bekerja di hotel tersebut yang begitu ramah orangnya dan suka bercerita. Melalui pak cik Ali, Nika mendapat tahu kalau Faris memang beberapa kali muncul di hotel tersebut jika ada perjumpaan dengan pekerja arwah Tuan Rahmad yang menguruskan perniagaan kereta mewah yang diwariskan kepadanya tapi menyerahkan segala urusan syarikat pada pengurus yang dilantik. Bagaimanapun, itu sahajalah maklumat yang diperolehinya setelah puas bertanya. Tidak ada langsung yang berkaitan dengan apa yang didengarnya pada malam blackout itu.
Zakiah yang buat kali pertamanya datang tanpa Nika pada mulanya berasa pelik tapi beransur mengerti walaupun Nika sendiri tidak tahu apa yang cuba dijelaskannya.
Dua tiga rakan-rakan sekerjanya sibuk bertanya kenapa dia tidak pulang bersama Zakiah Malah ada yang mula mengesyakinya sedang dilamun cinta dengan Dr. Ishak sedangkan lelaki itu juga berasa hairan dan dapat merasakan sesuatu yang masih dirahsiakannya. Cuma Zakiah yang mendesak supaya dia menceritakan pada teman-temannya statusnya sekarang yang bergelar isteri orang untuk mengelakkan fitnah. Namun... Nika tidak mampu berfikir hingga ke situ.
Masuk hari keempat dan dia pula mendapat giliran bercuti. Faris masih belum juga muncul. Nika yang selalu mengalami kebosanan akhirnya mengajak Zakiah ke bandar JB bagi merawat jiwanya yang ditakutinya menjadi lebih parah dan kacau. Mereka berjanji temu di sebuah restoran francais terkenal di seluruh dunia dan menikmati makan awal malam yang enak.
“Lepas ni kita pergi salun rambut, aku nak cuci rambutlah,” kata Zakiah sambil mengunyah burger keju.
“Emm... oh.. ya, aku pun nak cuci rambut jugak..” sahut Nika pantas menyetujui rancangan itu dengan perutnya memulas kerana terlewat makan. “Perut aku sakitlah.... macam banyak asid,” sambungnya lagi.
Mata Zakiah langsung terbelalak sebelum berkerut hairan. “Kau tak mengandungkan?” soalnya laju dan berhenti makan.
“Apa? Taklah?....... kau gila ke? Aku sebenarnya lewat makan aje,” jawabnya pantas.
“Apa salahnya kalau kau pregnant...
“Zakiah...” dia menderam marah dengan usikan yang selama ini dikhuatirinya.
Zakiah mengangkat keningnya selamba dan kembali meneguk airnya. “Dah sampai masanya kau terima dia, dah lebih sebulan kamu bersama dan aku nampak Faris okey je...” kata Zakiah. “Dia ke mana?” sambungnya lagi belum puas.
“Kenapa kau suka sangat fikir pasal dia!” sahut Nika yang menolak minumannya ke hadapan dan mula berang tapi gagal menunjukkannya dengan jelas kerana menyedari ia mungkin berkaitan dengan hormon period yang tidak menentu.
“Aku ni ambil berat pasal kau, kawan baik aku... yelah... sejak dua menjak ni asyik dengar kau meratap, nak jugak aku tahu kalau kau dah bahagia dengan dia tu... kau keluar ni, dia tahu tak?” ulas Zakiah yang memang tidak dapat Nika tangani lagi selain menjawab pertanyaannya.
“Dia takkan peduli dan tak akan ambil tahu apa yang aku buat di depan atau di belakangnya,” sejujurnya Nika tidak ingin memperkatakan lagi hubungannya dengan Faris. Dia tidak mahu terjeruk dalam perasaan yang sangat tidak keruan ini.
“Kenapa pulak sampai begitu sekali,” Zakiah terus menyerangnya.
“Oh.....kau tak perasan lagi ke Zak, tak nampak ke macam mana hubungan kami berdua, tak syak ke kenapa aku terpaksa bersama dengan dia. Apa yang aku nak harapkan dalam hubungan seperti ini, tak ada apa-apa....” dia cuba tidak menunjukkan rasa kesal dan mahu menerima hakikat kalau semua ini memang ditakdirkan untuknya.
“Kalau begitu, aku nak kategorikan sebagai apa korang berdua ni,”
“Dahlah..” balas Nika malas. “Jomlah kita keluar... nanti salun tutup, dah dekat pukul 9 ni, kalau kita lambat, kau tidur dengan aku kat hotel ajelah..”
“Eh... kalau Faris muncul nanti macam mana tak ke dia syak kita berdua yang bukan-bukan nanti..” Zakiah pantas mencelah ketika mereka beriringan keluar dari restoran yang mungkin semakin berkurangan pengunjungnya.
“Ish.... tak mungkinlah, aku rasa dia berurusan di luar JB, langsung tak ada khabar,” sahut Nika lantas mereka berjalan kaki sahaja kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandaraya terkemuka itu.
Beberapa minit berjalan kaki akhirnya mereka berdua menemui sebuah salun rambut sesuai yang pelanggannya hanya wanita sahaja berdekatan dengan sebuah klinik dan kedai kasut. Beberapa wanita berpakaian seksi kelihatan turun naik melalui sebuah tangga di perantara bangunan. Dia dan Zakiah terus masuk ke dalam salun rambut yang tidak ramai pelanggan itu.
“Zak... apa khabar Zuraidah? Hari tu aku nampak dia makin tembam... senang hati ke?” tanya Nika setelah dia selesai mencuci rambut dan menunggu pekerja salun cina yang comel itu menyelesaikan kerja merapikan rambut Zakiah yang menutup semula majalah yang dibacanya tadi dan mengerling Nika.
“Senang hati...?” ujar Zakiah lalu tersengih lucu.
“Kau kata dia tengah diet?” tanya Nika lagi. Zakiah sedang memakai tudungnya semula.
“Diet konon....diet hangat-hangat je. Dia baru putus dengan teman lelakinya. Katanya nak makan sampai gemuk,” cara Zakiah bercakap dengan bibit terherot-herot seolah-olah Zuraidah adik bongsunya itu sedang berdiri di hadapannya. Kemudian dia menambah lagi. “Aku beritahu kat dia... kita ni kalau gemuk tak dapat boyfreind tak apalah... tapi kalau gemuk menampung penyakit buat apa! Betul tak...”
Nika mengangguk, hampir tersedak tidak tahu samada hendak ketawa atau tidak.
“Kempenlah kat dia pasal diabetes... bahaya Zak,” katanya berhemah. Mereka kemudian keluar dari salun tersebut selepas membayar harga perkhidmatan.
“Dia tak dengar cakap....” jawab Zakiah sambil menolak pintu keluar.
Namun.... tanpa  disangka-sangka, sebaik sahaja dia dan Zakiah berada di luar pintu, mereka berdua terserempak dengan Faris bersama beberapa rakannya yang mencurigakan sekali perwatakan mereka. Faris pula yang beberapa saat tadi sedang seronok berketawa berhenti dari ketawanya turut sama tersentak melihat dia di situ. Dan apa yang lebih teruk... yang menambahkan rasa benci di hati Nika, dia menyaksikan sendiri Faris bergandingan dengan seorang perempuan kelab malam berdasarkan pakaian tidak cukup kain yang dipakai perempuan itu malah dengan manjanya memeluk erat lengan Faris. Tidak syak lagi yang Faris hendak mengunjungi pusat hiburan di tingkat atas bangunan tersebut.
Tapi, detik yang paling mengecewakan untuk dicerna benaknya dia bertemu dengan Faris dalam keadaan begitu bersama Zakiah yang baru saja menyarankan mereka berdua agar berbaik-baik dan cuba memperbaiki hubungan yang sekarang semakin jelas jurangnya. Kemarahannya memuncak seperti dijerang dengan api yang terlalu kuat. Hatinya terluka, tergamak betul Faris melakukan itu dan menimbulkan rasa perit yang menghempas seluruh jiwa.
Faris terus melangkah tanpa melihatnya lagi, sepertinya mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain. Nika turut membuang pandangannya jauh sejurus Faris berjalan di hadapannya, terkesima dengan sikap tenang dan tanpa rasa bersalah yang Faris pamerkan dengan cemerlangnya. Dia berusaha menahan airmata yang bergenang agar tidak tertumpah. Selepas Faris menaiki tangga ke tingkat atas, perlahan dia merasakan sentuhan kuat dilengannya, Zakiah cuba memujuk dan mengajaknya pulang. Wajah sedih Zakiah jelas menghukum tanpa belas.
Kejadian yang tidak disengajakan memaksa Nika memutuskan keputusan lebih drastik dan dia enggan memikirkan apa akibat pada dirinya sendiri. Dia juga tidak kembali semula ke hotel, sebaliknya mengikuti Zakiah pulang ke rumah membawa bersama hati yang terluka dan takut hendak dipulihkan oleh pujukan Faris kerana bimbangkan kejadian seperti malam ini akan berulang lagi. Sepanjang perjalanan, mereka berdua membatu, berdiam diri. Zakiah akhirnya membiarkan dia tenggelam dalam kekecewaan tanpa sebarang ulasan atau pertanyaan. Lagu-lagu sedih yang diputarkan oleh juruhebah menambahkan lagi rasa sengsara Nika. Sepertinya dia mengalami pengkhianatan cinta paling besar dalam hidupnya kerana memahami bahawa dia sebenarnya jatuh cinta dengan Faris. Pertembungan tadi menguatkan lagi persepsi itu. Dia cemburukan perempuan bersama Faris tadi sekaligus memperbodohkan dirinya kerana selalu berharap yang Faris juga begitu.
Ketika Zakiah menurunkan dia di hadapan banglo putih yang cukup menambahkan kejelekan malam itu Nika memaksa dirinya agar masuk ke dalamnya dan nekad ingin menyelesaikan hal antara dia dengan Faris pada malam itu juga.
“Jangan fikirkan sangat Nika, bincanglah dengan Faris baik-baik...”
Pesanan Zakiah itu seperti angin yang berlalu.  Dia melangkah masuk ke dalam rumah dengan tubuh yang  tidak berdaya, kakinya begitu lemah untuk diangkat menuju ke tingkat atas yang membawa ingatan pertama tentang Faris. Dia pernah merasakan pada permulaan detik dia masuk dalam kehidupan Faris, segalanya kelihatan sangat sukar tapi setelah meneruskan hari-hari bersama lelaki itu hinggalah ke hari ini nyatalah perjalanan sebenarnya bukan sukar tapi menyeksakan!
Hatinya sedang retak dan sekejap lagi akan hancur jika kehidupan ini berterusan. Disaat tidak lagi dapat menahan desakan emosi, akhirnya dia menangis. Dia menangisi kenapa ini semua perlu berlaku padanya. Setitis demi setitis airmatanya jatuh dan akhirnya dia tersimpuh di tepi balkoni panjang ditemani angin malam yang menari lembut dari balik langsir nipis yang meraikan tangisannya. Tangannya digenggam kuat cuba mendapatkan kekuatan tapi dia gagal, mengingatkan lagi jari-jari perempuan yang memaut mesra lengan Faris tadi hatinya bertambah pedih. Ingatan itu menyeksa batinnya seolah-olah dia merasakan Faris sedang berdiri dari balik langsir itu sekarang dengan senyuman dingin dan hanya berdiri di situ, menyaksikan kesedihannya, mendengar tangisan sayunya. 
Dia kagum cara penipuan yang Faris tunjukkan padanya. Malah akhirnya menyedari bahawa Faris sama sekali tidak mahukan dirinya. Lebih tepat lagi menjalin cinta untuknya. Apa yang dilakukan oleh Faris selama ini hanya sekadar mahu menyelamatkannya dari dianiaya oleh seorang ayah yang kejam dan ia bukan lagi sesuatu yang boleh dikenang sebagai jasa sebaliknya jalan untuk mencabut nyawanya  perlahan-lahan dari jasad.
Dia terus menangis, entah mengapa dia tidak mampu menghentikannya. Dia tidak mengerti kenapa dia begitu terluka dengan kelakuan Faris tadi. Bukankah selama ini Faris juga mengerti kalau dia sendiri yang mahu membina jurang tebal yang tidak akan membolehkan mereka berdua menjadi seperti suami isteri yang lain. Jadi.... kenapa dia berkelakuan seperti ini, kenapa dia sangat kecewa sekali!
Mengenangkan ego yang tiba-tiba terbit dari dalam dirinya, Nika bingkas berdiri. Mahu ke bilik dan mengemas pakaiannya kemudian pergi dari kehidupan yang di dalamnya penuh dengan penderaan hati. Airmata dikesatnya, cuba menguatkan hati sendiri. Tapi baru selangkah...... tiba-tiba langkahnya mati. Kakinya diundurkan semula, pantas dia bersembunyi dari balik dinding ketika melihat Faris menaiki tangga dan kini sedang berjalan bersalut riak wajah berdukacita.
Dia kekal bersembunyi di situ menyaksikan seterusnya tingkah seorang suami yang hanya tertulis dalam sijil perkahwinan mereka. Fikirannya disaluti kehairanan melihat Faris pulang begitu cepat? Adakah Faris dapat merasakan kekecewaannya dan mencarinya di hotel dan apabila mendapati dia tidak ada di sana Faris kemudian mencarinya di sini pula. Dapatkah Faris menghidu kesedihannya yang kini terselindung di tempatnya bersembunyi.
Lelaki itu sekarang..... sedang berdiri di hadapan pintu. Bukan pintu biliknya, tapi pintu kamar Nika. Nika terus memerhatikan tangan kiri Faris mengenggam tombol pintu dengan mata merenung jauh seolah-olah dia boleh menembusi kayunya untuk melihat isteri yang telah dicuranginya. Entah berapa saat dia berkelakuan sedemikian, tangan kanannya diangkat kelihatan seperti hendak mengetuk pintu tapi..... tidak kesampaian, dia menurunkan kembali tangannya. Kemudian tangan Faris yang memegang tombol tadi beralih ke dada pintu dengan kepalanya tertunduk seperti menyesali dirinya sendiri. Hampir sepuluh minit berdiri depan pintu kamar itu Faris akhirnya beredar dan menghilang ke dalam biliknya. Nika yang melihat dari tempatnya berdiri tidak mengerti dan enggan menafsirkan apa-apa.
Dia turut masuk ke biliknya dan kelam-kabut mengambil beg kecil lalu memuatkan  beberapa helai pakaian. Setelah itu dia mencarik sekeping kertas kosong dari buku nota kecilnya  dan mencatat tulisan tangan yang kasar.
Faris, aku akan pergi.... mungkin ini jalan yang terbaik untuk kita. Kehidupan kita berdua tidak akan sempurna sampai bila-bila pun.....
 Nota ringkas itu dilipat dua dan dia menunggu seketika kalau-kalau Faris akan keluar semula. Dia akan meletakkan nota itu di bilik Faris yang mungkin dapat membacanya esok pagi. Nota itu jelas menunjukkan hati yang terluka dan betapa nekad kemahuannya untuk pergi. Pergi dari rumah ini dan meninggalkan Faris. Tidak kiralah berapa banyak dosa sebagai ganjaran atas tindakannya kerana melakukan hal itu. Bagi Nika, sesudah remuk seluruh jiwa dia tidak akan menunggu untuk menghancurkan sisa rasa yang masih berbaki. Dia tidak mahu menjalani hidup seperti ini, dia mahukan kehidupan yang normal, bukan terperangkap dalam kehidupan Faris yang benar-benar tidak pasti.
Lantas.... setelah menguatkan hati dan setelah hilang sabar menunggu Faris yang biasanya keluar rumah selepas setengah jam berlalu dia terpaksa keluar biarpun Faris masih berada di biliknya. Pintu bilik Faris terbuka lebar. Nika menyelik ke dalam sambil berharap dia tidak menemui lelaki itu. Telinganya menangkap bunyi seperti air tumpah dari dalam bilik air. Faris sedang mandi. Sewaktu meletakkan nota kecil yang ditulisnya di bawah lampu tidur dia menyedari yang pintu bilik air juga tidak ditutup. Bunyi limpahan air jelas kedengaran.
Kemudian Nika berjalan keluar dari situ sebelum tersentak! Dia mendengar bunyi seperti  kaca pecah dari bilik air. Dia berpaling ke belakang, jantungnya berdegup kencang seiring dengan rasa tidak enak dan bimbang tapi tetap melangkah meninggalkan bilik itu. Tapi.. entah mengapa sifat prihatin semulajadi dalam dirinya membuat dia berhenti beberapa kaki dari pintu bilik Faris dan kaku di situ dengan rasa ingin tahu pada bunyi kaca tadi. Nika berpusing, masuk semula ke bilik Faris, jika mereka bertemu sekalipun dia akan menjelaskan niat sebenarnya.
Bunyi air melimpah masih kedengaran ketika dia menghampiri pintu bilik air, agaknya sudah berapa lama Faris di dalam bilik air. Dia lalu menjengukkan kepalanya ke dalam dan terkejut melihat sebotol wain merah yang pecah dengan isi kandungannya telah pun habis dibersihkan oleh limpahan air dari tab mandi. Faris masih tidak kelihatan, Nika semakin bimbang dan takut. Tapi terus memberanikan dirinya menghampiri tab mandi yang dipenuhi air.
Tiba-tiba........
“Farisss!!!!!!!!!”
 dia memekik menyebut nama Faris kuat, nadanya penuh ketakutan. Tubuh Faris telah tenggelam dalam tab mandi. Ketika kelam-kabut menutup kepala paip di hujung tab, kakinya terpijak serpihan kaca, darah pekat mengalir dari tapak kakinya tapi dia membiarkan sahaja. Nika menguatkan hati tidak mengadu kesakitan dan mencabut saja serpihan kaca tadi dengan tangan bergetar dan membuangnya bersama rasa cemas bukan kepalang.
Pantas dia menerpa ke tab mandi mencapai kolar baju kemeja dan menarik Faris ke atas sambil sebelah tangannya meraba-raba membuka penutup di bawah tab itu dan menemuinya di belakang Faris yang sudah tidak sedarkan diri lagi. Air mula turun. Dia ikut masuk ke dalam tab mandi tersebut. Airmatanya bercucuran, bimbangkan keadaan tidak bernyawa Faris.
“Faris! Faris!!!!!!”
 “Faris.......!” panggilnya berulang kali sambil menepuk pipi lelaki itu kuat.
Air di dalam tab semakin cetek, tapi Faris masih belum sedarkan diri. Dia cuba mendapatkan denyutan nadi pada leher Faris, tapi tidak ada. Jantungnya juga tidak lagi berdegup.
Nika semakin terdesak mencari pertolongan dan mula memberi bantuan CPR. Dia meletakkan kedua-dua tapak tangannya saling bertindih di atas dada Faris dan menekannya beberapa kali cuba mengeluarkan air yang telah memenuhi paru-paru.
“Faris! Bangun Faris!! Tolonglah....” rayunya sambil berdoa kepada Tuhan agar memanjangkan usia Faris.
Dia terus menekan dada Faris, kali ini lebih kuat. Namun... lelaki itu terus berdiam tanpa tindak balas. Di fikirannya ketika ini mahu membuat panggilan kecemasan... tapi dia tidak boleh biarkan keadaan Faris yang mungkin......... Tidak! Dia tidak boleh fikirkan tentang itu...!
Pantas tangannya menolak dagu Faris ke atas dan membuka mulut lelaki itu untuk menghantar oksigen  terus ke paru-paru dan jantung Faris yang tubuh dan bibirnya juga kini semakin sejuk serta kebiruan. Nika berusaha meniupkan udara ke mulut Faris, berkali-kali dan enggan menyerah.
Entah kali berapa dia melakukan sedemikian sehingga Faris akhirnya sedar lalu terbatuk, air keluar melalui mulutnya. Nika ketawa dalam menangis.
“Syukurlah... terima kasih Ya Allah.... terima kasih,” dia mengucapkan kesyukuran dan gembira apabila Faris telah membuka mata melihatnya, lelaki itu kembali bernyawa.
“Apa kau buat Faris.....” bisik Nika dengan airmata yang tidak lagi dikesan kerana kebasahan. Nafasnya turut tercungap.
Faris kepenatan, cuba menarik nafas dan memandang Nika di hadapannya.
“Maafkan aku Nika.....” itulah ucapan pertama keluar dari mulut Faris yang masih mencari nafas.
Nika membantu Faris duduk, mereka berdua masih di dalam tab mandi yang lebar itu. Kedua-duanya kebasahan.
“Kau sepatutnya biarkan aku mati, aku tak layak untuk hidup Nika.... aku mahu mati,”
Nika menangis, tidak sampai hati mendengarnya. “Kalau sahaja kematian kau boleh menyelesaikan masalah kita, aku akan biarkan Faris. Tapi tidak.... aku tak mahu hidup dengan penyesalan..” katanya sambil menyeka airmata.
“Maafkan aku.... maafkan aku..” ulangnya lagi.
“Aku dapatkan ambulans dan bawa kau ke hospital..” kata Nika cuba berdiri ketika Faris menahan tangannya dari pergi dan membawanya kembali duduk bersama dalam tab mandi berwarna putih bersih itu.
“Jangan pergi... aku tak apa-apa, temankan aku di sini,” pinta Faris dengan wajah simpatinya.
Nika merenungnya sayu tapi dalam masa yang sama tidak dapat melupakan kekesalannya beberapa jam yang lalu. Faris menggapai tangannya lantas digenggam erat dan Nika dapat merasakan kedinginan jari-jari mereka berdua beransur-ansur hangat dalam genggaman. Jantungnya kembali berdegup kencang dan darahnya bergemuruh. Sebelah tangan Faris menyapu-nyapu rambutnya sendiri menunjukkan riak kesal yang mohon kemaafan. Detik itu juga, dia merasa terpujuk dan Faris berjaya membatalkan hasratnya untuk pergi walaupun sebelumnya dia begitu nekad.

No comments:

Post a Comment